Monday, December 5, 2011

Bab 13 ~ Terkeliru Dengan Rasa Ini

13



Telefon yang berdering di atas meja solek itu dipandang sepi. Nombor yang sama terpamer lagi di skrin. Tiada kuasa Iris mahu mengangkat panggilan itu. Biarkan saja si Bruno Mars itu terus mendendangkan lagu ‘Somewhere In Brooklyn’ sendirian. Bukan dia tak tahu siapa yang dari tadi memanggilnya. Walau nombor itu masih belum bernama, tapi dia cukup kenal dengan pemilik nombor itu.

Sebentar tadi, dia teragak-agak juga mahu menjawab panggilan dari satu nombor yang tidak dikenali, namun akhirnya butang hijau itu ditekan juga. Mana tahu nombor itu milik saudara maranya yang ingin menyampaikan apa-apa berita barangkali.
“Hello, assalamualaikum.” Pantas Iris menjawab.
“Waalaikummusalam.” Suara lelaki? Siapa pulak nih? Talian di sebelah sana sunyi selepas salam Iris dijawab. Iris makin bingung.
“Boleh saya tau siapa ni?” Iris menyoal sopan. Dia yang telefon aku, lepas tu boleh pulak tiba-tiba diam bisu. Aishhh…
“Awak tak kenal saya? Baru beberapa hari tak jumpa, takkan terus lupa saya kot..?” gelak kecil kedengaran di hujung talian.
Ok, sekarang kau memang saja nak buat aku angin, mamat! Iris paling pantang bila ada orang yang sengaja mahu membuat panggilan palsu seperti ini. Dia cukup tak gemar. Pernah dulu, dia menyinga dalam telefon apabila ada orang mengganggunya. Rupanya-rupanya, itu rakannya, Rizkan yang baru menukar nombor baru, sengaja mahu bergurau. Padan muka Rizkan yang terkulat-kulat membatu bila diherdik oleh Iris dulu.
“Tolong jangan main-main, encik. Saya tak ada masa nak layan orang macam encik ni.” Suara Iris mula tinggi, tapi masih terkawal. Dia masih cuba untuk mengawal nada suaranya. Tak mahu dilabel sebagai kurang ajar walaupun tidak bertentang empat mata.
“Mustahil awak tak ingat siapa saya. Suara saya yang sedap ni, takkan awak tak kenal?” lelaki di hujung talian itu masih mahu bermain tarik tali dengan hati panas Iris.
Iris pejam mata rapat-rapat. Cuba menjemput kembali kesabaran yang sudah jauh bertebaran untuk menutupi api kemarahan yang makin galak membara dalam relung hatinya. “Maaf, saya tak kenal siapa awak. Semua kawan saya ada nama dia orang masing-masing. Kalau awak tak ada niat nak kenalkan diri awak, saya pun tak terhengeh-hengeh nak ambik tau. Kalau awak nak terus main-main macam ni, be my guest, tapi saya nak bagitau yang awak dah salah pilih orang untuk dibawa bergurau. Saya tak ada minat langsung nak layan sikap awak yang macam budak-budak nih.” Naik turun dada Iris cuba menahan amarahnya. Ayat itu diucap dalam satu nafas saja.  Iris sudah berkira-kira mahu memutuskan talian bila namanya diseru.
“Mia..” lunak suara lelaki itu membuatkan Iris tersentak.
“Mia.. ini saya, Fikri.. Saya minta maaf. Bukan niat saya nak ganggu awak, tapi saya rindukan tunang saya nih.. Tak salah kalau saya nak bertanya khabar awak kan?” Izmil diam seketika. Dia tahu Iris masih di talian walau tiada balasan yang diterima. “Mia..”
Teett.. kini, giliran Izmil pula yang terdiam, kaku di duduknya. Talian telefon sudah diputuskan. Lelaki itu terus diam sambil memandang sunyi telefon bimbit Blackberry Torch miliknya.       
  
Sudah lebih sepuluh kali Izmil mendail nombor yang sama, namun sama seperti tadi, tiada jawapan yang diterima. Akhirnya dia mengeluh sendiri. Mungkin silap aku, sebab nak mengusik Mia. Tapi, mana aku tahu yang dia marah sampai macam tu sekali? Kecil hati juga bila mendengar ayat yang keluar dari bibir gadis itu sebentar tadi. Tiba-tiba Izmil tersengih sendiri.
“Nampaknya, abang tak payah risaukan tentang Mia, sebab sekarang, abang dah tahu sayang abang ni setia pada abang..” dia ketawa sendiri atas katil. Hilang sudah rajuk yang hadir seketika tadi. Yang muncul dalam hatinya kini hanya rasa bahagia.

