Monday, August 8, 2011

Bab 10 ~ Mekarnya Cinta


10


            “Mana pulak perginya ni? Malam tadi ada.” Izmil menggaru kepala. Dahinya dihiasi kerut seribu, sementara matanya meliar mencari bajunya yang dari tadi tidak dijumpai sekitar bilik tidur berwarna putih itu. Dia duduk di bucu katil, cuba diingat kembali mana diletak baju kemeja kotak berona ungu itu. Bilik bawah! Jarinya dipetik, lantas bibirnya mengukir senyum.
            Dia menapak keluar dari bilik. Langkah terus diatur menuruni tangga rumah, menuju ke bilik menggosok di tingkat bawah banglo. Baru dia teringat, baju itu masih belum digosok lagi. Terus dia lupa tentang bajunya bila keluar dengan Iris semalam. Lebih dua jam mereka di Akuaria. ‘Berenang’ bersama hidupan laut yang indah, seindah gadis yang bernama Iris Damya. Nama itu meniti lagi di bibir.
            Tanpa sedar, tubuh lampainya bertembung dengan batang tubuh Iris yang datang dari arah dapur. Gadis itu juga tidak menyedari kehadiran Izmil. Dahi Iris mencium dagu Izmil. Kedua mereka mengaduh sakit.
            Sorry. Serentak perkataan itu keluar dari mulut mereka. Iris menggosok dahinya yang memerah sambil memejam mata, menahan pedih. Tangan Izmil pula pegang kejap kedua belah lengan Iris.
            “Mia okey? Saya minta maaf, saya tak perasan awak keluar dari dapur tadi.” Ujar Izmil dengan nada kesal.
            It’s okay, I’m fine.” Sebaik sahaja dia membuka mata memandang lelaki di hadapannya, mukanya pula yang berubah merah. Alamak! Pasal apa pulak dia tak pakai baju ni? Tindakan refleksnya memaksa tapak tangan menutup muka. Sungguh, dia malu melihat apa yang ada di depannya kini.
            Izmil yang baru sedar yang dia sebenarnya tidak berbaju, terus dilepaskan genggaman dari lengan si gadis. Tuala yang sebentar tadi disangkut di tengkuk, kini sudah dilebarkan, meliputi badannya yang terdedah.
            Iris sudah mula buka langkah, mahu berlalu pergi dari situ. Terbit debar melihat badan sasa si jejaka itu. Dia tak mahu berlama-lama dalam keadaan begini. Dia tak mahu!
            “Awak nak pergi mana?” Suara Izmil yang seolah  berbisik, singgah lembut di pendengarannya.
            “Saya nak naik atas, nak bersiap. Nanti lambat pulak pergi kenduri Hanim tu.” Ada getar dalam suara itu. Izmil tersenyum, fikiran nakal mula singgah di kepala.
            “Awal lagi ni, sayang..” Sengaja dirapatkan tubuhnya dekat Iris. Gadis itu menapak selangkah ke belakang. Pandangannya ditunduk, merenung lantai. Dia takut berkeadaan begini. Dia yakin lelaki itu dapat mendengar degup jantungnya yang kencang saat ini.
            Desah nafas Izmil dapat dirasakan makin dekat dengan wajahnya. Iris terus melangkah ke belakang, cuba mengelak. Tapi dinding di belakangnya menghalangnya untuk bergerak menyelamatkan diri. Wangian kolon yang dipakai Izmil menerjah masuk ke rongga hidung. Bau itu keras, tapi mampu membuat naluri wanitanya bergetar hebat.
            Iris dapat menangkap gelak kecil Izmil. Apa yang kelakarnya? Bentak hati Iris.
            Don’t worry, dear. Saya takkan usik awak, selagi awak belum halal untuk saya.” Suara itu dekat dengan telinganya. Iris buka mata. Sah! Wajah mereka hampir bersentuhan. Tinggal berapa inci lagi sebelum hidung mereka bertembung. Gila!
            Izmil bertindak menjarakkan diri. Dia sudah berkira-kira mahu berlalu sebelum kembali menghampiri Iris yang masih belum hilang gugup itu.
            “Tapi bila awak dah jadi milik saya, saya takkan bagi awak keluar bilik pun tau.” Satu kenyitan diberi kepada Iris. Geli hatinya melihat mata Iris yang membulat memandangnya dengan seribu satu makna yang tersirat. Iris sekadar mampu melihat langkah jejaka itu yang berlalu masuk ke bilik menggosok yang terletak dalam ruangan dapur yang luas itu. Awak memang melampau!

