Monday, August 8, 2011

Bab 7 ~ Resahnya Sepi


7

            Pandangan ditala ke luar tingkap Mini Cooper kelabu itu. Iris terus diam. Izmil pula fokus pada jalanraya. Sepi. Radio pula sejak tadi dimatikan oleh Izmil. Mereka sama-sama melayan perasaan. Orang lain sepatutnya gembira dapat luang masa dengan orang kesayangan, tapi tidak Iris. Dia rimas dengan semua ini. Permintaan maklang untuk mencari hadiah buat Hanim dan Syamzil memaksa mereka berdua berada dalam situasi sekarang.
            Do you have anything in mind for Hanim?” Izmil bersuara.
            Nope.” Iris geleng. Dia cuba menenangkan hatinya yang gundah. Suara itu masih mampu buat jantungnya berdebar. Haruman jejaka itu menambahkan resah di lubuk hatinya.
            Kereta dibelok masuk ke dalam basement Berjaya Times Square. Nasib baik  ada beberapa tapak parking kosong. Mereka berdua melangkah masuk seiring.    

“Kita makan dulu?” Izmil kerling ke arah jam di tangan. 12.25 minit.
            Iris hanya mengikut jejak langkah Izmil. Walau dikelilingi dengan hangar-bingar, tapi sunyi masih setia melekat disisi  mereka. Food courts menjadi pilihan.
            “Awak pergi cari tempat duduk, biar saya belikan makanan untuk kita.” Suara itu seakan memberi arahan, walau ditutur lembut.
            10 minit kemudian, Izmil tiba di meja dengan dulang di tangan. Dua nasi cendawan yang dihidang dalam claypot, dan dua jus epal. Iris kesima seketika. Dia ingat lagi..
            Apple juice for the lovely lady. It’s still your favorite, right?” Izmil angkat kening. Matanya pinta kepastian. Iyela, macam-macam boleh berubah dalam masa lapan tahun. Mungkin jus epal tidak lagi menjadi minuman kegemaran Iris.
            It forever will be.” Jawab Iris ringkas. Izmil tersenyum.
            “Kita nak cari apa ni? Saya tak ada idea nak bagi hadiah apa kat Hanim dan Syamzil.” Ujar jejaka tinggi itu sambil menyuap nasi claypot ke mulut. Terbuka seleranya melihat nasi yang masih panas itu.
            “Masa kenduri kat Kuantan dulu, dia orang dah dapat banyak barang elektrik. Hurmm.. kita bagi barang dapur la kat dia orang. Kita beli bawang, kunyit, halia. Pastu, kita wrap cantik-cantik. Biar Hanim terkejut, baru tau nak melekat kat dapur.” Mengekek dia ketawa. Seronok juga kenakan gadis licik itu. Izmil sekadar memerhati.
            Hanim, fikirannya jauh terbang pada sahabatnya seorang itu. Bukan dia tak tahu perangai si gadis kecil molek itu. Kalau diberi pilihan, Hanim lebih rela mengemas satu rumah dari menyiapkan satu hidangan makan malam. Bukan malas, Cuma minat ke dapur itu kurang. Hehe.
            Angan Iris hilang terbang saat matanya tertangkap anak mata hitam Izmil. Jejaka itu hanya duduk memerhatinya tanpa kata. Hatinya timbul gundah. Jiwanya mula resah. Perasaan zaman sekolah dulu muncul semula. Rasa gugup dulu mula terbit bila berhadapan dengan lelaki itu. dia gerun, dia takut kalah pada perasaannya sendiri, lalu tindakan bijak adalah lari jauh dari panahan tajam mata si arjuna.
            “Saya rindu tengok awak senyum macam ni.. Saya rasa macam dah jumpa semula Mia saya,” ungkap bibir itu.
