Monday, August 8, 2011

Bab 11 ~ Terimalah Kasih


11


            “Bila lagi saya boleh jumpa tunang saya ni?” Izmil bersuara. Ketika itu mereka berdua sedang beratur, menunggu giliran untuk membuat pesanan di restoran Burger King. Keadaan agak sesak. Iris mengerling ke sebelah kanan, berpaling dari pandangan tajam Izmil. Dua kaunter yang lain juga dipenuhi dengan dua barisan panjang. Nampaknya ramai yang seperti baru pulang dari menghadiri kenduri kerana sebahagian besar pelanggan berbaju kurung. Iyela, musim cuti sekolah memang menjadi tumpuan para pasangan untuk mengadakan majlis perkahwinan.
            Izmil mencuit bahu Iris. Geram dia bila soalannya tadi dibiar sepi. Boleh pulak dia termenung tengah orang ramai ni? Mia.. Mia..
            Kepala Iris terus berpaling ke arah Izmil. Matanya buntang memandang jejaka itu. Bukannya lelaki itu tak tahu yang dia tidak selesa disentuh sesuka hati.
            Izmil pamer riak selamba. Tersengih memandang wajah garang gadis kesayangannya itu. Buatlah muka macam mana pun, sayang. Hati ini memang dah jadi milik Mia seorang. Sampai bila-bila, itu janji saya.
            “Dah sudah fikir?” terselit nada menyindir dalam tutur itu.
            “Fikir apa?” Iris bingung.
            “Bila saya boleh jumpa sayang saya ni? Awak dah la jauh dari saya, lama-lama jauh dari awak, saya jadi rindu tau. Awak tak kesiankan saya ke?” bibir Izmil yang mencebik manja mengundang tawa kecil Iris. Buruk benar orang tua mencebir bibir sebegitu. Namun, segera dimatikan tawa itu. Dia tak mahu menghantar tanggapan yang salah kepada Izmil. Dia tak mahu lelaki itu menaruh harapan keatasnya.
            Belum sempat Iris mahu meluahkan bicara, suara pelayan lelaki di kaunter yang memanggil sambil tersenyum mematikan niatnya. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk dibincang tentang soal hati antara mereka. Biarlah rasa ini disimpan dahulu, biarlah niat untuk perjelaskan segalanya disisip kemas dalam ingatan dahulu.

