Monday, November 11, 2013

Bab 19 ~ Putih Cengkerang

19

Fikri menghempas tubuhnya ke atas katil. Seluruh badannya terasa sengal. Fikirannya kusut, serabut mengenangkan hal yang satu itu. Hatinya gundah setiap kali wajah itu singgah ke benak fikirannya. Bukan dia tidak mengelak, namun dia tidak mampu untuk menepis bayangan gadis kesayangan yang sudah lama bertakhta dihati. “Mia..” Nama itu terbit untuk sekian kalinya di bibir Fikri bersama keluhan. Kenapalah begitu payah untuk menundukkan hati gadis itu?
Sudah macam-macam cara yang dilakukan untuk menawan hati Damya, namun semuanya tidak berhasil. Fikri keliru, buntu. Dia yakin dengan hatinya, dan saat ini, hatinya menginginkan Mia, hanya Mia. Tidak pernah satu hari dalam hidupnya berlalu tanpa ingatannya terhadap pemilik senyuman manis itu. Aduh, entah apalah jampi yang telah digunakan sehingga membuatkan dia terpukau. Fikri terimbas kembali saat pertemuan dia bersama Damya, di pantai beberapa bulan lalu. Ketika itu mereka sekeluarga pulang ke kampung mamanya di Kuantan untuk menghadiri kenduri sepupunya, Hanim. Mamanya mahu pulang awal seminggu sebelum tarikh pernikahan Hanim kerana mahu membantu adiknya dalam hal kenduri.

******

Satu pagi itu selepas subuh, terlintas di fikirannya untuk mengambil angin di pantai belakang rumah orang tuanya. Sedang dia berjalan di persisir pantai yang sunyi, dari jauh matanya menangkap imej seorang gadis yang sedang duduk di atas salah satu batu besar di tepi pantai. Entah kenapa, langkahnya ringan untuk mendekati gadis misteri itu. makin dekat, makin jelas. Mia! Hatinya teriak. Dia sangat merindui gadis yang berjaya tawan hatinya itu. sudah lapan tahun berlalu sejak peritiwa itu, namun rasa sayang itu masih belum padam. Betapa dia rindukan gadis itu.
“Awak!” Tanpa sedar, Fikri melaung memanggil figura itu.
Dia sendiri bingung mengapa tindakan refleksnya tidak seiring dengan fikirannya. Ketika otaknya jenuh mencerna, bibirnya sekali lagi melaung, dengan harapan dapat menarik perhatian gadis yang seolah hanyut termenung memandang ombak.
Berjaya! Bibirnya tersenyum bila gadis itu berpaling. Walau dari jauh, dia seolah yakin gadis itu adalah Damya. Mia miliknya. Langkah yang mulanya perlahan, kini makin laju mengorak langkah menuju ke batu besar itu. Menuju ke arah insan kesayangannya yang sudah lama menghilang. Jika benar itu dia, jika benar itu Damya, dialah lelaki yang paling bahagia sekali saat itu. 
Ketika dia mahu melangkah ke arah Damya, gadis itu sudah bangun, mahu berlalu pergi. Fikri jadi pelik. Dia menjerit meminta gadis itu supaya menunggunya.
“Tunggu! Awak! Jangan pergi!” suaranya ketika itu seolah merayu.
Fikri terus mengejar Damya tanpa berfikir panjang. Langkahnya makin laju saat dia menyedari yang Damya turut membuka langkah menjauhinya. ‘Ah, sudah! Jangan laa lari.’ Makin dia menghampiri, makin jauh Damya lari darinya. Dia cuba memanggil lagi.  Namun panggilan itu langsung tidak diendah. Gadis itu, dari kejauhan sudah mula berlari jauh, jauh meninggalkan dirinya yang masih terpinga.
Akhirnya, Fikri berhenti dari terus mengejar. Dia putus asa, letih! Langkahnya makin perlahan memijak pasir pantai itu. Dalam sunyi dinihari itu, Fikri seolah dapat mendengar sesuatu jatuh, jatuh yang terlalu kuat hingga menyepah pasir. Bunyi hati rapuhnya kah yang sedang berderai jatuh itu? Dia terduduk. Semua ini terlalu berat untuk diterima. Mia.. 
Lalu, dia berlalu ke arah pantai, di balik batu-batu besar untuk duduk, merehatkan badan. ‘Pagi-pagi lagi dah exercise,’ dia mengaduh! Tiba-tiba, Fikri perasan sesuatu di celah-celah batu, di tempat gadis itu duduk sebentar tadi. Cengkerang.

