Monday, November 11, 2013

Bab 19 ~ Putih Cengkerang

19

Fikri menghempas tubuhnya ke atas katil. Seluruh badannya terasa sengal. Fikirannya kusut, serabut mengenangkan hal yang satu itu. Hatinya gundah setiap kali wajah itu singgah ke benak fikirannya. Bukan dia tidak mengelak, namun dia tidak mampu untuk menepis bayangan gadis kesayangan yang sudah lama bertakhta dihati. “Mia..” Nama itu terbit untuk sekian kalinya di bibir Fikri bersama keluhan. Kenapalah begitu payah untuk menundukkan hati gadis itu?
Sudah macam-macam cara yang dilakukan untuk menawan hati Damya, namun semuanya tidak berhasil. Fikri keliru, buntu. Dia yakin dengan hatinya, dan saat ini, hatinya menginginkan Mia, hanya Mia. Tidak pernah satu hari dalam hidupnya berlalu tanpa ingatannya terhadap pemilik senyuman manis itu. Aduh, entah apalah jampi yang telah digunakan sehingga membuatkan dia terpukau. Fikri terimbas kembali saat pertemuan dia bersama Damya, di pantai beberapa bulan lalu. Ketika itu mereka sekeluarga pulang ke kampung mamanya di Kuantan untuk menghadiri kenduri sepupunya, Hanim. Mamanya mahu pulang awal seminggu sebelum tarikh pernikahan Hanim kerana mahu membantu adiknya dalam hal kenduri.

******

Satu pagi itu selepas subuh, terlintas di fikirannya untuk mengambil angin di pantai belakang rumah orang tuanya. Sedang dia berjalan di persisir pantai yang sunyi, dari jauh matanya menangkap imej seorang gadis yang sedang duduk di atas salah satu batu besar di tepi pantai. Entah kenapa, langkahnya ringan untuk mendekati gadis misteri itu. makin dekat, makin jelas. Mia! Hatinya teriak. Dia sangat merindui gadis yang berjaya tawan hatinya itu. sudah lapan tahun berlalu sejak peritiwa itu, namun rasa sayang itu masih belum padam. Betapa dia rindukan gadis itu.
“Awak!” Tanpa sedar, Fikri melaung memanggil figura itu.
Dia sendiri bingung mengapa tindakan refleksnya tidak seiring dengan fikirannya. Ketika otaknya jenuh mencerna, bibirnya sekali lagi melaung, dengan harapan dapat menarik perhatian gadis yang seolah hanyut termenung memandang ombak.
Berjaya! Bibirnya tersenyum bila gadis itu berpaling. Walau dari jauh, dia seolah yakin gadis itu adalah Damya. Mia miliknya. Langkah yang mulanya perlahan, kini makin laju mengorak langkah menuju ke batu besar itu. Menuju ke arah insan kesayangannya yang sudah lama menghilang. Jika benar itu dia, jika benar itu Damya, dialah lelaki yang paling bahagia sekali saat itu. 
Ketika dia mahu melangkah ke arah Damya, gadis itu sudah bangun, mahu berlalu pergi. Fikri jadi pelik. Dia menjerit meminta gadis itu supaya menunggunya.
“Tunggu! Awak! Jangan pergi!” suaranya ketika itu seolah merayu.
Fikri terus mengejar Damya tanpa berfikir panjang. Langkahnya makin laju saat dia menyedari yang Damya turut membuka langkah menjauhinya. ‘Ah, sudah! Jangan laa lari.’ Makin dia menghampiri, makin jauh Damya lari darinya. Dia cuba memanggil lagi.  Namun panggilan itu langsung tidak diendah. Gadis itu, dari kejauhan sudah mula berlari jauh, jauh meninggalkan dirinya yang masih terpinga.
Akhirnya, Fikri berhenti dari terus mengejar. Dia putus asa, letih! Langkahnya makin perlahan memijak pasir pantai itu. Dalam sunyi dinihari itu, Fikri seolah dapat mendengar sesuatu jatuh, jatuh yang terlalu kuat hingga menyepah pasir. Bunyi hati rapuhnya kah yang sedang berderai jatuh itu? Dia terduduk. Semua ini terlalu berat untuk diterima. Mia.. 
Lalu, dia berlalu ke arah pantai, di balik batu-batu besar untuk duduk, merehatkan badan. ‘Pagi-pagi lagi dah exercise,’ dia mengaduh! Tiba-tiba, Fikri perasan sesuatu di celah-celah batu, di tempat gadis itu duduk sebentar tadi. Cengkerang.