            “Hai.” Ungkapan ringkas itu mampu membuatkan buku yang sebentar tadi berada kemas dalam  dakapan kini sudah jatuh berselerak ke lantai perpustakaan itu. Damya segera tunduk, mengutip laju buku-buku yang mahu dipinjam dari perpustakaan sekolah untuk dijadikan rujukan buat tugasan kelasnya.. Buku-buku nota dan rujukan yang tebal itu digenggam kemas, tak mahu kejadian tadi berulang lagi. Dia tak mahu merosakkan buku-buku yang sepatutnya dijaga dengan baik.
              “Saya minta maaf. Saya tak tahu awak terkejut sampai melayang buku kat tangan.” Suara itu menegur lagi. Ada tawa kecil terselit dalam tutur itu.
            Aku terperanjat pun sebab kau yang menerjah tiba-tiba lah! Bukan sengaja aku nak lepaskan buku-buku ini terbang melayang. Ishh! Berkerut dahi Damya. Dia mahu memarahi siapa saja gerangan yang sudah memeranjatkannya. Sedang tangannya tangkas mengutip buku-buku tebal itu, jarinya tersentuh jemari si polan yang menyebabkan hal itu berlaku. Serentak mukanya didongak. Matanya menangkap imej lelaki tampan itu. Terkedu dia seketika. Kerut seribu yang menghiasi dahinya tadi, kini perlahan-lahan hilang dari pandangan. Senior..
            “Ehem, kalau ye pun nak tenung saya, lepaskanlah tangan saya ni dulu.” Fikri tersengih. Dia sedar, dari tadi, mata gadis itu tak lepas dari memerhati wajahnya. Dalam hati, timbul rasa bangga kerana mampu membuatkan gadis-gadis terpesona dengan kacaknya. Dia tertawa kecil.
            Damya yang seolah baru sedar dari koma yang panjang, terus melarikan jarinya yang sebentar tadi melekat kemas di atas tangan seniornya itu. Adoii, malunya! “Maaf.” Hanya itu yang mampu terluah.
            Tawa kecil Fikri pecah lagi. “Mari. Biar saya tolong bawakan buku ni.” Damya akur apabila melihat huluran tangan Fikri, mahu menyambut buku-buku rujukan miliknya ke meja studi yang banyak tersedia.
            “Banyak buku rujukan awak ni. Rajin studi ye? Baguslah.” Jejaka itu sudah duduk di hadapan Damya. Dia senang melihat gadis itu membalas senyumnya, tanda reaksi positif diberi. Diperhatikan tingkah gadis itu yang sedang membuka bekas pensel yang bercorak ungu itu. Pensel tekan berona sama sudah melekat di celah jari telunjuk dan jari tengahnya. Buku nota Sejarah pula dibuka luas. Jemari runcing itu, kini sudah mula menyelak helaian-helaian buku rujukan tebal di hadapannya. Ah, dia boleh habiskan satu hari hanya dengan memerhatikan setiap gerak geri si manis itu. Kedua-dua tangan sudah ditegakkan di atas meja, memanggung kepala. Pertemuan kali kedua ini memang sudah direncana bila matanya menangkap langkah gadis itu yang menapak masuk ke dalam perpustakaan. Inilah masanya untuk menghulurkan salam perkenalan dengan pemilik lesung pipit itu. Fikri masih mengukir senyum, termenung memandang indah gadis di hadapannya ini. Entah kenapa, Damya kelihatan sangat berbeza di matanya. Riak lembut wajah gadis itu hadirkan ketenangan dalam jiwa remajanya. Belum pernah dia merasakan semua ini. Sejak pertama kali bertemu di Pulau Kapas minggu lepas, dia sudah mula gila bayang. Di sekolah, bukan mudah untuk terserempak dengan gadis itu. Terlalu sukar untuk melihat kelibat Damya di sekitar sekolah. “Dia jarang keluar melepak luar kelas lah, budak baik la katakan. Selalunya pun, dia selalu duduk dalam library masa rehat dan lepas habis sekolah.” Itu mengikut kata Ipin, dan ternyata bicara rakannya itu benar.
‘Seminggu tak jumpa, ibarat setahun tanpa awak, Mia..’ hati kecilnya berbisik. Fikri tersentak sendiri. Mia? Siap ada nama timangan dah? Hebat! Kini ketawanya pecah tanpa sedar.