******

“Cengkerang!” Izmil baru teringat perihal itu. Dia bangkit dari katil, dan terus bergerak menyelongkar isi kandungan laci meja kerjanya. Dia teringat selepas kejadian itu, dia mengutip cengkerang putih itu. Dia yakin cengkerang itu milik gadis di pantai tempoh hari. Dan entah kenapa, dia yakin gadis itu adalah Damya.
Tangannya yang sejak tadi sibuk meraba isi di dalam laci itu, akhirnya terhenti apabila jemari kanannya memegang satu permukaan yang kasar dan tajam itu. Bibirnya terukir senyum nipis. Cengkerang putih itu ditarik keluar, lalu dibawa dekat ke telinganya. Matanya dipejam kejap sambil telinganya kirinya digasak penuh dengan bunyi deruan ombak yang terhasil dari lubang cengkerang yang sebesar tapak tangan itu. Senyum tipis terbit di hujung bibir. Dalam deruan ombak yang menghempas pendengarannya, seakan ada satu bunyi yang tidak asing bagi hatinya. Dalam bising ombak, dia seolah terdengar seruan nama itu. Mia…
Waktu yang berlalu dirasakan terlalu pantas berjalan pergi. Pejam celik, pejam celik, hanya tinggal hanya tiga minggu sebelum hari besarnya, hari pernikahannya. Meremang seluruh tubuhnya tiap kali perihal yang satu itu terlintas di benak. Jujur dia akui, hatinya masih belum sepenuhnya dapat menerima hakikat yang dia bakal menjalani kehidupan berumah tangga bersama jejaka itu. Matanya dipejam kejap, cuba untuk singkirkan tiupan resah yang kian menghanyutkan jiwa. Untuk sekian kali, keluhan terluah dari bibir.
“Apa yang dikeluhkan tuh, Is?” suara lembut ibu yang menyapa mengembalikan Iris ke alam realiti.
Iris berpaling sebelum menghadiahkan senyum manis buat wanita hebat itu. Kasihnya jatuh pada raut wajah lembut itu. Satu senyum ibunya itu mampu meniup pergi sejuta resah yang melanda benaknya. “Tak ade apa laa, bu. Ibu tak tidur lagi ke?”
Suara Iris bergema dalam sunyi rumah batu setingkat itu. Normah sekadar menjawab dengan gelengan. Langkahnya diatur ke arah Iris yang duduk santai di atas sofa. Di muka televisyen sedang ditayangkan cerita Kabhi Kushi Kabhi Gham. Dua beranak itu sememanganya ‘hantu cerita Hindustan’. Walau cerita itu sudah acap kali ditayangkan, namun masih mampu mengusik jiwa.
Normah mengambil tempat kosong di sebelah Iris. Matanya lekat pada skrin tv. Ralit matanya melihat Shah Rukh Khan yang sedang mengusik Kajol. Kedua mereka kelihatan sangat sepadan pada pandangannya. Sejak Kuch Kuch Hota Hai mula ditayangkan, mereka berdua banyak digandingkan dalam banyak filem kerana kesepadanan antara mereka.
Iris peluk lengan ibunya. Kepalanya jatuh lembut ke bahu wanita hebat itu. Dapat dirasakan kehangatan kasih sayang ibunya melalui pelukan itu. ‘Boleh tak kalau Is nak terus peluk ibu macam nih sampai bila-bila?’ getus hati kecilnya. Walau dia tahu hal itu mustahil, namun dia tetap juga berharap.
“Is.. ibu nak tanya something boleh?” Normah memulakan bicara.
“Apa dia, bu?” posisi Iris masih seperti tadi, masih lekat pada lengan ibunya.
“Boleh ibu tahu apa yang pernah jadi antara Is dengan Izmil dulu?”
Hilang senyum bahagia Iris yang setia melekat pada bibirnya sejak tadi. Dia seakan tidak percaya soalan yang dilontar oleh ibunya itu. Macam mana ibu boleh tahu? Banyak mana ibu tahu perihal dia dan Fikri? Siapa yang beritahu pada ibu?
Normah resah bila dia tidak mendapat sebarang respon dari anak gadisnya itu. Sukar untuk dia membaca riak Iris kerana kepala Iris sejak tadi melekat di bahunya. Perlahan dia cuba untuk memecah sunyi. Nama anaknya diseru perlahan.
“Hmm?” hanya itu balasan yang diterima. Aduhh, adakah dia telah tersilap perkiraan dengan bertanyakan perihal ini? Mungkin hal ini terlalu peribadi untk dikongsi bersama. Mungkin juga Iris masih belum lagi bersedia untuk membuka sebarang ceritera perihal kisah antara dia dan Izmil. Mungkin juga.
Lama mereka membisu, hanya muzik latar cerita Hindustan di tv menjadi pemecah sepi. Mata mereka terus melihat senyum manis si hero pujaan ramai itu sedangkan akal dan hati mereka tidak langsung tertumpu di situ.