            Iris gelisah. Ah, dia dah mula bukak drama pulak kat sini. Adoii.. Lehernya yang tak gatal yang dilindung sebalik tudung biru itu digaru.  Itulah tingkahnya tiap kali berhadapan dengan situasi yang meresahkan. Dan ini adalah salah satu situasi yang meresahkan!
            “Mia, apa yang dah jadi antara kita dulu? Kenapa awak pergi tinggalkan saya tanpa pesan? Apa salah saya?” Suara jejaka itu berubah serius.
            Iris terus dengan tingkah tadi, membisu. Dia tak mahu bicarakan tentang kisah silam. Dia belum cukup kuat untuk kenang cerita dulu.
            “Eh, makanlah. Dah lewat ni, satu barang pun kita belum beli lagi untuk Hanim. Nanti maklang risau pulak kalau kita balik lambat.” Iris cuba alih tumpuan Izmil. Matanya tertumpu pada nasi claypot di depan mata.  
            “Mia... tolong jangan tukar topik. Saya perlu tahu. Beritahu saya apa silap saya, supaya saya boleh perbaiki kelemahan saya untuk bahagiakan awak.” Suaranya sudah separuh merayu. Keadaan di food court itu agak lengang. Lagipun tempat duduk mereka agak jauh dari laluan orang ramai.
            “Tolong jangan paksa saya. Saya tak nak ingat pasal hal-hal dulu, Fikri..” Iris terdiam. Dah lama dia tidak ungkap nama indah itu. Apatah dia menyebut di hadapan insan itu sendiri. Dia tiba-tiba malu sendiri. Iya, itulah panggilan buat tunangnya masa mereka masih belajar di MRSM dulu. ‘Fikri buat Mia.’ Itu yang sering ditulis, memenuhi buku nota kecil yang selalu dibawanya. Ah! Sudah, sudah! Bukankah sudah diberitahu wahai akal, jangan diputar momen lalu. Move on!
            Izmil turut diam, pandangannya ditunduk. Dah lama dia ingin dengar gadis itu memanggil namanya. Hatinya berbunga saat mendengar suara lunak itu. walau cuma seketika, dia tetap bahagia.
Seketika kemudian, Izmil teruskan bicara, sambil memandang tepat ke arah Iris.
“Tapi, semua tu kenangan kita. Memori indah kita. Kenapa awak nak lupakan
semua tu? Atau kenangan-kenangan tu tak pernah beri makna dalam hidup awak, Mia?”
            Iris diam. Hatinya sakit dituduh sebegitu. Mana mungkin dia dapat lupa semua memori antara mereka. Momen dia mula jatuh hati pada senior Fikri masih tersimpan kemas dalam kotak ingatan. Saat mereka mula luah perasaan tetap segar dalam fikirannya. You were my first love, and it’s never been easy to forget someone as special as you, Izmil Fikri! Percayalah..
              “Jangan tuduh saya bukan-bukan kalau awak sendiri tak tahu hal sebenar.” Suara gadis itu berubah tegas. Bengang dia dengan sikap lelaki itu.
            “Apa yang saya tak tahu, Mia? Bagitahu saya. Masalah kita takkan selesai kalau awak terus diam macam ni. Awak terus pendam sendiri, saya pula akan terus berteka-teki. Sampai bila kita nak macam ni? Tak lama lagi kita nak..”
            Izmil terus pandang Iris di depan mata. Bukan sengaja tak dihabiskan ayat itu, dibiar tergantung, tapi keadaan Iris buat bibirnya terkunci. Dari tadi, gadis itu terus-terusan menyumbat nasi ke dalam mulut hingga kembung pipinya. Dia tahu, itu cara Iris untuk mematikan perbualan. Buat-buat sibuk nikmati makanan sedangkan…
            Izmil putus asa. Matanya jatuh pada claypot di depan mata. Seleranya sudah lama mati. Keluhan kecil keluar dari bibirnya.