Tindakan pelik jejaka itu mendapat perhatian Damya, dan juga beberapa pelajar lain yang turut berada berhampiran yang agak terganggu dengan suara Fikri. Damya memandang sekeliling sambil mengangkat tangan dan  beri angguk kecil, sebagai isyarat memohon maaf. Bila pandangannya jatuh ke arah seniornya itu, baru dia tersedar yang lelaki tampan itu sedari tadi terus-terusan memerhatikannya. Redup mata itu mengasyikkan. Entah kenapa, dia seolah mahu terus lemas dalam pandangan indah itu. Bunyi batuk dari meja sebelah menyedarkan Damya. Terkelip-kelip matanya, cuba menyingkir pergi perasaan asing itu. Pandangannya turut dilari ke tempat lain, jauh dari renungan tajam si jejaka.     
“Kenapa tiba-tiba ketawa ni? Apa yang kelakarnya?” Damya mula bicara.
“Tak ada apa-apa. Saya cuma suka tengok awak studi. Tekun gila. Awak mesti selalu score dalam exam kan?” saja diubah topik. Tak akan dia hendak memberitahu gadis itu yang dia sudah fikirkan nama timangan buatnya walau hanya dengan dua kali pertemuan sahaja? Gila!
Damya hanya mampu tersenyum. Kalaulah jejaka itu tahu yang subjek Sejarah adalah kelemahan terhebatnya. Itulah matapelajaran yang paling dia tak mampu kuasai, walau sudah kerap kali mencuba, berusaha, namun minat dan keinginan itu tak pernah jua muncul, terbit dalam diri. Pelik. Entah kenapa, subjek itu menjadi kelemahannya, sedangkan matapelajaran yang lain, dia boleh mendapat skor yang baik. Keputusan ujian penggal pertama dulu menggusarkan Damya. Dia tak mahu subjek ini mencacatkan keseluruhan keputusan ujiannya.
Fikri mula gusar. Dia sudah mula risau dengan respon si gadis. Sepatah yang ditanya, sepatah juga jawapan yang diterima. Tak boleh jadi macam ni! Kalau dibiar, sampai sudah mereka berdua akan terus menjadi teman si sunyi.
Bunyi Fikri berdehem membuatkan konsentrasi Damya sekali lagi diganggu. Dia terus diam. Dia sebenarnya sedang menanggung resah, mencuba menahan debar yang hadir dalam dada. Entah kenapa, kehadiran jejaka kacak itu sedikit sebanyak mengganggu ketenangannya. Dia takut dengan perasaan ini.
“Boleh saya dapatkan nombor telefon awak?” bulat mata Damya mendengar ayat yang terpancul keluar dari bibir senior itu.
“Hah?” itulah reaksi spontan Damya.
            Fikri geli hati melihat raut wajah gadis itu. Comel! Desus hatinya. Baru minta nombor, dah buat muka macam ni, kalau ajak kahwin, entah macam mana la riak muka dia.
            Belum sempat Damya membuka mulut, bahu gadis itu ditepuk dari belakang. Damya mengangkat muka. Senyuman Syahirah ibarat malaikat penyelamat untuknya. Terima kasih, sahabat!
            “Is, jom la masuk kelas. Dah lambat nak masuk lab nih.” Syahirah tersengih memandang senior Fikri yang masih setia di tempat duduk tadi. Pelik juga dia melihat senior itu duduk semeja dengan rakan kelasnya yang baru dikenali tak sampai sebulan itu. namun, dia tidak mahu mencampuri urusan orang lain. Biarlah.
            Damya segera mengemas alatan tulisnya yang berselerak atas meja sebentar tadi tanpa membalas kata-kata Syahirah. Dia hanya mahu lekas-lekas pergi dari situ. Keadaan itu menyesakkan nafasnya. Lebih-lebih lagi dia sedar mata lelaki itu terus lekat padanya sejak tadi, makin gelabah seluruh tubuhnya. Dia takut!
            Fikri hanya memerhati langkah dua gadis itu yang sudah berlalu ke arah pintu. Walau dia cuba menafikan, hatinya sedikit terkedu dengan tingkah Damya yang pergi tanpa sebarang pamitan, apatah lagi nombor telefon yang diminta sebentar tadi. Dia mengeluh. Tangan kanannya dilarikan di rambut, sebelum digunakan untuk menongkat kepalanya. Sabar Mil, ini baru permulaan permainan, banyak lagi masa kau. Dia tersenyum sendiri. Dia sudha berkira-kira mahu bangun untuk kembali ke kelas saat matanya menangkap objek kecil di atas meja. Pensel tekan ungu. Fikirannya sudah mula mencerna sesuatu. Dia tersenyum lagi.
           