“Is okay? Ibu cuma nak cuba faham tentang situasi Is. Bukan niat ibu nak buat Is sedih, ibu cuma..”
“Ehh, bukan macam tuh, bu. Is okay je. Err, macam mana ibu tau pasal Is dengan Izmil?” Teragak-agak Iris bertanya. Dia mahu tahu.
“Jadi betul laa sebelum nih Is dengan Mil dah pernah kenal ye?” Normah masih dengan cubaan mencungkil kisah silam anak daranya itu. Dia inginkan kepastian dari mulut Iris sendiri.
Iris membatu. Tiada sebarang jawapan yang terluah dari bibir. Dia sedang menghitung tiap baik buruk jika dia menceritakan hal ini kepada ibu. Separuh dari akalnya melarang dia dari menceritakan kisah silam yang pernah terjadi antara dia dan Fikri. Separuh lagi sibuk menjelaskan alasan logik untuk menjelaskan segala kepada ibu. Jiwanya kini tersepit. 
Suara lembut ibu menampar gegendang telinga Iris. Namanya diseru lagi. Jelas kedengaran riak resah dalam lembut suara ibu. Dia mengeluh kecil. Kisah cinta hero dan heroin dalam kotak televisyen sudah lama tidak dihirau. Nampak gayanya ibu takkan berhenti sehingga dia mengerti akan kisah silam antara dia dan Fikri. Dan sekali lagi, malam itu airmatanya tumpah untuk kesekian kali kerana lelaki itu.
Mata Izmil ralit memerhati buih-buih kecil di dalam gelas teh tariknya itu. Otaknya terus berputar memikirkan kisah hidupnya yang masih samar. Hari pernikahan yang hanya berbaki lagi dua minggu sepatutnya dipenuhi dengan senyum manis yang tak pernah lekang dari bibir, namun kini, gembira itu seakan ditiup pergi bila dia mengenangkan sikap dingin Iris. Keluhan kecil terbit lagi untuk kesekian kali. Sudah jenuh dia meneliti tiap kenangan, cuba mengesan apakah sebenar silap dan salahnya yang hingga kini masih belum boleh dimaafkan oleh Iris, namun tiada apa yang mampu dicerna oleh benaknya saat itu. Dia buntu. Ahh, perasaan ini sungguh memenatkan!
Sedang Izmil ralit melayan perasaan, tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Mahu terlompat dia kerana terkejut dengan sergahan itu. Cemas tertumpah air teh tariknya. Kalau ikutkan hati, mahu dihempuk kepala manusia durjana dibelakangnya itu. Bulat matanya bila melihat wajah manusia itu.
“Hoi!” Izmil sudah bangun, berdiri tegak berhadapan dengan manusia yang dipanggil durjana itu.
Lelaki ‘durjana’ itu pamer riak bengis. Keningnya sedikit terangkat, seakan mencabar Izmil untuk teruskan kata-kata.
Izmil tolak kasar bahu lelaki asing itu. Matanya bulat mencabar. Jelas riak geram membuak-buak terpancar hebat di wajahnya. Lama mereka berdua berlawan pandangan tajam. Lama-lama pandangan tajam itu tumpul, riak bengis itu berubah menjadi senyum tipis. Suasana tegang yang tercipta 3 minit tadi di dalam kedai kopitiam itu mula kendur. Tiba-tiba kedua jejaka itu tertawa besar sebelum berpelukan erat. Semua mata tertumpu pada drama sebabak mereka. Inilah jadinya bila orang gila bertemu dengan orang sewel.  
“Ya Allah.. dah lama gila kott aku tak jumpe kau!” Lengan sasa Lepat peluk kejap tubuh tinggi Izmil. Tawa mereka berdua bergema.
“Kau buat ape datang KL nih? Bukan kau kerja kat Sabah ke?” Izmil memulakan bicara setelah kedua mereka melabuhkan punggung.
Lepat tergelak kecil. “Aku ada kerja sikit yang kena uruskan kat KL. Tu yang aku datang sini. Tapi tak lama pun aku stay kat sini. Lusa aku fly balik Sabah dah. Ehh, kau ape cerita sekarang?”
Tanpa sedar, Izmil mengeluh perlahan, terlalu perlahan hingga hanya dapat ditangkap oleh pendengaran dia seorang. Dia mempelawa rakan sekolahnya itu untuk duduk bersama sebelum membuka cerita tentang dia. Tentang kisah cinta dia dan pujaan hatinya.
Senyum Lepat yang melebar sejak tadi kerana terlalu gembira bertemu dengan sahabatnya itu mula kendur selepas mendengar tiap butir kata dari Izmil. Gelak tawa tadi hilang terbang melayang, meninggalkan mereka bersama sepi yang kian menebal. Perasaan gembira tadi sudah lama pergi. Yang ada kini hanya rasa buntu dari satu pihak dan sebelah pihak lagi adalah rasa bersalah yang makin mendalam.   