            Iris berdiri di hadapan cermin di dalam bilik tidurnya, memerhati imej yang terbias. Baju kurung moden ungu yang tersarung di tubuhnya ditelek dari semua sudut. Selendang di kepala dibetulkan. Iris tersenyum setelah berpuas hati dengan penampilannya di cermin. Matanya dikerling ke arah jam di tangan kirinya. Sudah jam 11 pagi. Dia menapak keluar dari bilik. Sewaktu menuruni tangga, langkah lajunya terhenti. Di anak tangga terbawah, batang tubuh Izmil tegak berdiri, memandangnya. Jejaka itu tampak kacak dengan baju kotak ungu yang dipadankan dengan seluar jeans yang kelihatan agak lusuh. Dia membalas senyum Izmil.
            “Saya baru nak panggil awak. Jom la, mama dengan papa dah tunggu kita kat bawah.” Izmil membuka bicara, cuba singkirkan sunyi yang menyelubungi ruang kecil antara mereka berdua.
            Iris sekadar mengangguk laju. Rasa bersalah pula membuat keluarga maklang menunggunya bersiap. Malunya!
            Ketika Iris melintasi jejaka itu untuk ke ruang tamu utama rumah mewah itu, dia tersentak bila tubuh tegap itu menghalang jalannya. Dia mendongak bingung, Izmil hadiahkan senyum.
            “Terima kasih.” Iris melihat bibir itu bergerak perlahan.
            “Untuk apa? Sepatutnya saya minta maaf sebab buat awak, maklang dan paklang menunggu lama. Saya rasa bersalah..” Tak sempat Iris habiskan ayat, Izmil terus memotong.
            “Bukan pasal tu. Saya nak ucapkan terima kasih sebab tolong gosokkan baju kemeja ni untuk saya,” Senyum manis itu dari tadi melekat di hujung bibir si jejaka. “Terima kasih, Mia..” Ayat terakhir itu dibisik dekat dengan telinga Iris sebelum berlalu pergi. Iris hanya memerhati langkah Izmil dengan pandangan sayu. Fikri..
 
            “Amboi, cantiknya bakal menantu kita ni, bang. Kalah pengantin,” ujar maklang, sambil tertawa mengusik.
            Ketawa paklang dan jelingan nakal dari Izmil membuat darah menyerbu ke muka gadis itu.
            Sorry buat maklang dan paklang tunggu lama.”
            “Tak apa-apa lah. Is. Kami pun baru aje turun dari bilik. Eh, marilah kita bertolak.” Maklang sudah bangun dari sofa, diekori oleh paklang. Izmil pula sudah menunggu dalam kereta Honda CRV.  
           
            Iris terus menuju ke bilik pengantin dalam rumah keluarga Syamzil. Dia mahu melihat Hanim. Dia benar-benar rindukan sahabat baiknya itu. Terlalu banyak cerita yang hendak dikhabarkan kepada gadis genit itu. Tentang hal pertunangannya, tentang kisah silamnya bersama Izmil. Hanim, aku perlukan kau.
            Saat dia melangkah masuk ke dalam bilik, matanya berkaca melihat ibunya di situ. Ibu.. Sayu hatinya melihat senyum manis di wajah tua wanita hebat itu. Iris terus meluru ke arah ibu lalu dipeluk erat badan ibu, bagai tak mahu dilepas pergi. Lupa terus dia tentang luahan perasaannya kepada Hanim.
            “Anak ibu sihat?” Suara Normah singgah pada pendengaran Iris. Senyum manis terukir di bibir gadis itu. Merdunya suara ibu, Is jadi rindu..
            Iris mengangguk. “Is sihat, alhamdulillah. Ibu macam mana? Dah makan ubat ke belum ni? Inhaler, ibu bawa tak?” Bertubi-tubi soalan dilontar. Normah hanya tersenyum. Dia tahu anak gadisnya itu risaukan perihal dirinya. Malam tadi, sewaktu dalam telefon, soalan sama juga yang ditanya. Dua, tiga kali dia diingatkan untuk membawa bersama ubat asmanya itu. Dia tak dapat membayangkan bagaimana keadaannya bila Iris sudah berumahtangga kelak. Mahukah anak itu masih mengambil berat tentang dirinya? Atau akan berkurangkah kasih sayang dari anak itu? Ah, dia tak betah menerima kenyataan begitu. Dia yakin, dengan didikan dan tunjuk ajar dari arwah suami serta dirinya kepada Iris, gadis itu tidak akan berbuat sesuatu setegar itu.
            “Is!!” Jeritan Hanim membingitkan segenap ruang kamar pengantin itu. Hanim yang berdiri di depan meja solek berpaling bila dia menyedari kehadiran rakan baiknya itu. Sungguh dia rindu dengan gurau tawa gadis manis itu.
            Iris tersenyum mendengar jeritan itu. Baru dia teringat yang dia kini berada dalam bilik Hanim, selaku raja sehari. Terus dia meluru ke dalam dakapan Hanim yang sudah terbuka luas untuknya.
            “Aku rindu kau. Kau sihat?” Hanim masih memeluk kejap rakan baiknya itu.
            “Aku okey, beb.” Iris leraikan pelukan. “Kau pulak? Macam mana? Seronok jadi Mrs. Syamzil?” Iris ketawa mengekek. Dia rindu mahu mendengar rengek si Hanim. Geli hatinya melihat hidung Hanim yang berkerut itu. Gadis itu bertambah manis bila mengenakan baju pengantin berona ungu lembut. Tampak manis dan kena dengan warna kulitnya yang putih kuning. 
            “Eh, mestilah! Mr. Syamzil layan aku macam tuan puteri, tau.” Hanim ketawa dengan kata-katanya sendiri. Tuan puteri la sangat.. Iris hanya ikut ketawa. Dia senang dengan tawa Hanim itu, seperti beri semangat untuknya. Biarlah, dia tak mahu bebankan raja sehari itu dengan masalah dirinya. Itu tak adil buat Hanim. Ini harinya. Harinya untuk bahagia, merasa indah detik ini.
            Majlis menyambut menantu berlangsung penuh sederhana. Tiada pelamin yang tersedia, cuma meja makan beradab yang terhias di bawah khemah pengantin. Semuanya bertemakan warna ungu, warna kegemaran Syamzil yang juga merupakan ‘warna kebangsaan’ Iris.
            Tiada apa yang lebih menggembirakan Iris dari melihat sahabat baiknya itu hidup gembira bersama Syamzil. Dia tersenyum melihat riak gembira Hanim. Sungguh, dia sayangkan rakan yang sudah dikenali sejak kecil itu. Gembiralah Hanim, nikmati kehidupan dengan insan tersayang yang sayangkan kau, sahabat. Tahniah, kerana berjaya menemui insan yang telah dicipta khas buat kau. Bibirnya ukir senyum.