******

“Cengkerang!” Izmil baru teringat perihal itu. Dia bangkit dari katil, dan terus bergerak menyelongkar isi kandungan laci meja kerjanya. Dia teringat selepas kejadian itu, dia mengutip cengkerang putih itu. Dia yakin cengkerang itu milik gadis di pantai tempoh hari. Dan entah kenapa, dia yakin gadis itu adalah Damya.
Tangannya yang sejak tadi sibuk meraba isi di dalam laci itu, akhirnya terhenti apabila jemari kanannya memegang satu permukaan yang kasar dan tajam itu. Bibirnya terukir senyum nipis. Cengkerang putih itu ditarik keluar, lalu dibawa dekat ke telinganya. Matanya dipejam kejap sambil telinganya kirinya digasak penuh dengan bunyi deruan ombak yang terhasil dari lubang cengkerang yang sebesar tapak tangan itu. Senyum tipis terbit di hujung bibir. Dalam deruan ombak yang menghempas pendengarannya, seakan ada satu bunyi yang tidak asing bagi hatinya. Dalam bising ombak, dia seolah terdengar seruan nama itu. Mia…
Waktu yang berlalu dirasakan terlalu pantas berjalan pergi. Pejam celik, pejam celik, hanya tinggal hanya tiga minggu sebelum hari besarnya, hari pernikahannya. Meremang seluruh tubuhnya tiap kali perihal yang satu itu terlintas di benak. Jujur dia akui, hatinya masih belum sepenuhnya dapat menerima hakikat yang dia bakal menjalani kehidupan berumah tangga bersama jejaka itu. Matanya dipejam kejap, cuba untuk singkirkan tiupan resah yang kian menghanyutkan jiwa. Untuk sekian kali, keluhan terluah dari bibir.
“Apa yang dikeluhkan tuh, Is?” suara lembut ibu yang menyapa mengembalikan Iris ke alam realiti.
Iris berpaling sebelum menghadiahkan senyum manis buat wanita hebat itu. Kasihnya jatuh pada raut wajah lembut itu. Satu senyum ibunya itu mampu meniup pergi sejuta resah yang melanda benaknya. “Tak ade apa laa, bu. Ibu tak tidur lagi ke?”
Suara Iris bergema dalam sunyi rumah batu setingkat itu. Normah sekadar menjawab dengan gelengan. Langkahnya diatur ke arah Iris yang duduk santai di atas sofa. Di muka televisyen sedang ditayangkan cerita Kabhi Kushi Kabhi Gham. Dua beranak itu sememanganya ‘hantu cerita Hindustan’. Walau cerita itu sudah acap kali ditayangkan, namun masih mampu mengusik jiwa.
Normah mengambil tempat kosong di sebelah Iris. Matanya lekat pada skrin tv. Ralit matanya melihat Shah Rukh Khan yang sedang mengusik Kajol. Kedua mereka kelihatan sangat sepadan pada pandangannya. Sejak Kuch Kuch Hota Hai mula ditayangkan, mereka berdua banyak digandingkan dalam banyak filem kerana kesepadanan antara mereka.
Iris peluk lengan ibunya. Kepalanya jatuh lembut ke bahu wanita hebat itu. Dapat dirasakan kehangatan kasih sayang ibunya melalui pelukan itu. ‘Boleh tak kalau Is nak terus peluk ibu macam nih sampai bila-bila?’ getus hati kecilnya. Walau dia tahu hal itu mustahil, namun dia tetap juga berharap.
“Is.. ibu nak tanya something boleh?” Normah memulakan bicara.
“Apa dia, bu?” posisi Iris masih seperti tadi, masih lekat pada lengan ibunya.
“Boleh ibu tahu apa yang pernah jadi antara Is dengan Izmil dulu?”
Hilang senyum bahagia Iris yang setia melekat pada bibirnya sejak tadi. Dia seakan tidak percaya soalan yang dilontar oleh ibunya itu. Macam mana ibu boleh tahu? Banyak mana ibu tahu perihal dia dan Fikri? Siapa yang beritahu pada ibu?
Normah resah bila dia tidak mendapat sebarang respon dari anak gadisnya itu. Sukar untuk dia membaca riak Iris kerana kepala Iris sejak tadi melekat di bahunya. Perlahan dia cuba untuk memecah sunyi. Nama anaknya diseru perlahan.
“Hmm?” hanya itu balasan yang diterima. Aduhh, adakah dia telah tersilap perkiraan dengan bertanyakan perihal ini? Mungkin hal ini terlalu peribadi untk dikongsi bersama. Mungkin juga Iris masih belum lagi bersedia untuk membuka sebarang ceritera perihal kisah antara dia dan Izmil. Mungkin juga.
Lama mereka membisu, hanya muzik latar cerita Hindustan di tv menjadi pemecah sepi. Mata mereka terus melihat senyum manis si hero pujaan ramai itu sedangkan akal dan hati mereka tidak langsung tertumpu di situ.
