19
Fikri
menghempas tubuhnya ke atas katil. Seluruh badannya terasa sengal. Fikirannya
kusut, serabut mengenangkan hal yang satu itu. Hatinya gundah setiap kali wajah
itu singgah ke benak fikirannya. Bukan dia tidak mengelak, namun dia tidak
mampu untuk menepis bayangan gadis kesayangan yang sudah lama bertakhta dihati.
“Mia..” Nama itu terbit untuk sekian kalinya di bibir Fikri bersama keluhan.
Kenapalah begitu payah untuk menundukkan hati gadis itu?
Sudah
macam-macam cara yang dilakukan untuk menawan hati Damya, namun semuanya tidak
berhasil. Fikri keliru, buntu. Dia yakin dengan hatinya, dan saat ini, hatinya
menginginkan Mia, hanya Mia. Tidak pernah satu hari dalam hidupnya berlalu
tanpa ingatannya terhadap pemilik senyuman manis itu. Aduh, entah apalah jampi
yang telah digunakan sehingga membuatkan dia terpukau. Fikri terimbas kembali
saat pertemuan dia bersama Damya, di pantai beberapa bulan lalu. Ketika itu
mereka sekeluarga pulang ke kampung mamanya di Kuantan untuk menghadiri kenduri
sepupunya, Hanim. Mamanya mahu pulang awal seminggu sebelum tarikh pernikahan
Hanim kerana mahu membantu adiknya dalam hal kenduri.
******
Satu
pagi itu selepas subuh, terlintas di fikirannya untuk mengambil angin di pantai
belakang rumah orang tuanya. Sedang dia berjalan di persisir pantai yang sunyi,
dari jauh matanya menangkap imej seorang gadis yang sedang duduk di atas salah
satu batu besar di tepi pantai. Entah kenapa, langkahnya ringan untuk mendekati
gadis misteri itu. makin dekat, makin jelas. Mia! Hatinya teriak. Dia sangat
merindui gadis yang berjaya tawan hatinya itu. sudah lapan tahun berlalu sejak
peritiwa itu, namun rasa sayang itu masih belum padam. Betapa dia rindukan
gadis itu.
“Awak!”
Tanpa sedar, Fikri melaung memanggil figura itu.
Dia
sendiri bingung mengapa tindakan refleksnya tidak seiring dengan fikirannya.
Ketika otaknya jenuh mencerna, bibirnya sekali lagi melaung, dengan harapan
dapat menarik perhatian gadis yang seolah hanyut termenung memandang ombak.
Berjaya!
Bibirnya tersenyum bila gadis itu berpaling. Walau dari jauh, dia seolah yakin
gadis itu adalah Damya. Mia miliknya. Langkah yang mulanya perlahan, kini makin
laju mengorak langkah menuju ke batu besar itu. Menuju ke arah insan
kesayangannya yang sudah lama menghilang. Jika benar itu dia, jika benar itu
Damya, dialah lelaki yang paling bahagia sekali saat itu.
Ketika
dia mahu melangkah ke arah Damya, gadis itu sudah bangun, mahu berlalu pergi.
Fikri jadi pelik. Dia menjerit meminta gadis itu supaya menunggunya.
“Tunggu!
Awak! Jangan pergi!” suaranya ketika itu seolah merayu.
Fikri
terus mengejar Damya tanpa berfikir panjang. Langkahnya makin laju saat dia
menyedari yang Damya turut membuka langkah menjauhinya. ‘Ah, sudah! Jangan laa
lari.’ Makin dia menghampiri, makin jauh Damya lari darinya. Dia cuba memanggil
lagi. Namun panggilan itu langsung tidak
diendah. Gadis itu, dari kejauhan sudah mula berlari jauh, jauh meninggalkan
dirinya yang masih terpinga.
Akhirnya,
Fikri berhenti dari terus mengejar. Dia putus asa, letih! Langkahnya makin
perlahan memijak pasir pantai itu. Dalam sunyi dinihari itu, Fikri seolah dapat
mendengar sesuatu jatuh, jatuh yang terlalu kuat hingga menyepah pasir. Bunyi
hati rapuhnya kah yang sedang berderai jatuh itu? Dia terduduk. Semua ini
terlalu berat untuk diterima. Mia..
Lalu,
dia berlalu ke arah pantai, di balik batu-batu besar untuk duduk, merehatkan
badan. ‘Pagi-pagi lagi dah exercise,’
dia mengaduh! Tiba-tiba, Fikri perasan sesuatu di celah-celah batu, di tempat
gadis itu duduk sebentar tadi. Cengkerang.
******
“Cengkerang!”
Izmil baru teringat perihal itu. Dia bangkit dari katil, dan terus bergerak
menyelongkar isi kandungan laci meja kerjanya. Dia teringat selepas kejadian
itu, dia mengutip cengkerang putih itu. Dia yakin cengkerang itu milik gadis di
pantai tempoh hari. Dan entah kenapa, dia yakin gadis itu adalah Damya.
