Saturday, December 22, 2012

Bab 17 ~ Bukakan Pintu Hati


17



“Assalamualaikum..” Izmil memberi salam sambil duduk menunduk untuk membuka kasut hitam itu. Terasa sengal badannya kerana kerja di pejabat yang menimbun. Beg laptop yang disandang di bahu, dipegang dengan kemas, takut terjatuh. Di dalamnya terkandung segala hasil kerja penting untuk syarikatnya. Sepanjang hari dia bersama pekerja-pekerja yang lain bertungkus lumus menyiapkan perbentangan dengan satu syarikat dari Jepun yang dijangka tiba di Kuala Lumpur pada minggu hadapan. Projek ini adalah antara projek mega syarikatnya, kerana bukan mudah untuk berurusan bersama syarikat gergasi dari negara matahari terbit itu. Jadi, pelbagai persediaan rapi harus dibuat untuk pastikan segalanya berjalan lancar.
Bunyi pintu dibuka. Izmil masih tekun membuka ikatan tali kasut di kaki kirinya.
            “Meh sini beg tuh,” pinta suara dari muka pintu.
            Izmil terus menghulurkan tali beg laptopnya. Kini beg sudah bertukar tangan.
            “Lambat balik hari ni, banyak kerja ye kat office tuh?” Suara itu menyoal.
            “Yup. Letih laa hari ni, ma.” Izmil sengaja merengek manja.
            Suara itu tertawa kecil. Mungkin geli hati apabila mendengar aduan Izmil dengan suara manja sebegitu.
            
           Tiba-tiba tingkah Izmil terhenti. Dia baru perasan akan sesuatu yang ganjil. Suara di muka pintu itu, bukan suara lembut mama. Nadanya sedikit keras, namun ada getar dalam sembunyi. Lunak suara di muka pintu itu seperti pernah didengar. Ketawa manja itu. Matanya digerak perlahan memandang ke lantai rumah. Sepasang kaki comel yang setia menunggu di situ, bersama seutas gelang kaki emas yang terikat indah di kaki kanannya. Kaki itu ditutup dengan skirt labuh berona merah jambu lembut. Mama tak pernah ada skirt macam nih, detik hatinya.
            Kepalanya mendongak perlahan, memandang ke atas. Figura seorang gadis yang berkerut sambil tangannya terkial-kial membetulkan tali beg laptop yang terbelit membuat hatinya berbunga riang. Tanpa mengalihkan pandangan, Izmil berdiri perlahan-lahan.
            Gadis itu masih belum menyedari akan redup renungan mata sang jejaka. Mulutnya mengomel sendiri. “Kenapa tali nih terbelit-belit macam ni? Tak pasal-pasal terputus pulak beg laptop nih. Ishhh..”
            “Mia..” suara Izmil mendatar. Dia mahu pastikan gadis di hadapannya kini benar-benar wujud, dan bukan sekadar khayalan perasaannya.
            Pandangan mata mereka bertemu. Tangan Iris yang sebentar tadi ligat merungkai lilitan tali beg, kini lumpuh tiba-tiba. Dua jiwa itu kaku. Izmil seakan terpana kerana kejutan manis itu. Iris pula tak mampu untuk mengalihkan pandangan dari redup mata sang teruna.
            “Mia..” Izmil melangkah, menghampiri susuk tubuh Iris yang terus diam membisu. Riak wajah itu kosong, namun anak mata comel itu galak bercerita bahasa cinta. Mungkinkah gadis itu turut merasa getar yang melanda dadanya saat ini? Adakah dia juga terkena tempias percikan rindu yang makin menggebu dan tak mungkin pernah surut? Gadisku, andai saja mampu kau mendengar tiap degup jantung ini, andai saja kau bisa melihat tahap kerinduan aku buatmu, adanya aku adalah untuk membahagiakan diri kamu.
            