Usai solat Isyak, telefon yang tersidai di atas katil bergetar dengan bunyi beep, memberi isyarat ada mesej yang masuk. Iris tak terus melihat. Kedua tangannya kini sudah menadah, berdoa pada Ilahi, meminta keberkatan, memohon diampunkan segala dosa. Lama dia berteleku di atas sejadah, berbicara dengan penguasa sekalian alam. Terasa tenang hatinya.
“Is..” suara ibu dari luar bilik mengejutkan Iris.
Terjengul kepala Normah di muka pintu bilik tidur anaknya itu. Iris tersenyum, membalas panggilan ibunya.
“Ada apa, bu?” Iris sudah bangun, melipat sejadah dan telekung yang sudah ditanggalkan dari tubuhnya. Normah pula sudah duduk di penjuru katil.
“Tak ada apa-apa. Ibu cuma nak tengok keadaan Is je. Jom pergi makan, sayang. Ibu dah masak lauk favourite Is, asam pedas ikan tenggiri.”
“Patutlah perut Is ni dari tadi asyik menyanyi lagu keroncong jek. Dia nak makan masakan ibu Is nih rupanya.” Iris berseloroh sambil menepuk-nepuk perutnya perlahan. “Jom, bu. Is tak sabar nak makan asam pedas ibu.” Iris sudah menarik lengan ibunya, persis anak kecil yang meminta lolipop.

Jam 11, barulah Iris masuk kembali ke dalam bilik. Dia baru habis menonton drama di tv sebentar tadi. Lega rasa badannya berbaring di atas katil. Matanya kini tertancap pada syiling kamar. Tangannya kini meraba sekeliling tilam, mencari telefon. Takut terlupa pula hendak mengunci alarm untuk bangun subuh esok. Pernah dia terbabas, tidur sehingga pukul 10 pagi ketika di USM dulu. Sampai terlepas kelas pagi.
Perlahan jarinya menolak telefon slide berjenama Sony Ericson berona merah jambu itu. Bulat matanya melihat ada 5 mesej dan 15 panggilan tak berjawab tertera di skrin. Semuanya dari nombor yang sama. Nombor itu.
Dia membuka mesej-mesej yang dihantar kepadanya menerusi ‘conversation’ telefon bimbitnya. Bermula dari mesej pada pukul 8.50 malam tadi, ketika dia baru selesai solat Isyak tadi.
“Assalamualaikum.. Mia dah makan?”
Diikuti dengan mesej seterusnya, pada jam 9.15 malam.
“Mia.. please jawab calls saya.. jangan diam macam ni.”
“Mia.. tolong jangan buat saya risau..”
“Mia.. please.. just pick up the phone, dear. I need to know that u’re ok. Itu je..”
Dan mesej terakhir dihantar beberapa minit yang lepas.
“Mia.. Mia.. Mia..”

