Monday, August 8, 2011

Bab 8 ~ Detik Muncul Cinta


8


            Sejak semalam, Chik Ah setia menemani anak bongsunya, Aizat yang masih terlantar di katil hospital. Sepanjang ketiadaan wanita itu, kerja-kerja dapur secara tak langsung diambil alih oleh Husna dan Iris.
            “Jom la, ma. Mil dah siap ni..” Izmil bersuara dari luar dapur. Kunci kereta sudah berada dalam genggamannya. Jejaka itu sudah menapak ke luar rumah.
            Ah, sudah! Iris yang turut berada di dapur ketika itu tersentak. Hatinya sudah timbul rasa kurang enak. Dia memandang maklang, pinta pengertian dalam senyap. Maklang ketika itu sedang mencapai bakul untuk meletakkan barang-barang yang bakal dibeli di pasar nanti. Iris baru sudah siap menulis senarai barangan dapur yang diperlu.
            “Dah siap tulis senarai barang-barang tu, Is? Jom la, Mil dah tunggu tu.” Ayat itu menyambar tangkai hati Iris. Sah, mamat tinggi lampai tu ikut sekali pergi pasar! Adoii.. Iris garu leher yang sembunyi balik tudung hitamnya. Tak kerja ke dia ni? Hari ni kan hari Rabu?
            Iris tunggu maklang mengunci pintu besar banglo keluarga Muzammil. Izmil sudah lama menanti dalam kereta. Sengaja dia mengambil cuti seminggu ini, mahu dihabis waktu bersama kekasih hatinya. Mahu terbitkan rasa cinta dalam hati tunangannya itu. Berbunga hatinya bila mama mengajaknya pergi ke pasar bersama Iris.
 Izmil memerhati langkah tenang Iris yang berjalan menghampiri kereta bersama mamanya. Ada senyum kecil di bibir gadis itu. Entah apa yang diborakkan dengan mama.
            Husna bertindak awal dengan membuka pintu bahagian belakang. Dia terus masuk, memaksa Iris untuk mengambil tempat di sebelah pemandu. Alamak! Maklang ni macam saja je suruh aku duduk sebelah anak dia. Iris kerut dahi. Tapi dia masuk juga dalam perut kereta dengan hati sebal.
           
            “Tunggu kejap dalam kereta ye, mama nak pergi kat kedai depan tu.” Informasi itu dituju untuk Iris dan juga anak lelakinya yang sudah pun membuka pintu bahagian pemandu. Izmil angguk, terus masuk ke dalam perut kereta. Bunyi enjin kedengaran.
            Iris segera memanggil Husna. “Biarlah Is ikut maklang sekali, ye? Nanti maklang tak daya pulak nak angkat barang banyak-banyak. Is ikut ye?”
            Ternyata cubaan memujuk tak berhasil. Laju wanita tua itu menggeleng, disuruh tunggu sahaja di dalam kereta.
            Langkah wanita tua yang kian menjauh itu dipandang sayu. Adoii, I’m stuck with him, again!
            Iris buka pintu sebelah pemandu, lalu punggung terus dilabuh. Angin nyaman dari penghawa dingin kereta terus menyerbu ke muka. Iris terasa damai seketika.
            Iris tersenyum. Telinganya menangkap permulaan lagu yang sedang ke udara di corong radio. Dia kenal lagu itu, lagu dari penyanyi kegemarannya. ‘Sedetik Lebih’ dari Anuar Zain. Bila suara jejaka itu mula berkumandang, Iris pejam mata. Cuba nikmati tiap bait indah lirik lagu.

Ternyata, ku perlukan cinta
Dari dirimu, sayang
Barulah terasa, ku bernyawa
Kasihku, ku amat mencintai kamu,
Kerna kau beri erti hidup,
Ku kan terus mencinta,
Sedetik lebih,
Selepas selamanya…

            Izmil turut diam. Dia lempar pandang pada Iris. Gadis itu masih sama seperti dulu, suka layan perasaan dengan lagu-lagu jiwang karat. Bibirnya ukir senyum sumbing. Ah! Apa kurangnya aku? Sejak Iris pergi dari hidupnya dahulu, tiap kali terdengar lagu jiwang, dia akan kenang pemilik lesung pipit itu. Lagu-lagu itu bagai memahami lara hatinya saat menanggung rindu nan sarat buat Iris Damya.
           