Tuesday, March 12, 2013

Bab 18 ~ 250 000


 18
           
            Husna dan Normah masih ralit memilih busana yang sesuai dengan Iris. Pelbagai corak serta aneka gaya yang sesuai untuk dipadankan dengan citarasa masa kini. Iris terus duduk di kerusi yang tersedia di dalam kedai pengantin dua tingkat itu. Bahang panas di luar kedai tadi kini makin surut dengan kehadiran penghawa dingin menyapa tubuh. Sejak pagi tadi mereka berempat sibuk keliling bandaraya metropolitan itu untuk mencari barang-barang persiapan untuk kenduri besar dua keluarga itu.

           “Iris ! meh sini cuba baju yang nih.” Husna melambai-lambaikan tangannya dari tingkat atas, memanggil anak perempuannya yang terduduk di atas kerusi.

            Iris hanya menjawab dengan mengangkat tangan. Dirinya terasa malas sekali mahu mendaki tangga untuk terus ke tingkat atas. Namun tetap digagahkan juga kakinya untuk terus berdiri dan menapak. Keluhan keluar dari bibirnya tanpa disedari.

            “Tak baik mengeluh tau..” Suara garau itu berbisik lembut menampar pendengarannya. Iris terus berpaling.

Di pandangannya kini terterpa riak wajah Izmil yang tersengih kecil. Segera dijarakkan wajahnya dari terus berada terlalu hampir dengan jejaka itu. Sejak bila lelaki itu berada dekat dengannya, sumpah dia tak tahu. Seingatnya tadi, jejaka itu terus lenyap dari pandangan selepas mereka semua menapak ke dalam kedai. Entah kemana dia pergi, entah bila dia kembali. Iris langsung tidak sedar tentang kehadiran Izmil. Kadang-kadang dia terasa lelaki itu seperti biskut.

