Monday, August 8, 2011

Bab 6 ~ Saat Terbit Cinta


6


            Rumah banglo tiga tingkat itu dipandang dari luar. Warna beige dipadan dengan rona coklat yang lebih gelap pada bahagian luar rumah membuatkan rumah itu kelihatan indah. Dia baru menapak keluar dari perut kereta CRV. Maklang pula sudah berdiri di hadapan pintu besar rumahnya.
            “Marilah masuk, Is. Beg-beg semua tu, biar Mil je yang tolong bawak. Panas ni,  masuklah.” Pelawaan maklang dibalas dengan senyuman.
“Maklang masuk la dulu, Is nak ambil beg kejap.” Langkahnya terus diatur ke bonet. Dari ekor mata, dia perasan Izmil sedang memunggah keluar beg dari bonet kereta. Dia mula gugup, tapi diteruskan juga niat. Tak mahu menyusahkan orang lain, lebih-lebih lagi mamat depan nih.
“Eh, takpe, biar saya yang angkat beg-beg ni masuk dalam rumah. Awak pergi la masuk dulu.” Izmil bersuara bila melihat Iris mencapai luggage milik ibunya dari dalam bonet.
It’s okay, biar saya bawak beg saya ni. Beg maklang ni pun tak berat mana,” suara itu mendatar. Izmil hilang kata. Kalau dah itu katanya, tak mampu lagi dia hendak menghalang. Dia sekadar memerhati langkah Iris yang mengheret luggage ibunya yang mempunyai roda dengan tangan kanan, dan beg milik gadis itu di sebelah kiri.

Iris terpaku saat kaki melangkah masuk ke dalam mahligai milik maklang. Hiasan dalaman yang dipenuhi dengan barangan import buat dia terkesima. Belum pernah dia menjejak kaki ke dalam rumah yang sebegini gah. Dia terus berdiri di depan pintu.
“Dah tak reti jalan ke?” Suara di belakang menyentak. Dia berpaling
Izmil menghadiahkan senyuman. Iris tak balas, hanya menapak dua langkah ke tepi, beri ruang buat jejaka itu masuk.
Salam diberi saat langkah Izmil diatur ke dalam rumah.
Iris teruskan dengan hobinya sejak tiba di banglo itu, memerhati keadaan sekeliling.
Sekali lagi kedengaran salam diberi, kini lebih dekat.
Iris memandang Izmil yang merenungnya sambil tersenyum sumbing. Kening diangkat.
“Tak jawab dosa..” senyum itu masih melekat.
 Iris malu sendiri. “Waalaikummusalam..”
“..lambat jawab, kena denda..!” Izmil kenyit mata. Ayatnya dibiar tergantung.
Iris buat muka toya. Denda?
“Awak kena denda, a date with me. Tak boleh cakap ‘tak’. Okey?” Tanpa menunggu jawapan dari Iris, dia terus berlalu masuk.
Iris termanggu ditinggalkan seorang di depan pintu. Ah, sudah. Pandai-pandai je ajak aku date dengan dia, pirrahh! Tak hingin aku!