           
            “Pandai Is balut hadiah ye. Kalau harapkan maklang, tak adanya jadi macam yang Is buat tu.” Wanita tua itu bersuara dari belakang Iris yang sedang bersila mengadap set pemerah jus elektrik yang dibelinya petang tadi. Husna mengambil tempat atas kerusi empuk sambil memerhati tangan Iris yang lincah membalut hadiah yang dibeli buat Hanim dan Syamzil. Dijeling Izmil yang pada ketika itu sedang asyik menonton tv sambil duduk santai di atas sofa. Dari dalam dapur tadi sudah diperhati tingkah pasangan muda itu. Masing-masing terus membisu di ruang tamu banglo luas itu. Tanpa sedar, keluhan wanita itu menarik perhatian Izmil dan Iris.
            “Kenapa ni, ma?”
“Kenapa ni, maklang?” Serentak soalan itu dilontar oleh Izmil dan Iris.
            Husna tersengih sumbing. “Tak ada apa-apalah. Mama okey.”
            “Papa mana, ma? Bukan hari ni papa off ke?” Soal Izmil. Matanya terus tertumpu pada rancangan CSI – Crime Scene Investigation kegemarannya. Dia kagum melihat bagaimana pakar forensik bekerja untuk mencari bukti dalam menyelesaikan satu kes jenayah, lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan pembunuh bersiri yang kejam.
            “Papa kamu tu, petang-petang macam ni, biasalah. Dia pergi ‘menebas’lah, apa lagi.” Husna sengih, dia sudah biasa dengan keadaan ini. Dia faham minat suaminya itu, dan dia tidak menghalang.
            Iris terpinga mendengar perbualan dua beranak itu. ‘Menebas?’ Apa benda tu?
            Izmil tergelak melihat riak wajah Iris yang ternyata tengah ‘blurr’. Husna turut ikut tertawa.
            Alala.. jatuh kasihan pula dia melihat insan kesayangannya itu terpinga-pinga.
            “Menebas tu maksudnya main golf, Mia sayang.. Favorite sport papa tuh. Bila ada masa free je, mesti papa pergi ‘menebas’.” Terang Izmil ambil membuat aksi seorang pemain golf menghayun kayu golf.
            Iris mengangguk. “Oohh..” Eh, kejap! Dia panggil aku apa tadi?! Sayang?!  
            “Kejap lagi balik la papa tu,” sambung Husna. Dia mendengar panggilan sayang yang terluah dari mulut anak terunanya, serta perubahan riak wajah Iris. Dia turut perasan pipi Iris yang sudah merah. Hati tuanya tersenyum. Dalam diam, dititipkan doa agar pasangan muda itu akan mengecapi bahagia bersama.
            Selasai solat Isyak, Iris keluar dari bilik. Niatnya mahu segera turun ke dapur, mahu membantu Chik Ah menghidangkan makan malam mereka sekeluarga. Selalunya Chik Ah akan pulang ke rumah selepas semua ahli keluarga selesai menjamu selera. Biasanya dalam pukul 10 malam. Lagipun, rumah teres keluarga Chik Ah terletak tak jauh dari kawasan perumahan elit itu. Kerana itu, wanita kurus yang berusia lewat 50an itu lebih gemar berjalan kaki pulang ke rumah.
            “Chik Ah.. Dah siap masak..” Ayatnya tergantung. Hilang senyum di bibir. Dapur banglo itu gelap. Dia bingung.
            “Chik Ah tak ada.” Iris berpaling, susuk tubuh jejaka itu agak samar kerana pencahayaan yang kurang. Iris mengecilkan mata, ingin memastikan lelaki yang sedang berjalan ke arahnya ketika itu adalah Izmil.
            Jejaka itu terus menghampiri. Iris diam, kaku. Dah la keadaan rumah ketika itu agak suram, makin resah hatinya. Kalau didengar betul-betul, boleh kedengaran degup jantungnya yang sememangnya sedang berlari laju saat itu.
            “Chik Ah pergi mana?” Iris beranikan diri bertanya. Saat itu, Izmil sudah berdiri betul-betul dihadapannya.
            Izmil berjeda. “Lepas maghrib tadi, Chik dapat call dari hospital. Anak bongsu dia accident. Motor dia kena langgar dengan lori.”
            Iris beristighfar sendiri. “Teruk ke?” Hatinya jatuh kasihan pada Chik Ah.
            He’s still in coma, ICU. Tu yang mama dengan papa bawak Chik ke hospital tadi. Mama suruh saya tunggu awak, bawak awak sekali bila awak dah siap solat. Tak tau pulak saya awak keluar lepas Isyak.” Izmil terus tatap wajah indah itu. Sungguh, dia jatuh sayang pada si pemilik senyuman menawan walau dia jarang melihat senyum itu.
            “Oh, kalau macam tu, awak tunggu kejap, saya siap dulu.” Tanpa menunggu jawapan balas dari Izmil, Iris terus berlari mendaki tangga.