Atau? Bisik si hati, memulakan bicara. Atau mungkin aku yang tak sedar akan kehadiran jejaka itu disisi? Mungkin aku yang terlalu buta dengan peristiwa dulu hingga aku menutup langsung pintu hati ini dari terus menerima dia? Mungkin? Mungkin?

“Mia.. hello..?” Izmil melambai-lambaikan tangannya di hadapan gadis comel yang sejak dulu menjadi pujaan hatinya. Dia pelik melihat riak kosong yang terlempar pada wajah manis itu. Entah apa sajalah yang sedang berputar ligat dalam kepala itu. Dia tersenyum lagi bila melihat mata Damya terkelip-kelip memandangnya dengan wajah yang tidak beriak itu. Riak itulah yang membuatkan hatinya terus berdegup kencang, sejak dulu. =)

“Mah, kamu ada nampak apa-apa perubahan ke dengan budak berdua tuh?” Husna bertanya sambil tangannya sibuk memilih baju pengantin dengan rona warna yang sesuai dengan Iris. Matanya beralih pula pada wajah Normah yang sedang termenung sendiri. “Normah?”

Seolah baru tersedar dari mimpi, Normah terus berpaling ke arah bakal birasnya itu. Keluhan kecil terbit di hujung bibir. Ketika itu kedua pasangan muda itu sedang dalam bilik persalinan, mencuba persalinan untuk majlis perkahwinan mereka nanti.

“Entah laa, kak. Mah sendiri pun tak tau nak cakap apa. Mah sendiri tak pernah tahu sekeras itu hati si Is untuk terima semula Izmil. Mungkin hati dia betul-betul terluka dulu, hinggakan sampai sekarang dia masih belum boleh terima Izmil, belum boleh lupakan hal yang pernah terjadi antara mereka.” Normah hanya mampu menggeleng perlahan. Husna turut terdiam, mengakui akan hakikat itu dalam senyap.

“Ibu..? ohh ibu..? ibu ada kat luar ke?” Iris memanggil dari dalam bilik persalinan kedai pengantin yang luas tuh. “Ibu, Is rasa baju nih macam tak okey je dengan Is, cuba ibu masuk tengok meh.” Matanya masih meneliti bentuk baju yang berona ungu muda dengan potongan kebaya moden yang melekat pada tubuhnya.

“Ibu??” kakinya mula melangkah keluar dari bilik persalinan bila tiada sebarang jawapan. Bila pintu dibuka, keadaan dalam kedai itu kelihatan sunyi tanpa seorang pun kelihatan. Perasaan pelik terus membelengu dirinya. “where’s everybody?

“Mia?” Langkah Iris terhenti, terus kaku. Dia kenal benar dengan suara itu, sebab itu dia tak berani untuk terus langsung berpaling. Suara itu dari dulu tak pernah gagal untuk membuat dirinya terus terbuai dengan kenangan manis mereka dulu.

“Iris Damya?” sekali lagi ruang persalinan yang sunyi itu bergema dengan suara garau yang kedengaran lembut di gegendang telinga si gadis. Iris berpaling perlahan, bersama debar yang kian menjadi-jadi. Jarang sekali dia dapat mendengar lelaki itu memanggil nama penuhnya, dan apabila hal itu terjadi, namanya kedengaran sangat istimewa bila menari di pinggir bibir jejaka itu. =)

Izmil terpaku sambil Iris terus berdiri kaku. Keduanya saling berpandangan tanpa kata yang terluah. Tanpa suara, hati mula berbicara perihal cinta, berbisik tentang rindu. Pandangan mata melirik pandangan yang hanya difahami oleh dua jiwa.

Izmil yang segak dalam persalinan baju Melayu berona sama mula melangkah menghampiri susuk tubuh Iris yang masih terdiam kaku. Bariskanlah seberapa banyak pun gadis-gadis yang cantik rupawan di hadapannya, namun matanya tetap akan nampak Iris Damya sebagai yang terindah. Baginya, bidadari yang tercipta untuknya hanyalah gadis yang berdiri di hadapannya kini, tiada lain.