Usai solat zuhur, perlahan-lahan punggung dilabuh ke atas katil. Matanya memerhati sekeliling. Bilik tamu itu tampak ringkas dihias dengan kertas dinding bercorak bunga-bunga kecil. Satu katil bersaiz queen, satu meja solek kecil, dan satu almari bersaiz sederhana turut dimuatkan dalam bilik. Semuanya ditempah satu set.
Kepala yang terasa berat diletak atas bantal empuk. Lega. Mata dipejam kejap. Cuba hilangkan rasa letih. Cuba disingkir perasaan penat. Fikirannya tertumpu pada ibu di Kuantan. Handphone di meja sisi katil dicapai lalu ditekan nombor 2. Beberapa kali deringan, suara Normah muncul di hujung talian. Salam diberi. Terasa ringan beban rindu saat mendengar serak suara ibu. Batuk ibu sudah berkurang, tapi masih belum sembuh. Risaunya diluah.
“Is jangan risaukan ibu. Cik Midah kan ada kat sini dengan ibu. Ibu tak apa-apa, sayang.” Kenyataan itu masih belum mampu kurangkan tahap kerisauan dalam hatinya.
  “Ibu.. Is risaukan ibu, biar Is balik rumah la ye? Is balik naik bas petang ni, okey, bu?”
“Ishh, jangan nak buat kerja gila. Kamu baru sampai, kerusi pun tak panas lagi, dah nak balik. Nanti apa pulak kata maklang kamu tu. Dah-dah, jangan risaukan ibu. Is tu yang kena jaga diri kat tempat orang. Kena pandai bawak diri.”
Yes, teacher..” usik Iris.
Ibunya tertawa. Iris senang mendengar gelak bahagia ibunya. Kalau ini yang mampu gembirakan ibu, maka inilah yang akan ibu dapat. Walau hatinya menolak keras, walau jiwanya merintih. Ini satu tanggungjawab yang harus dipikul, tanggungjawab sebagai seorang insan yang bergelar anak!

Susuk tubuh Izmil yang santai menonton siaran HBO membuat Iris teragak-agak untuk keluar dari bilik. Tapi digagahkan juga langkah. Untuk turun ke bawah, terpaksalah dia melintasi depan lelaki itu. Ruang menonton tv memang sengaja diletak di bahagian atas rumah dua tingkat itu supaya tidak mengganggu ruang santai di bahagian bawah rumah. Tiap langkah yang diatur terasa kekok. Terasa jauh pula jarak dari biliknya dengan tangga. Rumah ni bertambah luas ke? Sampai di tangga, barulah dia boleh bernafas lega.
Izmil tersenyum. Dia tahu gadis itu gugup. Dapat dibaca dari riak wajah dan lenggok langkahnya tadi. Sengaja dia berdehem tadi. “Jangan lupa date kita..” Dia suka melihat muka polos itu berubah merah. Matanya lekat pandang susuk tubuh Iris berjalan laju turun ke bawah.  Comel!