              “Haa, baru sampai ke, Mil?” Suara Husna memutuskan tali angan-angan yang sudah mula melayang ditiup angin rindu. Serentak itu, Izmil menjarakkan diri dari Iris sebelum tersenyum memandang mamanya. Tangan wanita itu disalam dan kucupan mesra singgah di pipi tua itu.
            Normah muncul dari belakang Husna sambil tersenyum mesra. Huluran tangan Izmil disambut lembut. “Bila ibu sampai dengan Mia?” terburu-buru Izmil menyoal Normah. Sebenarnya sejak tadi soalan itu berlegar di kepalanya. Bukankah hari ini hari rabu? Mengikut janji pada minggu lepas, hari jumaat barulah dia akan datang ke Kuantan untuk menjemput dua beranak itu. Tup tup, mereka berdua sudah ada di depan mata. Ehh, inilah namanya rezeki, Izmil Fikri ooii! Dia mengukir senyum nipis.
            Husna menceritakan serba ringkas perihal kedatangan mengejut dua beranak itu ke rumah pagi tadi sebelum Izmil naik ke bilik untuk membersihkan diri. Setiap langkahnya ditemani senyum nipis yang tak pernah lekang di hujung bibir. Sungguh, hatinya benar-benar gembira dengan situasi itu. Hatinya berbunga mekar dengan kelopak cinta sang bidadari dengan skirt pink itu. Tiba –tiba perbuatannya dilajukan setelah teringat kata-kata ibunya sebentar tadi, ketika kakinya sibuk melangkah sambil mengira anak tangga rumah banglo tiga tingkat itu.
            “Maghrib nanti turun ok. Papa ajak jemaah sekali.”

            Iris melangkah masuk ke dalam bilik solat yang memang telah dikhaskan untuk tujuan berjemaah buat seisi rumah. Tergesa-gesa dia berjalan kerana khuatir semua orang menunggu dia untuk solat Maghrib. Sebaik melangkah, empat pasang mata tertumpu kepada batang tubuhnya du muka pintu. Husna dan Normah tersenyum manakala Muzammil dan Izmil sudah mula bangun. Iris lekas mengambil tempatnya disebelah ibu. Sebentar tadi, matanya sempat menjeling riak pelik yang terlukis di wajah tunangnya itu. Tunang?!? Terasa kelu lidah untuk menyebut perkataan itu. Pelik benar bunyinya di pendengaran. Namun, itulah hakikat yang harus diterima. Dengan segera.
Laungan Iqamat mula bergema dalam bilik yang sederhana luas itu. Iris masih meneruskan hobinya memandang lantai yang kelihatan lebih menarik dari apa yang berada di depan mata. Ibunya serta maklang sudah mula bangun. Iris turut lekas bangun bila bahunya dicuit oleh ibu. Saf mula diluruskan. Masing-masing sudah mula bersiap untuk menunaikan tanggungjawab wajib sebagai hamba Yang Maha Esa. Takbir mula diangkat. Deruan merdu alunan takbir mula bergema dalam rumah besar yang sunyi itu. Alunannya lembut dan begitu mendayu-dayu memuji kebesaran Illahi.
Maksud doa iftitah mula dihayati sekalian manusia di dalam bilik kecil itu.  



Allah Maha Besar sebesar-besarnya.
Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya.
Dan Maha suci Allah siang dan malam.
Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku. Hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah, tuhan seru sekalian alam.
Sekali-kali tidaklah aku menyekutukanNya.
Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Muslim (Islam)