“Awak nampak sangat..” ayatnya tergantung, lebih pada untuk memancing perhatian Damya yang kini sudah tertunduk memandang lantai.

“..nampak sangat…” jarak antara mereka semakin hampir, malah terlalu hampir pada kiraan Damya hingga dia terpaksa menapak ke belakang sedikit untuk mewujudkan jurang pemisah antara mereka. Dia tidak betah berada lama dalam keadaan begini bersama lelaki itu. Dia lemas. Lemas dalam perasaan yang dia sendiri tidak mengerti. Lelaki di hadapannya itu terlalu bijak untuk membaca riak yang cuba disembunyi. Lelaki itu tentu saja mengerti tentang gelora yang sedang hebat melanda tangkai hatinya.

Setiap langkah Damya menapak ke belakang turut diikut oleh Fikri. Satu langkah ke belakang, satu tapak kehadapan diambil oleh jejaka itu. Tarian kekok itu berterusan sehingga Damya terperangkap di antara dinding dan tubuh Fikri yang makin menghampiri. Walau kepalanya masih leka memandang lantai, Damya seolah dapat merasakan senyum kecil yang terukir di pinggir bibir Fikri, bukanlah sinis, tapi lebih pada senyum kemenangan.

Tangan kanan Fikri kini sudah mula memainkan peranan. Dagu Damya disentuh dan diangkat perlahan. Damya terlalu gugup untuk berbuat apa-apa. Kini, dua pasang mata itu bertemu untuk kesekian kalinya. Fikri tersenyum manis, sambil Damya terus menahan debar menunggu tindakan Fikri yang seterusnya.

You look gorgeous, love. Kalau nak dibandingkan Mia dengan sepuluh gadis tercantik dalam dunia nih, pada saya, Mia jauh lebih cantik, dua ratus lima puluh ribu kali lebih cantik.” Suara garau itu berbisik lembut, terasa begitu hampir dengan dirinya. Wajah Damya kekal tak beriak sedangkan Fikri terus tersenyum manis. Damya menutup erat matanya bila melihat jejaka itu mula menghampiri wajahnya, terlalu hampir hingga desah nafas mereka bersatu. Tubuhnya ketika itu seakan kaku terkena jampi yang dipercikkan dari sinar mata Fikri. Hatinya menjerit,fikirannya meronta agar lari dari situasi yang melemaskan itu, tapi tubuhnya seakan tidak mahu menerima sebarang arahan. Kini nafas Fikri terasa dekat di tepi telinga Damya yang diliputi tudung bawal. “Lepas dah halal nanti, we’re gonna be staying in bed for quite a while, sayang..” bisik Fikri sebelum tergelak kecil sambil menghadiahkan kenyitan nakal pada bakal isterinya. Entah mengapa, dia seronok pula dapat mengusik gadis comel itu. Wajah Damya yang pucat itu ditatap lagi. Air liur yang ditelan terasa kasar. Detik dan saat itu, dia tahu hatinya sedang jatuh sayang dan kasih kepada insan yang sudah lama dianggap istimewa dalam hatinya itu.

Sekali lagi, gadis itu tertunduk. Malukah dia? Fikri cuba menahan diri dari mencubit pipi gebu itu. ‘Comelnya!’ Bibirnya mengulum senyum bahagia.

Dagu Damya sekali lagi melekat di hujung jari kanan Fikri sebelum diangkat lembut supaya mata mereka bertemu. Dengan senyum manis, Fikri berbisik halus, “..satu je yang saya nak awak ingat, untuk kali yang ke dua ratus lima puluh ribu, saya cintakan awak, Iris Damya.”

Serentak dengan itu, jantung Damya berhenti berdegup sepenuhnya untuk 3 saat.