Iris menuju ke dapur. Chik Ah, pembantu rumah, kelihatan sibuk mencuci pinggan-mangkuk dari hidangan tengahari tadi.
Ada apa-apa yang boleh Is tolong?”
Wanita separuh abad itu berpaling. Senyuman Iris dibalas. “Eh, tak payah la, Is. Dah nak siap dah ni. Is nak minum ke? Chik Ah boleh buatkan.” Iris menghalang saat wanita itu sudah berkira-kira mahu menuju ke kabinet yang menempatkan uncang teh dan kopi. Masih kenyang ujarnya.
“Is saja turun sebab tak ada apa nak buat duduk dalam bilik. Chik Ah dah lama kerja sini?” Iris menarik kerusi lalu duduk. Dah alang-alang duduk seminggu kat sini, apa salahnya dia mengenali seisi rumah yang bakal menjadi rumahnya sendiri nanti. Eh?
 Chik Ah tersenyum. “Lama dah. Chik kerja sini sejak ayah Mil mula-mula beli banglo ni. Kat sinilah Chik tengok dia membesar. Dari kecik Chik jaga dia..” Dia menutup paip di singki, lalu dicapai kain yang tersedia di satu penjuru kabinet berhampiran, lengannya yang tadi basah kini diserap oleh kain di tangan. Dia melangkah ke arah meja makan yang tersedia di dapur, menarik kerusi sebelah Iris.
“Mil?” Iris bingung. Mil mana pulak nih?
Chik tergelak, geli hati. Hai, takkan nama penuh tunang sendiri pun tak tau?
“Siapa lagi, cik abang kamu tu la.” Gelak lagi.
Ah! Iris menepuk dahi. Macam mana dia boleh lupa? Mil. Izmil Fikri..
“Apa yang dibualkan sampai gelak gegar satu rumah ni, Chik, Is?” Serentak kedua mereka berpaling ke arah Husna yang baru menapak masuk ke dapur. Wanita itu kelihatan santai dengan blaus ringkas rona biru yang dipadan dengan skirt labuh. Rambut paras bahunya dibiar lepas.
“Tak ada apa-apa lah maklang. Saja borak-borak dengan Chik ni.” Iris membalas senang.
Husna menyertai mereka berdua. Kerusi di sebelah kiri Iris pula ditarik. Punggungnya berlabuh di situ. Mereka berbual mesra. Tak lama kemudian, Chik pinta berlalu ke dalam bilik, kerana masih belum menunaikan solat Zuhur, sedang hari sudah menginjak ke petang.
Keadaan dapur berubah sunyi seketika setelah pemergian Chik ke bilik. Iris memandang kosong gelas di tangan. Air putih itu ditenung.
“Is..” Kepala Iris tegak, memandang maklang. Dia tersenyum.
Wanita itu menyambung bicara. “Maklang belum sempat nak ucap terima kasih pada Is, sebab terima pinangan keluarga maklang. Maklang nak minta maaf kalau keputusan kami ini buat Is rasa dipaksa. Tapi percayalah, kami hanya mahu yang terbaik untuk kamu berdua. Is dan juga Izmil. Maklang harap Is faham dengan niat kami.”
“Maklang jangan risau. Is reda dengan semua ni. Kalau memang dah tertulis jodoh kami, lambat-laun pun mesti akan bersama, kan?” Matanya merenung wajah keibuan maklang. Tak sanggup dia menyata isi sebenar hatinya. Dia masih punya akal, fikirannya masih waras. Tidak sanggup diluka hati wanita sebaik maklang.
“Maklang cuma nak Is dan Izmil bahagia. Itu je doa kami. Sejak mula-mula maklang nampak kamu, maklang dah tau yang Is dapat jadi seorang menantu yang baik. Maklang pun dapat sorang anak lagi. Iyela, maklang kan tak ada anak perempuan..”
“Maklang jangan risau, Is ada kat sini. Is boleh jadi anak maklang. Don’t worry, okay?” Tangan tua itu digenggam erat. Rindu pada ibu kian membuak.

Muzammil pulang lewat petang itu. Kerjaya sebagai seorang peguam memaksanya untuk berada di pejabat pada hujung minggu. Husna setia menyambut di muka pintu. Iris turut berada di sisi. Semasa kenduri semalam, belum sempat berkenalan rapat dengan bakal ayah mentuanya.
Terukir senyum di wajah tua itu. Walau sudah berumur, tapi tubuh lelaki itu masih segak. Salam yang diberi dijawab serentak oleh tiga orang yang menanti di muka pintu. Tiga? Terkejut Iris tika mendengar suara garau di belakangnya. Izmil sudah tersengih, mata jejaka itu tertumpu pada luar rumah, tepat pada ayahnya.
Briefcase Muzammil dicapai oleh maklang, sebelum tangan suaminya itu diraih dan dikucup mesra. Iris sekadar memerhati saat tangan Muzammil dicapai oleh Izmil pula. Terbit cemburu melihat adegan itu. Betapa dia berharap dapat berbuat begitu jika ayah masih ada..
Suara garau Muzammil menyentak Iris kembali ke alam realiti.
“Baru sampai tengahari tadi, paklang,” Iris menjawab pertanyaan dengan senyum.

Malam itu, mereka berempat menjamu hidangan dengan senang. Iris lebih banyak mendengar cerita dari paklang Muzammil. Pelbagai jenis kes-kes yang menjadi topik perbualan mereka. Banyak kes yang berjaya, hingga menjadikan firma guamannya antara yang terbaik di kotaraya. Terbit rasa kagum dalam hati bila melihat anak Melayu mampu mengukir nama di persada perguaman negara. Muzzamil akui bukan mudah mahu berdiri teguh, pelbagai konspirasi perlu dihadapi, namun dia bersyukur rezekinya makin bertambah hingga ke hari ini. Yang paling penting, jujur dalam kerjaya. Itu moto hidup yang dipegang sejak dulu.