            Solat tiga rakaat itu diakhiri dengan salam. Si imam meneruskan ibadah wajib itu dengan membaca doa’ selepas solat. Selesai mengaminkan doa’, Izmil berpaling untuk bersalam dengan ayahnya. Tangan hangat ayah terasa hingga ke lubuk hatinya. Betapa dia mengasihi insan hebat itu. Langkahnya kemudian dipanjangkan ke bahagian belakang. Tangan ibunya pula menjadi hidangan bibirnya.
            Iris keras di atas sejadah. Patutlah sebentar tadi, suara imam seperti pernah didengar. Sangkanya, uncle Mahathir yang mengimamkan solat maghrib itu, tapi rupanya sangkaannya jauh meleset. Izmil Fikri di hadapannya ini bukan seperti yang pernah dikenali dulu. Senior Fikri serta sikap nakalnya sudah pudar dan seakan-akan sudah bertukar sepenuhnya. Tidak dinafikan, dia gembira dengan penghijrahan lelaki itu ke arah yang lebih baik. Perubahan untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik, seorang anak yang taat, serta suami yang baik? Meremang bulu roma Iris memikirkan kenyataan yang terakhir itu. Ngeri!
           
            Telefon yang sejak tadi senyap di atas meja solek tiba-tiba menjerit kuat dengan lagu “Locked Out of Heaven”. Iris berjalan malas menuju ke arah telefon bimbit miliknya. Keluhan tersembur keluar apabila melihat nama pemanggil yang naik ke skrin. Pandangan dialih ke jam dinding, sudah pukul 10.30. ‘Asal pulak duk telefon aku memalam buta nih?’ Ibunya sudah lama tidur diulit mimpi. Dia mengeluh lagi. Nak angkat ke tak nak angkat?  Akhirnya Bruno Mars berhenti menyanyi sendiri. Nafas lega dilepaskan. Iris tersenyum menang.
            Dia sudah mahu melangkah kembali ke katil bila sekali lagi Bruno Mars berlagu riang. Dengusan kecil dilepaskan. Dia beralih pandang pula ke arah ibunya yang kelihatan terganggu dengan bunyi dari telefonnya. Dengan langkah laju, Iris segera mengangkat telefon walau tanpa rela hati.
            Salam yang diberi dari talian sebelah sana dijawab canggung.
            “Mia dah tidur ke?” Fikri mulakan perbualan setelah beberapa ketika sunyi menyelubungi keliling. Kalau nak diikutkan bisik hatinya, mahu saja dia mengetuk pintu bilik Damya, ingin ditatap terus wajah mulus itu supaya surut sedikit rindu yang makin menebal dalam lubuk hatinya itu.
            “Belum. Tapi nak tidur laa nih. Ada apa awak call saya malam-malam nih?” suara datar yang dilontar. Dia tak mahu berlama-lama dengan keadaan begini. Dia lemas. Lemas untuk terus bertarung dengan perasaan sendiri yang seringkali bertingkah dengan akal logiknya.
            “Saya mengganggu ke?” soalan bodoh yang terlempar. Fikri gigit lidah. Alamak, salah cakap pulak.
            Damya berdengus kecil. “Tau tak pe! Ok laa, saya nak tidur nih,”
            “Ehh, Mia, jap. Saya nak cakap something kat awak nih,”
            Diam Damya seolah memberi ruang untuk Fikri terus berbicara.
             “Esok, saya cuti. Kita keluar, nak?” suaranya kedengaran ragu-ragu.
            “Keluar? Nak buat apa?” Giliran Damya bertanya soalan bodoh.
            “Err, kan tadi mama ada cakap yang kita kena pergi cari barang hantaran yang belum cukup. Sebab tuh saya minta cuti esok, sebab saya nak bawa awak pergi shopping untuk kenduri kita nanti.” Ketawa kecil kedengaran. Lebih pada untuk menutup gugup sebenarnya.
            Damya kerut dahi. Meremang sekejap bulu romanya bila mendengar ayat terakhir yang diucap oleh lelaki itu. ‘Kenduri kita?’ =..=’
            “Mia..? dah terlelap ke?” sempat lagi nak bergurau!
            “Haa ye.. ermm, ok laa. Esok pagi saya ajak ibu sekali. Ok laa, mata saya dah nak juling cakap dengan awak nih. Assalamualaikum.”
            Fikri tergelak kecil. “Waalaikummusalam sayang.”