            “Weh, kau ni kenapa? Macam kucing hilang anak je aku tengok. Meroyan ye?” Azmir garu kepala melihat tingkah Damya yang kelihatan kalut.
            Damya tidak segera menjawab. Matanya terus liar mencari sesuatu. Di bawah meja tak ada, dalam bekas penselnya pun tidak kelihatan. Mana pulak perginya?
            “Kau nampak tak pensel aku? Yang warna ungu tu?” sebaik sahaja berpaling menghadap ketua kelasnya itu, terus disembur dengan persoalan. 
            Terbit kerutan kecil di dahi Azmir. “Pensel? Tak ada pulak. Kau tertinggal dalam lab kot masa kelas Fizik tadi. Cuba pergi cari kat sana.” Azmir cuba memberi cadangan.
            Damya menggeleng. “Tak ada, aku dah cari tadi, tak jumpa. Aku ingat aku tinggalkan dalam kelas, tapi tak ada jugak. Mana pulak perginya pensel tu?” Suara gadis itu sudah terselit dengan rengek kecil. Pensel itu istimewa, pensel itu hadiah dari ayahnya. Walau harganya tidak setinggi mana, tapi itu hadiah dari insan tersayang, tentu saja pensel itu punya nilai istimewa buat dirinya.
            “Alaa, relakslah Is. Pensel aku banyak. Aku boleh bagi pinjam. Jangan la sebab satu pensel, kau nak emo sangat, weh!” Azmir mengekek kecil. Sungguh, dia tak faham dengan sikap makhluk Tuhan yang bernama wanita. Terlalu sangat bertindak mengikut perasaan dan bukannya dipandu dengan akal. Contoh terdekat, gadis di hadapannya yang kini sudah resah kerana kehilangan sebatang pensel tekan. Pelik, pelik.
            “Tapi tak sama. Pensel tu present dari ayah aku. Sejak aku darjah lima lagi, aku pakai pensel tekan tu.” Mata Damya sudah berkaca. Dia rasa bersalah kerana tak mampu menjaga pemberian ayahnya.
            Azmir mula cuak melihat Damya yang sudah mula mahu menangis. Dia paling tak suka melihat gadis menangis. Seram sejuk seluruh badannya.
            “Okey, kau relaks. Nanti biar aku tolong kau cari pensel kau tu. Jangan la nak menangis kat sini.” Azmir cuba memujuk.
              