Adakah itu tanda yang lelaki itu sudah berputus asa? Adakah mesej terakhir itu sebagai tanda yang lelaki itu sudah letih mahu melayan kerenah budak-budak aku? Biarkan! Aku nak dia tahu, yang hati ini juga pernah sakit macam mana yang dia tengah rasa sekarang. Hati ini juga pernah rasa seksa bila rindu yang kian menebal dalam dada tidak dipedulikan. Biarkan!
Tapi kenapa ketika ini, hati aku juga sedang sakit? Kenapa perit dulu masih ada? Ya Allah.. kuatkan hati rapuh aku. Iris pejam mata, cuba memanggil kembali kekuatan yang dirasakan kian pergi jauh darinya.
Pantas kepala digeleng. Cuba singkirkan perasaan itu. Dia tak betah mahu terus melayan rasa. Telefon bimbitnya terus diletak di tepi bantal setelah selesai mengunci jam. Pelik, mata yang sebentar tadi merayu-rayu pinta ditutup, kini kembali segar pula. Ah! Tolonglah wahai mata, tidurlah.. Bukan apa, dia takut airmata yang ditahan tumpah pula malam ini. Dia sudah letih mahu menangis. Penat!
Badan Iris dipusing ke sebelah kiri, membelakangkan telefon. Dia cuba undang kembali ngantuk sambil memeluk bantal. Tak lama kemudian, nada dering ‘Somewhere In Brooklyn’ bergema memecah hening malam. Bulat mata Iris. Dia masih dalam keadaan tadi, masih tidak berpaling ke arah telefon. Entah kenapa, hatinya kuat merasakan yang dia tahu siapa pemanggil itu. Pantas tangannya menekup telinga, sehingga si Bruno Mars itu berhenti menyanyi. Setelah itu, barulah Iris mampu bernafas lega.
Iris berpaling, melihat telefon yang sudah sunyi. Jarinya pantas menekan-nekan punat di telefon. Sah! Memang dia.
“Kenapa awak buat saya macam ni? Saya perlukan masa, ruang untuk  diri saya sendiri. Tolong jangan seksa jiwa saya..” perlahan suara Iris berbisik sambil memandang tepat pada skrin telefon, seolah sedang berbicara pada jejaka itu.
Nombor tadi muncul lagi di skrin telefon. Iris sedar, selagi dia berdiam diri, lelaki itu takkan berhenti mengganggunya. Dia menarik nafas panjang.
Dua jiwa itu sunyi. Yang kedengaran hanyalah desah nafas yang hampir-hampir tidak kedengaran.
“Assalamualaikum..” Izmil memulakan bicara setelah hampir beberapa ketika mereka hanya berbicara dengan sepi.
“Waalaikummusalam.” Walau suara itu mendatar, namun sudah cukup menggetarkan naluri lelaki Izmil. Sungguh dia rindukan seraut wajah itu.
“Saya ganggu Mia ke malam-malam nih?” sepatah-sepatah ayat disusun, tak mahu mengulangi silap siang tadi. Bergurau tak kena dengan tempat.
“Ha’ah.” Tersentak Izmil mendengar jawapan Iris.
“Saya minta maaf. Saya cuma nak tau keadaan tunang saya nih.. tak apa lah, awak pergi lah tidur ye. Sorry, again.” Mendatar saja nada suara itu. Kini, Iris pula yang jadi serba salah. Alamak, merajuk pulak ke?
“Awak! Kejap.” Pantas Iris bersuara.
Izmil memilih untuk terus diam di hujung talian, memberi ruang untuk Iris meneruskan bicara.
“Tadi telefon tertinggal dalam bilik. Lepas Isyak, saya terus pergi makan dengan ibu kat dapur. Lepas tu plak, saya duduk tengok tv. Baru kejap tadi, saya masuk bilik. Tu yang saya tak dengar awak call. Saya minta maaf.. err.. kalau buat awak risau.” Entah kenapa, Iris merasakan perlu untuk menjelaskan situasinya. Untuk apa? Dia sendiri tidak punya jawapan untuk itu.
Iris hanya menunggu reaksi Izmil dalam debar. Setelah lama berdiam, Iris berdehem. Takkan mamat ni dah terlelap?
Kedengaran suara Izmil tertawa kecil. Iris kerut dahi. Aikk? Gelak pulak? Ngigau ke ape?
“Kenapa awak bagitahu saya semua ni?” tawa Izmil masih bersisa.
“Hurmm.. entah.. saya cuma tak nak awak salah faham dengan saya. Tu je kot.”
“Atau, awak takut saya kecil hati dengan kata-kata awak tadi?” sah! Lelaki itu sedang cuba menduganya.
Iris terdiam. Betul ke? Aku takut dia berjauh hati dengan aku? Tapi, kenapa pulak? Bukan ke aku memang tak nakkan dia?
“Mia.. sayang..” gemersik panggilan itu singgah di telinga Iris.
“Errr, dah la ye. Saya letih, nak tido. Selamat malam, assalamualaikum.”
Iris terus putuskan talian tanpa menunggu salamnya dijawab. Dia takut mahu melayan perasaan itu. Dia takut akan terluka sekali lagi.
Izmil terpinga. Telefon masih setia melekap di telinga walau yang tinggal kini hanya bunyi talian yang diputuskan. Seketika kemudian, dia tersenyum sendiri.
“Tau pun takut kalau aku merajuk. Cara dia bercakap tadi, macam aku ni hati kayu jek. Kecil hati, tau! Nasib baik abang sayang Mia..” Izmil sekadar berdialog sendiri. Sambil itu, dia tersengih sambil membayangkan wajah gadis manis itu.