“Is okay? Ibu cuma nak cuba faham tentang situasi Is. Bukan niat ibu nak buat Is sedih, ibu cuma..”
“Ehh, bukan macam tuh, bu. Is okay je. Err, macam mana ibu tau pasal Is dengan Izmil?” Teragak-agak Iris bertanya. Dia mahu tahu.
“Jadi betul laa sebelum nih Is dengan Mil dah pernah kenal ye?” Normah masih dengan cubaan mencungkil kisah silam anak daranya itu. Dia inginkan kepastian dari mulut Iris sendiri.
Iris membatu. Tiada sebarang jawapan yang terluah dari bibir. Dia sedang menghitung tiap baik buruk jika dia menceritakan hal ini kepada ibu. Separuh dari akalnya melarang dia dari menceritakan kisah silam yang pernah terjadi antara dia dan Fikri. Separuh lagi sibuk menjelaskan alasan logik untuk menjelaskan segala kepada ibu. Jiwanya kini tersepit. 
Suara lembut ibu menampar gegendang telinga Iris. Namanya diseru lagi. Jelas kedengaran riak resah dalam lembut suara ibu. Dia mengeluh kecil. Kisah cinta hero dan heroin dalam kotak televisyen sudah lama tidak dihirau. Nampak gayanya ibu takkan berhenti sehingga dia mengerti akan kisah silam antara dia dan Fikri. Dan sekali lagi, malam itu airmatanya tumpah untuk kesekian kali kerana lelaki itu.
Mata Izmil ralit memerhati buih-buih kecil di dalam gelas teh tariknya itu. Otaknya terus berputar memikirkan kisah hidupnya yang masih samar. Hari pernikahan yang hanya berbaki lagi dua minggu sepatutnya dipenuhi dengan senyum manis yang tak pernah lekang dari bibir, namun kini, gembira itu seakan ditiup pergi bila dia mengenangkan sikap dingin Iris. Keluhan kecil terbit lagi untuk kesekian kali. Sudah jenuh dia meneliti tiap kenangan, cuba mengesan apakah sebenar silap dan salahnya yang hingga kini masih belum boleh dimaafkan oleh Iris, namun tiada apa yang mampu dicerna oleh benaknya saat itu. Dia buntu. Ahh, perasaan ini sungguh memenatkan!
Sedang Izmil ralit melayan perasaan, tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Mahu terlompat dia kerana terkejut dengan sergahan itu. Cemas tertumpah air teh tariknya. Kalau ikutkan hati, mahu dihempuk kepala manusia durjana dibelakangnya itu. Bulat matanya bila melihat wajah manusia itu.
“Hoi!” Izmil sudah bangun, berdiri tegak berhadapan dengan manusia yang dipanggil durjana itu.
Lelaki ‘durjana’ itu pamer riak bengis. Keningnya sedikit terangkat, seakan mencabar Izmil untuk teruskan kata-kata.
Izmil tolak kasar bahu lelaki asing itu. Matanya bulat mencabar. Jelas riak geram membuak-buak terpancar hebat di wajahnya. Lama mereka berdua berlawan pandangan tajam. Lama-lama pandangan tajam itu tumpul, riak bengis itu berubah menjadi senyum tipis. Suasana tegang yang tercipta 3 minit tadi di dalam kedai kopitiam itu mula kendur. Tiba-tiba kedua jejaka itu tertawa besar sebelum berpelukan erat. Semua mata tertumpu pada drama sebabak mereka. Inilah jadinya bila orang gila bertemu dengan orang sewel.  
“Ya Allah.. dah lama gila kott aku tak jumpe kau!” Lengan sasa Lepat peluk kejap tubuh tinggi Izmil. Tawa mereka berdua bergema.
“Kau buat ape datang KL nih? Bukan kau kerja kat Sabah ke?” Izmil memulakan bicara setelah kedua mereka melabuhkan punggung.
Lepat tergelak kecil. “Aku ada kerja sikit yang kena uruskan kat KL. Tu yang aku datang sini. Tapi tak lama pun aku stay kat sini. Lusa aku fly balik Sabah dah. Ehh, kau ape cerita sekarang?”
Tanpa sedar, Izmil mengeluh perlahan, terlalu perlahan hingga hanya dapat ditangkap oleh pendengaran dia seorang. Dia mempelawa rakan sekolahnya itu untuk duduk bersama sebelum membuka cerita tentang dia. Tentang kisah cinta dia dan pujaan hatinya.
Senyum Lepat yang melebar sejak tadi kerana terlalu gembira bertemu dengan sahabatnya itu mula kendur selepas mendengar tiap butir kata dari Izmil. Gelak tawa tadi hilang terbang melayang, meninggalkan mereka bersama sepi yang kian menebal. Perasaan gembira tadi sudah lama pergi. Yang ada kini hanya rasa buntu dari satu pihak dan sebelah pihak lagi adalah rasa bersalah yang makin mendalam.