Tangannya
yang sejak tadi sibuk meraba isi di dalam laci itu, akhirnya terhenti apabila
jemari kanannya memegang satu permukaan yang kasar dan tajam itu. Bibirnya
terukir senyum nipis. Cengkerang putih itu ditarik keluar, lalu dibawa dekat ke
telinganya. Matanya dipejam kejap sambil telinganya kirinya digasak penuh
dengan bunyi deruan ombak yang terhasil dari lubang cengkerang yang sebesar
tapak tangan itu. Senyum tipis terbit di hujung bibir. Dalam deruan ombak yang
menghempas pendengarannya, seakan ada satu bunyi yang tidak asing bagi hatinya.
Dalam bising ombak, dia seolah terdengar seruan nama itu. Mia…
Waktu
yang berlalu dirasakan terlalu pantas berjalan pergi. Pejam celik, pejam celik,
hanya tinggal hanya tiga minggu sebelum hari besarnya, hari pernikahannya. Meremang
seluruh tubuhnya tiap kali perihal yang satu itu terlintas di benak. Jujur dia
akui, hatinya masih belum sepenuhnya dapat menerima hakikat yang dia bakal
menjalani kehidupan berumah tangga bersama jejaka itu. Matanya dipejam kejap,
cuba untuk singkirkan tiupan resah yang kian menghanyutkan jiwa. Untuk sekian
kali, keluhan terluah dari bibir.
“Apa
yang dikeluhkan tuh, Is?” suara lembut ibu yang menyapa mengembalikan Iris ke
alam realiti.
Iris
berpaling sebelum menghadiahkan senyum manis buat wanita hebat itu. Kasihnya
jatuh pada raut wajah lembut itu. Satu senyum ibunya itu mampu meniup pergi sejuta
resah yang melanda benaknya. “Tak ade apa laa, bu. Ibu tak tidur lagi ke?”
Suara
Iris bergema dalam sunyi rumah batu setingkat itu. Normah sekadar menjawab
dengan gelengan. Langkahnya diatur ke arah Iris yang duduk santai di atas sofa.
Di muka televisyen sedang ditayangkan cerita Kabhi Kushi Kabhi Gham. Dua
beranak itu sememanganya ‘hantu cerita Hindustan’. Walau cerita itu sudah acap
kali ditayangkan, namun masih mampu mengusik jiwa.
Normah
mengambil tempat kosong di sebelah Iris. Matanya lekat pada skrin tv. Ralit
matanya melihat Shah Rukh Khan yang sedang mengusik Kajol. Kedua mereka
kelihatan sangat sepadan pada pandangannya. Sejak Kuch Kuch Hota Hai mula
ditayangkan, mereka berdua banyak digandingkan dalam banyak filem kerana
kesepadanan antara mereka.
Iris
peluk lengan ibunya. Kepalanya jatuh lembut ke bahu wanita hebat itu. Dapat
dirasakan kehangatan kasih sayang ibunya melalui pelukan itu. ‘Boleh tak kalau
Is nak terus peluk ibu macam nih sampai bila-bila?’ getus hati kecilnya. Walau
dia tahu hal itu mustahil, namun dia tetap juga berharap.
“Is..
ibu nak tanya something boleh?”
Normah memulakan bicara.
“Apa
dia, bu?” posisi Iris masih seperti tadi, masih lekat pada lengan ibunya.
“Boleh
ibu tahu apa yang pernah jadi antara Is dengan Izmil dulu?”
Hilang
senyum bahagia Iris yang setia melekat pada bibirnya sejak tadi. Dia seakan
tidak percaya soalan yang dilontar oleh ibunya itu. Macam mana ibu boleh tahu?
Banyak mana ibu tahu perihal dia dan Fikri? Siapa yang beritahu pada ibu?
Normah
resah bila dia tidak mendapat sebarang respon dari anak gadisnya itu. Sukar
untuk dia membaca riak Iris kerana kepala Iris sejak tadi melekat di bahunya.
Perlahan dia cuba untuk memecah sunyi. Nama anaknya diseru perlahan.
“Hmm?”
hanya itu balasan yang diterima. Aduhh, adakah dia telah tersilap perkiraan
dengan bertanyakan perihal ini? Mungkin hal ini terlalu peribadi untk dikongsi
bersama. Mungkin juga Iris masih belum lagi bersedia untuk membuka sebarang
ceritera perihal kisah antara dia dan Izmil. Mungkin juga.
Lama
mereka membisu, hanya muzik latar cerita Hindustan di tv menjadi pemecah sepi.
Mata mereka terus melihat senyum manis si hero pujaan ramai itu sedangkan akal
dan hati mereka tidak langsung tertumpu di situ.
“Is
okay? Ibu cuma nak cuba faham tentang situasi Is. Bukan niat ibu nak buat Is
sedih, ibu cuma..”