            Makan malam yang tersedia di meja makan mengundang selera Izmil. Lauk ketam masak lemak, sayur campur ditambah dengan sambal tempoyak ternyata membuka seleranya. Lebih-lebih lagi dia tahu semua masakan ini adalah air tangan mamanya dan buah hati kesayangannya. Dia tersengih sendiri.
            “Mil, kamu ni kenapa? Tiba-tiba tersengih sorang-sorang bila tengok lauk.” Teguran Muzammil buat jejaka itu tersentak. Dia tak sedar papanya sudah mengambil tempat di sebelahnya.
            Husna keluar dari dapur sambil menatang dulang air. Dia hadiahkan senyum buat dua lelaki yang terpenting dalam hidupnya itu sebelum melabuhkan punggung di sebelah kiri Muzammil. Tempat di penjuru meja makan panjang itu memang tempat yang dikhas buat suaminya, sebagai simbol ketua keluarga.
            Ketiga-tiga pasang mata tertumpu pada Iris. Gadis itu terus gugup. Tangannya sedang membawa bekas nasi untuk santapan seisi rumah. Cepat-cepat dia mengambil tempat bersebelahan maklang. Dia rasa bersalah pula membuat tiga beranak itu menunggu dirinya.   
            Muzammil hadiahkan senyum pada Iris sebelum menadah tangan. Yang lain ikut rentak. Iris turut menadah tangan sambil menunduk. Saat itu, pinggan di atas meja kelihatan lebih menarik daripada menatap wajah jejaka sengal yang sedang duduk di hadapannya. Dia sebenarnya takut mahu menatap mata redup si teruna yang mengundang debar tiap kali pandangan mereka bertembung. Dia tidak kuat mahu menahan gundah yang hadir. Dia tak kuat!
            Iris angkat kepala bila dia mendengar doa makan dibaca. Bukan suara paklang yang singgah pada perdengarannya, tapi alunan suara Izmil yang datang menerpa. Suara garau lelaki itu undang debar dalam hati. Terbit rasa kagum dalam sepi.
            “Sedap betul lauk ketam ni, Una. Bangkit selera abang, ditambah pulak dengan sambal tempoyak ni.” Puji Muzammil, dituju khas buat isteri tersayang.
            Pujian itu undang tawa Husna. “Bukan Una yang masak ketam tu, bang. Bakal menantu abang yang masak. Una tolong je kat dapur tadi. Lauk-lauk ni semua Is yang masak.” Pujinya ikhlas. Sempat dijeling ke arah wajah Iris yang dari tadi menunduk, menyuap nasi dalam diam.
            “Kalau macam ni sedapnya, Is kena tinggal lama lagi la kat rumah ni. Tak gitu, Una?” Paklang cuba bergurau. Tapi respon lain yang diterima dari isterinya.
            “Oh, jadi abang tak suka la dengan masakan Una, ye?” Maklang mencebik, jauh hati.
            “Bukan macam tu maksud abang. Abang cuma nak bagitahu yang.. err..” Kerut dahi Muzammil, cuba mencari ayat yang sesuai untuk mengambil hati isterinya.
            Husna tersengih mengusik. Geli hatinya melihat pemilik syarikat perguaman yang terkenal di KL yang petah memberi hujah dalam mahkamah, kini kehilangan kata-kata.
            Muzammil yang memahami maksud senyuman isterinya itu terdiam sebelum tertawa. Terkena lagi dia. Sempat lagi dicuit pipi isterinya itu. Husna, Husna..
            Iris tersenyum melihat kemesraan suami isteri itu. Teringat pula dia pada kedua ibu bapanya dulu. Ayah..
            Izmil sedar gelora dalam diri Iris, nemun tiada apa yang mampu dia lakukan saat ini. Dia terus menyuap nasi. Memang sedap! Sedari tadi, dia terus memuji masakan Iris dalam diam. Timbul rasa bangga dengan tunangnya itu.