            Damya tersenyum. Tak jadi airmatanya jatuh mendengar kata prihatin sahabatnya itu. Walaupun mulut ketua kelasnya itu kadang-kadang boleh menyakitkan hati, tapi ternyata dia kawan yang baik.

            Damya bergegas menuju ke arah Fikri. Dia mahu membuat perhitungan dengan lelaki itu. Khabar yang diterima dari Azmir semalam benar-benar buat hatinya bengkak. Dia tak faham kenapa seniornya sanggup melakukan perkara itu. Untuk apa? Apa yang ingin dibuktikan dengan tingkah ini?
           
            “Weh, aku dah tahu mana pensel tekan kau tu.” Bulat mata Damya memandang tepat ke arah Azmir yang tersengih sambil mengangkat kening.
            “Kau dah jumpa? Mana?”
            Aksi Azmir yang tersengih bagai kerang busuk buat Damya jadi geram. Main-main pulak mamat nih! Aku jentik kang baru tau.
            Azmir yang melihat riak wajah gadis itu yang sudah merah padam, segera mengangkat kedua belah tangannya. Tanda dia akan berhenti senyum dan mula bercerita.
            “Macam ni, tadi masa rehat, aku makan satu meja dengan senior form 5 kita. Pastu ada sorang senior tegur aku. Dia tanya aku kelas mana. Aku jawab jela soalan dia tu, bukan payah pun kan.” Azmir tergelak kecil dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya sendiri. Namun tak lama bila Damya lekas memotong tawanya dan minta dia untuk menyambung bicara.
            “Dia tanya aku, kenal tak budak kelas ni, nama dia Damya. Mula-mula aku geleng, sebab setahu aku mana ada member kita nama tu. Then, aku teringat nama penuh kau. Itulah kebaikannya tengok buku kahadiran tiap-tiap hari. Sampai nama penuh kau orang pun aku boleh ingat!” Azmir buat muka bangga. Rambutnya yang hampir menutup mata itu dikuak sedikit ke tepi. Sekali pandang, gaya Azmir memang serupa dengan vokalis kumpulan Hujan. Lelaki itu memang minat dengan muzik yang dibawa oleh kumpulan itu. Muzik dia orang fresh! Itulah pendapatnya tiap kali ditanya mengapa Hujan yang menjadi pilihan.
            “Dah tu, apa kena mengena dengan pensel aku dalam cerita kau ni?” Damya sudah naik rimas.
            “Senior tu minta aku bagitahu kau yang pensel kau ada pada dia. Kalau kau nak, kau kena pergi jumpa dia. Bila aku offer nak ambil pensel tu dari dia, dia cakap tak boleh. Kau yang hilangkan, so kau sendiri yang kena pergi ambil balik pensel tu.” Azmir angkat bahu. Dia sudah cuba membantu, dan kini pensel Damya yang hilang sudah ditemui, cuma belum berada dalam genggaman saja.
            Kerut menghiasi dahi Damya. “Senior mana ni?”
            “Alaa, senior yang paling famous kat sekolah laa, siapa lagi. Abang Izmil.” lancar saja nama itu keluar dari bibir Azmir. Damya hanya mampu diam.   