******

“Laparnye perut aku nih haa.” Azmir merengek kecil sambil menunjukkan muka kasihan ke arah Syahirah dan Iris. Dua gadis itu hanya mampu sekadar mengangkat bahu. Kelas Sejarah yang sepatutnya berakhir 10 minit tadi dipanjangkan kerana Cikgu Mokhtar mahu menghabiskan topik pembelajaran untuk hari itu. Tindakan itu menyebabkan waktu rehat kelas mereka terpaksa dipendekkan. Iris meliarkan pandang ke sekeliling kelas. Mimik muka setiap pelajar yang berada di dalam kelas pada ketika itu seolah sedang menerima hukuman yang paling berat dalam hidup mereka. Tanpa sedar, Iris tersengih sumbing melihat telatah tiap rakan kelasnya. Syahirah yang sedang menongkat dagu di sebelahnya merenung dengan bosan ke arah Cikgu Mokhtar yang masih bersemangat menerangkan perihal kisah pertapakan pihak British di Pulau Pinang. Menjelaskan hal penipuan Francis Light bagi mendapatkan kuasa ke atas pulau tersebut.

“Okay, ada apa-apa soalan?” Cikgu Mokhtar melontar pandang ke segenap kelas. Respon para pelajar seakan sudah berlatih sebelum menjawab bersama-sama dengan gelengan kepala. “Baiklah kalau macam tuh. Kalau tak ada apa-apa soalan, saya rasa kamu semua takkan ada masalah untuk siapkan semua latihan dari mukasurat 53 hingga 60 dalam buku teks ni kan?” senyum cikgu ketika itu sinis. Iris mengeluh. Jelas dia perasan reaksi tiap pelajar yang ternyata bosan dengan ‘syarahan’ bab dua Sejarah Tingkatan 2 itu. Keluhan bergema dalam kelas 2 Amanah itu.

Sebaik sahaja Cikgu Mokhtar melangkah keluar, semua pelajar berpusu-pusu ke kantin kerana masa rehat yang hanya tinggal 15 minit sebelum kelas seterusnya bermula. Azmir antara yang terawal bolos dari kelas. Lapar betul gayanya mamat tuh.

“Adoii! Kerja Math semalam pun aku tak siap lagi, ni dah bertambah dengan latihan Sejarah yang berpuluh mukasurat nih.” Syahirah merengek kecil.

Iris tergelak. Syahirah angkat kening sebelum jari runcingnya lekat pada bahu Iris dengan cubitan.
“Ouchh! Sakit lah! Kau nih, ganas betul,” Iris menggosok lembut bahunya yang pasti merah dibawah lapisan baju kurung putih itu. “itulah, sape suruh kau tangguh kerja. Sekarang sape yang susah, kau jugak.”

Keadaan di kantin masih penuh. Iris mengeluh. Nampak gayanya pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 sudah memulakan sesi rehat mereka. Syahirah meliarkan pandangan mencari ruang kosong untuk mereka berdua duduk.

Sebaik ternampak tempat kosong, Syahirah mencuit bahu Iris. “Aku pergi jaga tempat kita, kau tolong belikan aku makanan, okay?”

Iris sekadar mengangguk sebelum menuju ke arah kantin yang masih penuh dengan pelajar. Dia beratur sambil kerut dahi melihat barisan yang masih panjang. Iris panjang leher untuk melihat apa lagi makanan yang tinggal untuk mengisi perut kosongnya. Dah tak banyak pilihan makanan yang boleh dipilih. Dia mengeluh kecil sambil menyandarkan badan ke tiang kecil yang dibina separas pinggang sebagai pemisah antara ruang membeli buat pelajar lelaki dan perempuan. Perutnya mengeluarkan bunyi keroncong di antara beribu bunyi bising yang mengelilingi ruang kantin yang sesak itu. Tangannya terus lekat pada perutnya. Sabar ye, incik perut, jap lagi aku bagi kau makan okay..

“Hai!” Suara asing itu singgah di pendengaran Damya, seolah menenggelamkan bunyi lain. Matanya dilirikkan ke sebelah kanannya sebelum kepalanya ikut berpusing 90 darjah. Matanya bulat memandang wajah kacak di hadapannya kini. Senior..

“Tengah beratur beli makanan ke?” Fikri sengih sumbang ditepi si gadis.

“Tak adalah, tengah buat marathon 250 000 meter. Nak join sekali ke?” Dushh! Tepat kena batang hidung Fikri. Iris gigit lidah, dia sendiri tak tahu kenapa dia memilih untuk menjawab dengan jawapan sebegitu. Mungkin sebab perut lapar nih kot, yang buat dia tak boleh berfikir dengan begitu waras. Ya, sebab lapar ni agaknya.   