            Iris berteleku di atas sejadah usai mengerjakan solat Isyak. Dia baru sudah habis berdoa kepada sang Pencipta sekalian alam. Panjang doanya malam itu. Memohon kesejahteraan diri serta insan-insan kesayangan sekelilingnya. Meminta curahan rahmat, keteguhan iman serta ketetapan akidah diri. Pintu bilik yang diketuk dari luar, mengundang pandangan gadis itu dilari ke arah pintu kayu yang terukir indah itu.
            Senyuman manis dari maklang singgah pada pandangan Iris saat daun pintu dikuak dari luar. Iris masih di posisi tadi. Sekadar memerhati langkah wanita itu menghampiri. Dia mengangguk apabila maklang bertanya sama ada dia sudah selesai mengerjakan solat atau belum. Iye la, wanita itu tak mahu dianggap mengganggu, itu sahaja.
            “Boleh maklang tanya sikit?” Husna mulakan bicara. Matanya tak lepas dari Iris yang sedang melipat sejadah dan telekung. Tertib kelakuannya, itu yang buat dia berkenan dengan gadis muda ini.                   
            “Apa dia, maklang?”
            “Is dah sedia nak jadi menantu maklang?”
            Hampir terjatuh telekung yang berada di genggaman Iris ketika itu. Apa? Kenapa pula maklang tiba-tiba mempersoalkan tentang hal ini? Sesungguhnya, dia mahu mengelak dari terus membincangkan tentang perihal yang satu ini, tapi sampai bila?
            Iris teragak-agak. “Ermm.. Apa maksud maklang?”
            Husna kerut dahi, serba salah. Dia sebenarnya sudah lama mahu menanyakan tentang soal ini. “Maklang tau yang Is tak setuju sepenuh hati Is bila ditunangkan dengan Izmil. Tak lama lagi, kamu berdua akan bina keluarga bersama. Untuk wujudkan bahagia, kedua-dua suami dan isteri perlu ikhlas dalam setiap perkara dan jujur antara satu sama lain, dan yang paling penting, cinta dan kasih sayang..”
            Iris ambil tempat di sebelah maklang. Dia tahu akan hakikat itu. Cinta itu perlu ada.. tapi layakkah cinta itu diserah pada Izmil Fikri?
               “Maklang nak Is gembira, sama seperti maklang mahu Izmil gembira. Maklang tau gembira Izmil adalah bersama Is, tapi sampai sekarang, maklang belum dapat pastikan sama ada bahagia Is juga adalah bersama anak maklang itu atau tidak.. Maklang tak nak Is pertaruhkan masa depan dan bahagia Is demi kami. Jadi, maklang pinta penjelasan sebenar dari Is sendiri..” Mata Husna sudah basah. Sungguh, dia sudah menganggap gadis itu seperti anaknya sendiri.
            Iris terpinga melihat tangis maklang. Terhinjut-hinjut bahu maklang menahan gelora dalam jiwa. Dia resah. Dia lemah melihat airmata seorang ibu mengalir. Tangannya laju singgah di pipi wanita di depannya itu. Segera diseka lembut airmata sayu.   
            “Kenapa maklang cakap macam ni? Is tak suka tengok maklang menangis macam ni. Is pun sedih tau.” Mata gadis itu sudah berkaca. Suaranya sudah tenggelam timbul, cuba menahan sebak dalam dada.
            “Maklang jangan risau, Is memang ikhlas terima Izmil sebagai teman hidup Is. Is reda dengan semua ni. Kalau dah tertulis dia memang jodoh yang tercipta untuk Is, siapa Is nak menidakkan suratan takdir, maklang..” Kedua mereka saling bertatapan dengan pandangan berkaca.

No comments:

Post a Comment