Monday, August 8, 2011

Bab 12 ~ Kenangan Kita


12


            Home sweet home! Tunjuklah sebesar mana pun rumah di depannya, bariskanlah beribu rumah mewah, namun tiada tandingan dengan rumah sendiri. Iris terus berbaring di atas katilnya. Ah! Aku rindu kau, tilam. Aku rindukan bantal-bantal aku. Iris tersenyum sambil memeluk bahagia bantal-bantal yang disusun rapi atas katil itu.
            Normah yang baru menapak masuk ke dalam bilik tidur anak daranya itu sekadar tersengih. Iris masih berperangai seperti budak manja walau usia sudah mencecah 23 tahun. Normah hanya mampu menggeleng sambil tersenyum.
            Iris yang menyedari kehadiran ibunya terus duduk tegak atas katil. Tangannya masih belum lepas dari memeluk bantal. “Rindu..” hanya itu jawapan yang diberi pada gelengan kepala Normah. Memang dia rindu dengan suasana rumahnya itu. Masa seminggu yang dihabiskan di Gombak membuatkan hatinya meronta-ronta hendak segera pulang ke Kuantan.
           
            Iris membuka laptop miliknya di ruang tamu rumah. Panas tengahari itu terasa hingga ke dalam rumah. Bahang matahari membuat dirinya berpeluh walaupun hanya duduk tanpa berbuat apa-apa. Ibunya terus berlalu ke bilik selepas makan sebentar tadi. Belum menunaikan fardhu Zuhur, katanya. Bila ditanya tentang dirinya yang sudah solat atau tidak, hanya gelengan perlahan yang diterima oleh Normah. Tanda dia sedang uzur.
Iris mengerling ke arah jam di dinding. Tepat jam 1.30 tengahari. Dia membuka emel. Tiada emel baru yang diterima. Laman sosial berwarna biru itu pula jadi sasarannya. Sejak mula habis pengajian dulu, memang inilah kerjanya. Hanya itu yang mampu untuk menghilangkan bosan yang dirasakan. Rancangan di tv pula tidak mampu menarik minatnya.  
            Petang itu, dia sudah merancang mahu mengemas bilik yang hampir seminggu tak diusik itu. Selesai mengelap permukaan meja solek, tangannya beralih pula pada kabinet yang menempatkan barang-barang seperti koleksi novel-novel yang sudah dikumpul sejak tingkatan 3, serta perkakas alat tulis yang diguna semasa belajar dulu. Iris tersenyum puas melihat susunan novelnya yang teratur kemas. Bukan bahan fiksyen saja yang menjadi pilihan, malah buku-buku berunsur ilmiah juga dibeli.
            “Buku-buku ni makanan untuk jiwa..” itulah ayat ayah. Dan ayat itu juga yang digunakan setiap kali rakan-rakannya mempersoalkan tentang dirinya yang ‘naik gila’ setiap kali ke kedai buku. ‘Kenyang jiwa aku tengok buku-buku yang bertimbun ni. Dah la ada sale!’ Ayat poyo itu sentiasa mengundang tawa sahabat-sahabatnya.
            Sedang dia sibuk mengelamun kenangan sewaktu masih bergelar pelajar dulu, tanpa sedar tangannya tertepis bekas pensel. Habis berterabur segala isi dalamnya. Baru dia teringat yang malam tadi dia lupa untuk menutup zip selepas mengeluarkan stapler dari dalam bekas hitam yang bersaiz sederhana itu. Iris segera menunduk, mengutip segala alatan tulisnya. Lincah tangannya terhenti saat matanya memandang sesuatu. Pensel tekan ungu itu, beri memori manis dalam kepahitan zaman remajanya.

            Usai solat Isyak di surau sekolah, Damya bersegera ke gelanggang bola keranjang. Walaupun dengan cahaya lampu yang agak suram, namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk mendapatkan kembali miliknya. Damya memandang jam di pergelangan tangan kirinya. ‘Aku yang awal ke atau dia yang lewat?’ pandangannya dilari ke sekeliling. Jangankan susuk tubuh, bayang jejaka itupun masih belum kelihatan. Masih di suraukah? Pelbagai andaian yang singgah di benaknya.

            “Mil!” teriak Lepat bila melihat susuk tubuh Fikri dari belakang. Jejaka itu dilihatnya mahu melangkah masuk ke dalam asrama. Selalunya setelah selesai Isyak, lelaki itu lebih selesa untuk duduk di bilik studi, menelaah.
            Fikri berpaling ke arah suara Lepat. Dia sudah tersengih.
            “Kau nak pergi mana ni? Jom la kita pergi bilik studi, yang lain semua dah tunggu kita.” Lepat merujuk pada Ipin, Boboy, dan Daim.
            “Sekejap la, aku ada hal yang aku kena settlekan dulu. nanti bila dah selesai, aku datang jumpa kau orang kat sana. Kau pergilah dulu, ye!” Fikri sudah berkira-kira untuk melangkah pergi, namun Lepat lebih pantas menyambar lengan sasa Fikri.
            “Kau nak pergi mana ni?” soalan Lepat hadir bersama kerutan di dahi jejaka yang seiras Kamal Adli itu. Hal apa pula yang perlu diselesaikan hingga Fikri perlu berahsia begini?
            “Tak ada apalah! Tak ada kena mengena dengan kau pun. Relaks laa, nanti aku datang jumpa kau orang. Sekarang aku kena pergi dulu.” ujarnya keras. Fikri menarik kasar lengannya yang digenggam kejap oleh Lepat. Panas hatinya melihat sikap temannya yang seperti mendesak dirinya.
            Lepat yang terdiam hanya memandang langkah Fikri yang kian menjauh. Pelik dia melihat tingkah temannya itu. Entah apa la yang dirancang tanpa pengetahuannya. Selama ini, semua perkara baik atau buruk, pasti dilakukan bersama. Tak boleh jadi ni! Aku kena siasat perkara ni. Mesti!