Jam menunjuk tepat jam 1 pagi. Mata yang tadi pinta ditutup, kini makin galak memandang sekeliling. Iris resah. Dari tadi, tubuhnya dipusing ke kiri, dipaling ke kanan, tapi rasa mengantuk masih belum kunjung tiba. Dia duduk tegak di atas katil. Dah puas dibaca ayat-ayat suci, namun matanya masih berdegil.
 Tekaknya terasa haus. Setelah disarung cardigan hitam ditubuh serta tudung di kepala, Iris menapak keluar bilik. Keadaan rumah besar itu lenggang. Iyela, siapa yang nak berjaga malam-malam buta macam ni, cik Is ooii!
“Tak tidur lagi?” Suara garau itu buat Iris yang sedang minum air tersedak.
Izmil diserang rasa bersalah. Tak sangka gadis itu terperanjat begitu sekali. Dia yang baru sudah mengambil barang yang tertinggal dalam kereta sebentar tadi tak jadi mendaki tangga saat terdengar bunyi di dapur. Matanya tertangkap susuk tubuh Iris, sebab itu dia menegur. Alamak, makin teruk pula dia batuk. Dia terus menapak ke arah Iris, belakang gadis itu diusap, lembut. Tiada niat lain, cuma mahu dipasti keadaan gadis itu dalam keadaan baik.
Dada Iris terasa sesak. Air putih itu terasa hingga ke rongga hidungnya. Sudah puas dia batuk untuk singkir rasa kurang enak itu. Bila terasa lega sedikit, baru dia menyedari yang tangan jejaka itu dari tadi mengusap belakangnya. Dia bergerak sedikit ke tepi, sebagai isyarat yang dia ternyata tidak selesa.
Izmil mengerti. “Awak tak apa-apa? Saya minta maaf, saya tak tahu yang awak tengah minum air.” Wajahnya jelas pamer riak bersalah. Dipimpin Iris ke meja, lalu ditarik satu kerusi untuk gadis itu.
Iris hanya mengikut. Dia duduk. Izmil turut duduk sebelahnya. Dadanya diurut, kerana rasa sakit tadi masih bersisa. Sunyi.
“Saya naik dulu.” Iris bangun. Dia tak mahu terus berada dalam keadaan begini. Dia lemas!
“Saya minta maaf, Mia..” Izmil turut bersuara. Sunyi itu pecah.
Langkah terhenti. Dah lama dia tidak mendengar panggilan itu. hanya seorang yang pernah panggil dia begitu. Betapa dia rindu. Dan kini, lelaki yang dia rindu dulu sudah berada di depan mata. Dan bakal menjadi miliknya. Kalau perasaannya masih sama seperti lapan tahun dulu, mungkin dia akan tersenyum bahagia, tapi kini, dia sendiri tak tahu apa kehendak hatinya.
Izmil bangun. Dia memandang belakang gadis itu.
“Saya tahu awak tak setuju dengan hubungan ni. Saya dengar mama bercakap dalam telefon dengan maklong hari tu. Saya tahu mama tak sanggup nak bagitau saya kenyataan tu, sebab tu mama terus diam. Saya dah mula reda, saya pujuk hati saya. Mungkin ini yang terbaik. Tapi selang beberapa hari lepas tu, bila mama bagitau yang awak terima pinangan saya, hati saya ni terasa hidup semula, Mia..” Izmil tunduk, tangan kanannya pegang dada, pegang hatinya.
   Dia sambung bicara. “Lapan tahun saya cari awak, Mia. Awak hilang macam tu je dari hidup saya. Kenangan masa sekolah dulu tak bagi apa-apa makna langsung ke dalam hati awak?” Kepalanya diangkat. Kosong. Dia mengeluh. ‘Beritahu, apa salah saya, Mia..’
Damya terus masuk bilik. Airmatanya dari tadi mengalir deras. ‘Fikri..’ Hatinya merintih pilu.  

No comments:

Post a Comment