            Iris membawa Normah masuk ke dalam bilik tidur mereka. Sebentar tadi, maklang beria-ria meminta ibunya berehat di bilik tetamu lain yang tersedia di dalam rumah mewah itu, tapi alasan Iris yang rindu untuk bermanja dengan ibunya mematikan niat maklang.
            “Esok, siapa yang hantar kita balik Kuantan, bu? Kita naik bas ke?” Soal Iris seronok. Sudah lama dia tak menaiki pengangkutan awam itu. Rindu pula rasanya nak travel dengan bas. Dia teringat kenangan menaiki bas dari Pulau Pinang ke Kuantan. Memang jenuh duduk dalam bas, tapi pengalaman itu menyeronokkan.
            “Kalau tak silap ibu, Izmil yang hantar kita. Itu yang maklang kamu beritahu ibu. Dia beria-ia sangat nak hantar kita balik Kuantan.” Hilang terus senyum Iris. Namun, tiada apa yang mampu dilakukan untuk menghalang semua ini.
           
            Kereta Honda CRV itu meluncur laju meninggalkan perumahan mewah itu. Husna dan Normah berbual santai di tempat duduk belakang. Celoteh dua wanita itu turut mengundang tawa Izmil dan Iris di tempat duduk depan kereta.
            “Kita pergi breakfast dulu la, ye?” Husna memberi cadangan. Mereka hanya sempat menjamah roti bakar ketika di rumah tadi. Dia tak sempat untuk menyediakan sarapan pagi untuk tetamunya. Chik Ah pula masih belum berkesempatan untuk kembali bekerja. Mereka perlu bertolak agak awal, kerana Izmil sudah mula bekerja keesokan harinya.
            “Mil berhenti dekat Burger King nanti ye, ma.” Izmil balas lembut.  
            Iris dan Normah hanya menjadi pendengar setia. Dalam diam, Iris mengagumi sikap Izmil yang patuh pada ibunya. Selama seminggu ini, tidak pernah dia melihat Izmil cuba meningkah, jauh sekali melawan kata-kata dari maklang. Jauh berbeza dengan perwatakan nakal jejaka itu ketika di sekolah dulu. Lelaki di sebelahnya ini kelihatan jauh lebih matang, seiring dengan umur yang sudah meningkat 25 tahun. Walau sikap nakal dulu masih melekat, namun tak begitu ketara. Timbul kagum dalam diam. Jelas, Iris seperti mengenali Izmil Fikri yang baru. Izmil Fikri yang lebih baik.
            Ah! Buatlah baik mana pun. Tunjuklah sikap sepatuh mana pun. Senyumlah semanis mana pun. Hati ini dah tak betah mahu terus sakit. Hati ini dah tak kuat untuk terima satu lagi torehan duka. Apa yang terjadi dulu, cukup sakit untuk aku terima.
‘Tapi, sampai bila rasa benci ini harus disimpan, tersisip kemas dalam lipatan kenangan? Kurang setahun dari sekarang, kau akan sah menjadi milik dia, hak mutlak dia, Mia. Syurga kau akan berada di bawah telapak kaki dia. Masa itu, takkan rasa benci itu masih perlu wujud? Bukankah semua itu menjadi dosa? Astagfirullahhalazim..’ suara kecil dalam hatinya berbisik perlahan. Iris berperang dengan dirinya sendiri. Dia tak mahu terima lelaki itu, tapi dirinya tersepit dengan janji dengan dua wanita yang penting dalam hidupnya. Wajah ibu dan maklang hadir silih berganti. Dia rasa bersalah kalau dia putuskan hubungan ini. Dia reda. Dia pasrah. Hanya itu yang termampu dilakukan buat masa ini.  

No comments:

Post a Comment