            Fikri berjalan laju. Sambil langkahnya diatur, jam di tangan kiri turut jadi perhatian matanya dari tadi. Sudah hampi jam 10 malam. Dia tahu dia sudah terlewat. Tadi, puas dia mencari sekitar biliknya. Pensel ungu itu seolah hilang dari pandangannya. Padahal, dia yakin, dia sudah simpan barang itu dengan baik dalam bekas penselnya. Rupanya pensel itu tersorok dalam buku nota Kimianya. Ya, dia gunakan pensel itu. Mahu dirasa semangat yang mengalir dari pensel itu, ingin tahu istimewa pensel itu. Memang pensel itu kelihatan agak lusuh kerana sudah hampir 4 tahun digunapakai oleh Mia. Mia? Dia tersengih sendiri.
            Dari jauh, kelihatan satu susuk tubuh sedang duduk sambil lutut dirapatkan dekat dada. Tentu saja Fikri kenal akan gadis yang masih berbaju kurung berona coklat itu. Bukankah dia yang beri janji untuk bertemu tadi? Namun, dia pula yang lewat ke tempat pertemuan. 
            Damya yang sedang duduk diam sendiri itu membuat Fikri jatuh kasihan. Perlahan-lahan dia menapak menghampiri. Dia berdehem, namun tiada respon. Aikk? Fikri menunduk sedikit. Dia sedikit tersentak.
            “Dia tertidur?” perlahan suaranya. Matanya tak lepas dari memerhati indah redup wajah Damya. Kepala gadis itu terlentok atas lutut. Walau keadaan malam itu agak dingin dengan nyamuk yang menari-nari di tepi telinga, namun semua itu bukan masalah bagi gadis itu. Wajah polos itu kelihatan seperti bayi, nyenyak tidur tanpa menghiraukan dunia.
            “Damya..” suara Fikri bergetar hebat ketika menyebut nama itu. Inilah kali pertama dia memanggil nama itu di hadapan gadis itu. Walau mungkin gadis itu tidak mendengarkannya. “Mia..” tangannya kini sudah menggoncang perlahan bahu gadis itu.
            Terpisat-pisat Damya bangun dari lena. Ah! Malunya. Dia membetulkan tudung putihnya di kepala. Macam mana dia boleh tertidur pulak ni? Matanya memandang jam. 10.30 malam?! Bulat matanya.
            “Maaf, saya terlelap. Senior dah lama sampai?” ujar Damya sambil menggaru matanya.
            Fikri tersentak. Dia langsung tak marah? Walau sudah menunggu hampir 2 jam, gadis itu langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi bengang pada dirinya yang terlewat. Berbeza sungguh dengan pelajar perempuan yang dikenali sebelum ini.
            “Saya minta maaf, saya terlewat. Tadi ada hal dengan member..”
            “Tak apa. Senior ada bawa pensel saya?” Damya segera memotong ayat seniornya. Dia tak betah untuk terus berasa di situ. Dia benar-benar mengantuk. Pensel ungu itu, hanya itu yang ada dalam fikirannya sekarang.
            Fikri segera mengeluarkan pensel itu dari poket baju melayunya. “Nah. Saya minta maaf. Saya terlupa mana saya letak pensel ni, tu yang saya terlambat sikit tu.” Sikit? Iye lah sangat.
            “Terima kasih. Terima kasih banyak-banyak, senior. I’m sorry if it cause you any inconvenience, sepanjang awak tolong jaga pensel ni. Thanks again. Assalamualaikum.” Damya terus bangun dari duduknya. Dia mahu segera balik ke bilik. Ngantuknya masih belum hilang. Kepalanya yang agak berpinar kerana bangun dalam keadaan tergesa-gesa, membuatkan tubuhnya jadi lembik. Nasib baik Fikri cepat menahan dirinya dari mencium simen gelanggang itu.
            “Mia tak apa-apa? Okey tak ni?” nada suara itu jelas dalam kerisauan.
            Damya lekas-lekas menjauh dari badan sasa itu. dia tak betah berlama-lama dengan kehangatan tubuh itu yang ternyata mendamaikan hatinya. Segera dia beristighfar dalam hati.
            “Maaf, saya tak sengaja. Saya pergi dulu.” Langkah kakinya diatur laju keluar dari gelanggang bola keranjang itu. Malunya!
            “Jatuh lah dari mana pun, Mia, saya sedia menyambut awak.” Tanpa sedar, Fikri menutur lembut ayat itu. Dia sendiri terkejut apabila bibirnya melontar kata-kata itu. Kenapa dengan kau, Izmil Fikri? Sudah gila bayangkah? Pada gadis itu? 

No comments:

Post a Comment