“Ehh,
bukan macam tuh, bu. Is okay je. Err, macam mana ibu tau pasal Is dengan Izmil?”
Teragak-agak Iris bertanya. Dia mahu tahu.
“Jadi
betul laa sebelum nih Is dengan Mil dah pernah kenal ye?” Normah masih dengan
cubaan mencungkil kisah silam anak daranya itu. Dia inginkan kepastian dari
mulut Iris sendiri.
Iris
membatu. Tiada sebarang jawapan yang terluah dari bibir. Dia sedang menghitung
tiap baik buruk jika dia menceritakan hal ini kepada ibu. Separuh dari akalnya melarang
dia dari menceritakan kisah silam yang pernah terjadi antara dia dan Fikri.
Separuh lagi sibuk menjelaskan alasan logik untuk menjelaskan segala kepada
ibu. Jiwanya kini tersepit.
Suara
lembut ibu menampar gegendang telinga Iris. Namanya diseru lagi. Jelas
kedengaran riak resah dalam lembut suara ibu. Dia mengeluh kecil. Kisah cinta
hero dan heroin dalam kotak televisyen sudah lama tidak dihirau. Nampak gayanya
ibu takkan berhenti sehingga dia mengerti akan kisah silam antara dia dan
Fikri. Dan sekali lagi, malam itu airmatanya tumpah untuk kesekian kali kerana
lelaki itu.
Mata
Izmil ralit memerhati buih-buih kecil di dalam gelas teh tariknya itu. Otaknya
terus berputar memikirkan kisah hidupnya yang masih samar. Hari pernikahan yang
hanya berbaki lagi dua minggu sepatutnya dipenuhi dengan senyum manis yang tak
pernah lekang dari bibir, namun kini, gembira itu seakan ditiup pergi bila dia
mengenangkan sikap dingin Iris. Keluhan kecil terbit lagi untuk kesekian kali. Sudah
jenuh dia meneliti tiap kenangan, cuba mengesan apakah sebenar silap dan
salahnya yang hingga kini masih belum boleh dimaafkan oleh Iris, namun tiada
apa yang mampu dicerna oleh benaknya saat itu. Dia buntu. Ahh, perasaan ini
sungguh memenatkan!
Sedang
Izmil ralit melayan perasaan, tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Mahu
terlompat dia kerana terkejut dengan sergahan itu. Cemas tertumpah air teh
tariknya. Kalau ikutkan hati, mahu dihempuk kepala manusia durjana dibelakangnya
itu. Bulat matanya bila melihat wajah manusia itu.
“Hoi!”
Izmil sudah bangun, berdiri tegak berhadapan dengan manusia yang dipanggil
durjana itu.
Lelaki
‘durjana’ itu pamer riak bengis. Keningnya sedikit terangkat, seakan mencabar
Izmil untuk teruskan kata-kata.
Izmil
tolak kasar bahu lelaki asing itu. Matanya bulat mencabar. Jelas riak geram
membuak-buak terpancar hebat di wajahnya. Lama mereka berdua berlawan pandangan
tajam. Lama-lama pandangan tajam itu tumpul, riak bengis itu berubah menjadi
senyum tipis. Suasana tegang yang tercipta 3 minit tadi di dalam kedai kopitiam
itu mula kendur. Tiba-tiba kedua jejaka itu tertawa besar sebelum berpelukan
erat. Semua mata tertumpu pada drama sebabak mereka. Inilah jadinya bila orang
gila bertemu dengan orang sewel.
“Ya
Allah.. dah lama gila kott aku tak jumpe kau!” Lengan sasa Lepat peluk kejap
tubuh tinggi Izmil. Tawa mereka berdua bergema.
“Kau
buat ape datang KL nih? Bukan kau kerja kat Sabah ke?” Izmil memulakan bicara
setelah kedua mereka melabuhkan punggung.
Lepat
tergelak kecil. “Aku ada kerja sikit yang kena uruskan kat KL. Tu yang aku
datang sini. Tapi tak lama pun aku stay
kat sini. Lusa aku fly balik Sabah
dah. Ehh, kau ape cerita sekarang?”
Tanpa
sedar, Izmil mengeluh perlahan, terlalu perlahan hingga hanya dapat ditangkap
oleh pendengaran dia seorang. Dia mempelawa rakan sekolahnya itu untuk duduk
bersama sebelum membuka cerita tentang dia. Tentang kisah cinta dia dan pujaan
hatinya.
Senyum
Lepat yang melebar sejak tadi kerana terlalu gembira bertemu dengan sahabatnya
itu mula kendur selepas mendengar tiap butir kata dari Izmil. Gelak tawa tadi
hilang terbang melayang, meninggalkan mereka bersama sepi yang kian menebal.
Perasaan gembira tadi sudah lama pergi. Yang ada kini hanya rasa buntu dari
satu pihak dan sebelah pihak lagi adalah rasa bersalah yang makin
mendalam.