            “Saya lapar laa..” rengek Izmil. Iris yang sedari tadi sekadar menjadi pemerhati setia pandangan malam kota raya Kuala Lumpur berpaling. Mata mereka bertembung. Izmil beri senyum mesra, Iris lontar pandang kosong. “Kita pergi makan dulu, boleh?”
            “Ikut suka awak la, saya ni tumpang kereta awak je. So, saya ikut jela mana awak nak bawak saya.” Iris jawab malas. Dalam hati, dia mahu segera bertemu dengan Chik Ah, mahu ditenang hati tua wanita itu.
            “Macam tu ye? Kalau gitu, saya bawak awak terus pergi rumah tok kadi je lah, nak?” Izmil ketawa. Iris jeling tajam. Sesuka hati dia je nak bergurau tentang nikah kahwin. Jentik dahi kang baru tau!
            “Saya rindu nak bergurau dengan awak, Mia..” ketawanya mati, yang tinggal hanyalah sisa senyuman di bibir Izmil. Memori mereka ketika di MRSM dulu terimbas kembali. “Ingat tak dulu? Tiap kali saya usik awak, mesti lengan saya sakit-sakit sebab kena pukul dengan pencil box awak. Awak ni tak boleh kena usik sikit, terus melenting, lepas tu merajuk.”
            “Mana ada saya melenting! Saya cuma tak suka awak gurau-gurau macam tu,” tegas Iris. Muncungnya sudah sedepa.
            “Dah tu, muncung tu kenapa? Merajuk la tu..” Izmil masih belum mahu berhenti.
            Iris jelirkan lidah pada Izmil disebelahnya. Menyampah dia dengan mamat sorang ini. Eh, silap, tunangnya..
            “Jelir-jelir la lidah tu, saya gigit kang baru tau.” Izmil beri amaran.
            Hilang terus senyum Iris. Dia kenal Izmil, setiap perkara yang diluah, pasti boleh dilakukan jika dia berkehendak. Timbul rasa takut dalam hatinya. Geraknya terus kaku.
            Izmil sedar perubahan riak gadis itu. Alamak, baru nak berbaik, salah cakap la pulak. Dia garu kepala yang tak gatal. Cuba memikir ayat yang sesuai untuk diluah, namun gagal. Keadaan dalam kereta Mini Cooper itu sunyi. Hanya alunan instrumen dari Kenny G memenuhi ruang.
            Izmil berdehem. Cuba bersihkan tekak yang saat ini terasa kesat. “Mia nak makan apa?”
            “Ermm, saya tak kisah, ikut awak jela.” Iris beri jawab ringkas.
            Jemari Izmil mengetuk stereng mengikut rentak irama soprano saxophone Kenny G yang sedang mengalunkan lagu ‘What A Wonderful World.’ “Kita makan makanan favorite awak lah, nak?”
            Iris kerut dahi. Makanan favorite aku? Yang mana satu? Banyak la..
            Izmil hanya tersenyum, sambil terus membelok kereta. Iris hanya memerhati sepanjang jalan. Dia tidak kenal jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur ini. Kalau kat Kuantan tu, pejam mata pun boleh tahu arah tujuan. Tak semena-mena, terbit senyum sumbing di hujung bibirnya. Dia rindukan bandar itu, walau tak mampu dibandingkan dengan kota Kuala Lumpur, namun tempat itu tetap yang terbaik buatnya.  
            Kereta kelabu itu berhenti di bahu jalan. Izmil keluar. Sebentar tadi, dia minta Iris untuk tunggu sahaja di dalam kereta. Dia melangkah keluar sambil diperhatikan oleh Iris dengan terpinga-pinga.
            Selang 10 minit kemudian, Izmil kembali dengan plastik merah di tangan. Iris terkesima. Dia kenal makanan dalam bungkusan merah itu. Mana mungkin dia lupa. Tanpa sedar, hatinya tersentuh, bibirnya tersenyum.
            Izmil masuk dalam perut kereta. Semerbak bau burger memenuhi ruang kereta. Bau haruman kereta Vanilla dari Little Tree pun tak mampu tandingi bau makanan itu. Dia pandang Iris. Terkejut seketika bila gadis itu menghadiahkan senyuman buatnya. Senyum itu tampak ikhlas, buat hatinya gundah.
            “Awak still ingat?” Suara yang keluar kedengaran sayu, lebih pada terharu sebenarnya.
            “Mana boleh saya lupa, Mia..” jawapan Izmil kedengaran tulus pada pendengaran Iris. Sekali lagi, dia tersenyum ikhlas.