            “Senior.” Damya panggil Fikri dari belakang. Jejaka itu sedang duduk sendirian di tengah gelanggang bola keranjang. Suasana petang yang damai itu beri aman pada hatinya. Lagipun tiada orang di situ, lagilah dia suka.
            “Senior!” kali ini, suara yang dilontar Damya lebih kuat, keras berbanding tadi. Dia mahu dapatkan perhatian lelaki itu. dia mahu meminta haknya yang kini ada pada jejaka tinggi lampai itu.
            Fikri berpaling. Bibirnya mengukir senyum indah. Walau cuba dinafi, timbul debar dalam hati Damya bila melihat senyuman itu dituju buat dirinya. Hilang sekejap marahnya. Terbang seketika patah bicaranya. Senyum itu terlalu indah dimatanya. Akalnya menjerit, pinta dialihkan pandangan, namun badannya menegah! Dia tak mampu menahan getar yang hadir dalam dirinya saat ini. Dan entah kenapa. Dia tak kisah tentang hal itu. langsung tak..
            Fikri bangun dari lantai gelanggang. Langkahnya kini menuju ke arah Damya yang berubah menjadi patung. Dia tahu kenapa gadis itu datang mencarinya di sini. Dia tahu apa yang gadis itu mahu darinya. Tapi, dia takkan memberi dengan mudah. Tak akan!
            Lambaian tangan Fikri di depan mata Damya menyentakkan dia untuk kembali ke alam reality. Terlalu jauh dia mengelamun. ‘Can you blame me? Dia terlalu menarik, hingga mata ini tak mampu teralih dari terus menatap wajah tampan itu,’ Damya cuba membela diri dalam diam.
            “Saya nak minta balik pensel saya yang ada pada awak.” Damya terus bersuara dengan nada serius. Biar lelaki ini tahu yang dia sememangnya tak suka barang miliknya disimpan oleh orang lain, terutama sekali oleh senior Izmil Fikri!
            “Pensel?” Fikri buat muka toya.
            Damya lekas mengangguk. Tangannya sudah dihulur, dengan harapan pensel ungu itu akan bertukar tangan sebentar lagi.
            “Pensel siapa?” ternganga Damya mendengar jawapan yang terkeluar dari bibir seniornya itu. Apakah maksud semua ini. Adakah dia cuba dipermainkan? Dia sedar dia budak baru di sekolah, tapi takkanlah mahu di’prank’ sampai begini. Adakah Azmir yang punya angkara? Atau jejaka tampan di hadapannya ini? Dia tak tahu, yang dia tahu, dia mahukan kembali pensel ungu itu!
            “Saya dapat tahu yang senior ada simpan pensel saya. Pensel tekan warna ungu. Itu milik saya. Lagipun pada pensel itu, ada sticker nama saya. Dah dua hari saya cari pensel tu. Kalau senior ada terjumpa, saya minta tolong pulangkan pada saya.” Damya cuba mengawal nada suaranya. Mungkin Azmir yang sengaja mahu mengenakannya. Dia tak mahu malu sendiri dengan memarahi seniornya itu. Lagipun, dia hanya bari beberapa bulan belajar di sini. Tak mahu dia dilabel sebagai orang yang tak sedar diri.  
            Fikri terdiam seketika. Lembutnya suara itu. Seolah mendengar lullaby indah yang mendamaikan. Tak sanggup pula rasanya untuk terus menyeksa gadis itu. jelas, pensel itu ada keistimewaannya tersendiri hingga gadis itu kelihatan begitu gelisah.
            “Ha’ah. Baru saya ingat..” meleret nadanya. Jari telunjuk kirinya mengetuk perlahan dahinya. Lagak seperti sedang mengingati mana letaknya pensel ungu itu, padahal..
            Damya hanya memandang penuh mengharap. Terangkat keningnya melihat aksi saya-tengah-cuba-ingat-mana-saya-letak-pensel-awak-tu. Lucu pun ada. Damya tersengih kecil. Tapi, senyum itu lekas terpadam bila jemari kanan Fikri diketip ke udara. Tanda dia sudah ingat.
            “Saya tertinggal pensel tu dalam dorm. Nantilah saya bagi kat awak ye. Awak banyak lagi pensel lain kan?”
            “Tapi, saya dah biasa guna pensel tu. Rasa pelik pula bila guna pensel lain. Boleh tak kalau senior pergi ambil? Saya tunggu kat sini. Boleh?” Damya masih cuba memujuk.
            “Saya letih ni. Ingat nak terus rehat je balik dorm lepas ni,. Esok la saya bagi kat awak ye.” Bohong Fikri. Padahal dia tak melakukan apa-apa aktiviti pun petang itu. dari taid hanya duduk santai meleihat pelajar lain berlatih. Dia mahu menguji gadis itu. Mahu melihat tahap kesungguhan gadis itu mendapatkan pensel yang dirasakan tiada apa yang istimewa itu.
            “Saya minta tolong sangat-sangat dengan senior. Esok, cikgu Roslan nak buat test add math. Saya selalu pakai pensel tu untuk setiap exam. Rasa kekok pula bila guna pensel kayu.” Berkerut dahi Damya menerangkan situasi dirinya.
            Fikri makin pelik. Takkan sebab tiada pensel itu, gadis itu akan gagal dalam test esok? Ingat pensel tu magic ke?
            “Apa kena mengena pensel tu dengan test esok? Ohh, pensel tu kira macam lucky charm awak ye? Bukan ke doa itu senjata mukmin yang paling berkesan? Kenapa pertaruhkan nasib awak pada sebatang pensel yang tak beri apa-apa makna tu?”
            “Bukan macam tu! Saya tak buat perkara macam tu. Cuma, pensel itu pemberi semangat saya. Pensel tu, hadiah dari ayah. Dari darjah lima, saya simpan pensel tu. Tiap kali peperiksaan, saya bawa pensel itu masuk dewan. Seolah saya menggenggam impian ayah, doa ibu untuk lihat saya berjaya. Itu aje. Bukan untuk dijadikan sebagai tangkal.” Bersungguh Damya menerangkan pada Fikri. Biar bagi faham, beri gambaran jelas mengapa pensel itu penting baginya.
            Fikri diam. Rasa bersalah mengulit tangkai hatinya. Tak patut dia menuduh yang bukan-bukan sebelum mengetahui hal yang sebenarnya. Dia berdehem.
            “Saya minta maaf. Saya tak tahu hal tu.” Tangan kanannya dibawa ke kepala. Rambutnya dikuak ke belakang dengan wajah yang sedikit tertunduk sambil matanya masih memandang Damya, menghantar isyarat meminta maaf.
            “Saya tunggu sini. Minta tolong, senior..” mata itu terselit seribu pengharapan.
            Fikri hanya mengangguk. Jam sudah menunjukkan pukul 7 petang. Sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang, menandakan masuknya waktu untuk umat muslim menunaikan tuntutan ibadah solat.
            “Awak pergilah balik dulu. Lepas Isyak nanti, tunggu saya kat sini.” 

No comments:

Post a Comment