Kereta milik Izmil itu terus meluncur laju menyusuri bandaraya. Dia akhirnya memilih untuk memparking kereta di atas bukit. Tak ada papan tanda sepanjang perjalanan membuatkan Iris bingung tentang arah tuju mereka. Hatinya timbul debar. Fikirannya mula penuh dengan pelbagai andaian buruk. Mustahil ini jalan untuk ke hospital. Sekelilingnya gelap. Luar kereta sunyi.
            “Jangan risau, saya takkan apa-apakan tunang saya ni.” Suara jejaka itu memecahkan sunyi yang menyelubungi mereka berdua sejak tadi. Izmil memberhentikan kereta. Iris terkesima. Dia terpegun. Di hadapannya kini terbentang luas panorama bandaraya Kuala Lumpur. KLCC juga jelas kelihatan dari atas bukit itu.
            Wow.. This is, spectacular! Mana awak tahu tempat macam ni? Cantik sangat.”
            Izmil tersengih bangga. Dia gembira jika dia dapat timbulkan riak bahagia di wajah keruh Iris.
            “Saya dah lama jumpa tempat ni. Dulu, sejak habis SPM, saya banyak travel sekitar KL ni, saja nak cari ketenangan.. When I found this place, I’ve found my peace. Tak ramai yang tahu tempat ni, sebab tu sunyi sikit. Tapi ini yang saya cari.” Panjang lebar penerangan Izmil. Iris sekadar mengangguk mendengar.
            Iris buka bungkusan burger. Satu dihulur kepada Izmil. Satu lagi dibuka buat dirinya. Burger ayam dengan keju dan sos lada hitam. Itu kegemarannya. Dia masih ingat.. Dengan Bismillah, dia ambil gigit pertama. Ah, dah lama dia tidak merasa burger murah sebegini. Teringat masa mereka masih di alam persekolahan dulu. Tidak mampu untuk makan McDonald setiap minggu, lalu hanya burger murah menjadi pilihan. Tapi, nikmatnya hampir sama.
            “Dah lama saya tak makan burger ni, Fikri. Teringat pula masa kita kat MRSM dulu. Awak selalu belanja saya makan burger ni tiap kali kita keluar outing.” Iris tersenyum. Sungguh dia rindukan zaman sekolah! Serasa mahu kembali ke waktu dulu, ulang tiap momen indah, jalani tiap kenangan, susuri tiap suka duka.
            Izmil berhenti mengunyah. Ini kali kedua dia mendengar namanya disebut. Pertama, sewaktu mereka di Times Square siang tadi, dan keduanya disini. Tapi yang ini berbeza dengan tadi. Panggilan tadi kedengaran kasar, penuh dengan amarah. Yang ini ada ketulusan dalam nadanya. Yang ini ada selit manja dalam tuturnya. Mata jejaka itu jatuh pada redup wajah si dara yang terus mengunyah, sedang hayati nikmat sang rezeki.
            “Saya pun dah lama tak makan burger ni. Kedai tadi pun kawan saya bagitahu burger kat situ memang best. Mia suka? Nanti boleh la kita jadi regular customer brader burger nih.” Ketawa mereka pecah. Iris turut mengangguk setuju.
            “Ok gak macam tu, nanti senang la dapat diskaun. Nampak muka kita je, brader tu terus siapkan dua burger ayam lada hitam dengan cheese macam ni.” Iris mengekek ketawa mengenangkan kejadian yang belum tentu bakal terjadi itu. Tapi ini hobi mereka sejak dulu. Nikmati indah alam sambil berangan. Di bibir langit, mereka pasang angan-angan. Tampal impian di celah awan. Luah perasaan diteman bulan.
            “Nanti, sampai kita dah ada 3 orang anak pun kita still jadi customer favorite brader tu, sampai dia dah ada 5 francais gerai burger. Anak-anak kita nanti mesti order burger lain-lain. Along nak burger daging kosong, angah minat benjo, adik pulak suka burger ayam with everything inside!”
            Ketawa mereka pecah lagi tapi lerai seminit kemudian. Iris hilang suara, Izmil hilang punca. Terlalu jauh angan itu. Terlalu sukar untuk dicapai mimpi itu. Izmil berdehem, lalu dicapai air botol Sprintzer Tinge perisa Lemon yang dari tadi setia menanti di ruangan kompartmen air. Dia sempat singgah ke kedai serbaneka 7 Eleven untuk membeli minuman sebelum mereka mendaki bukit itu.
            Iris teruskan kunyahan. Izmil sudah selesai sejak tadi. Matanya melirik ke arah Iris yang masih mengunyah perlahan. Masih belum berubah gadis ini, detik si hati. Walau dia yang paling awal mendapat makanan, tapi dia tetap jadi yang terakhir menghabiskan makanan. Mia, Mia..
            Iris melayan perasaan. Dia terkedu sebenarnya. Ingatan tentang perbualan dia bersama ibunya minggu lepas menerjah ke kotak fikiran. “Ibu mesti dapat tengok bakal cucu ibu. Ibu jangan risau.. Bukan setakat sorang, Is bagi tiga sekali nanti.” Kebetulan? 

No comments:

Post a Comment