Fikri tergelak. Dia malu sendiri. Aku pun satu, yang pergi tanya soalan bodoh buat ape! Aishhh! Dia memandang Iris yang sudah beralih pandang. Kini matanya beralih pada barisan di hadapan Iris yang sudah semakin pendek. Peluangnya semakin suntuk. Selepas insiden pensel tekan hari itu, dia sudah jarang melihat Damya di sekolah. Kalau bertembung sekalipun, hanya di jarak yang jauh dan tak mungkin dapat bertegur sapa.

Fikri berdehem, mencari kata untuk meneruskan perbualan yang terputus tadi. Pertemuan yang tidak diduga seperti ini jarang terjadi, jadi dia perlu menggunakan peluang yang ada sepenuhnya. Namun, belum sempat dia membuka mulut, Iris sudah hilang di tengah ramai. Keluhan kecil terluah dari bibir itu.

“Jangan lupa baca bismillah dulu,” Syahirah menjeling tajam ke arah Iris. Sudah lah dia sedang lapar, diusik pula oleh sahabatnya itu.

Iris tergelak kecil sambil mengenyitkan mata pada Syahirah. Nasi goreng di depan mata kelihatan sangat sedap di matanya. Mereka berdua terus menjamu selera sambil berbual kosong, tanpa menyedari ada mata yang sedang memerhati tiap gerak geri Iris.

“Sorang je?” Buku latihan Sejarahnya itu kini dicemari garisan biru yang comot. Damya hanya mampu terlopong kecil. Habis jawapan soalan Sejarah yang sudah selesai dijawab dihiasi garisan menegak. Damya mendongak melihat figura tegap itu berdiri di hadapannya.

Nope! Tak nampak ke ade orang sebelah saya nih?” Damya tersengih sesaat sebelum kembali menumpukan sepenuh perhatian pada buku latihan dengan harapan jejaka itu akan beredar dari situ.

Namun tanggapannya jauh meleset kerana telinganya dapat menangkap bunyi kerusi di hadapannya kini ditarik. Suasana sunyi di dalam perpustakaan itu bergema dengan bunyi tarikan kerusi yang tiba-tiba itu. Damya memejamkan mata, cuba mencari kekuatan diri untuk tidak terlalu mengikut perasaan geram bercampur debar yang sedang melanda dirinya ketika itu. ‘Asal laa mamat hensem nih duduk depan aku nih? Kang kalau aku terjatuh hati dengan kau kang, kau jugak yang susah nanti. Sebab bila aku dah sayang, aku sayang sungguh-sungguh tau!’ sempat pula Damya mengadakan sesi monolog ringkas sedangkan Fikri di depan yang sedari tadi asyik merenung wajahnya langsung tidak diendah.   

Sorry.. ganggu ke?” Fikri memecahkan sunyi antara mereka.

Damya hanya mengangguk laju dengan harapan menggunung supaya seniornya itu beredar dan tidak mengganggunya. Namun, hal itu ternyata sia-sia bila lelaki itu masih setia di kerusi. Ada tawa kecil terlepas dari bibir si jejaka.

“Saya nampak awak masuk library tadi, tu yang saya datang sini. Ingat boleh laa nak sembang-sembang, borak-borak dengan awak kann. Lagipun lepas kita balik dari Pulau Kapas arituh..”

“Ada apa ye senior nak saya tolong? Sebab kalau tak ada hal penting, saya nak sambung siapkan homework Sejarah nih. Bertimbun ni haa, lusa dah nak kena hantar kat cikgu. So, harap senior faham laa ye. Terima kasih.”  Damya memotong kata Fikri laju. Jejaka itu terpina-pina buat seketika. Inilah kali pertama ada perempuan yang menolak untuk berdua dengannya. Sesaat kemudian, senyum kecil terukir di hujung bibir. ‘This gonna be fun..’

Damya menjeling, melihat reaksi Fikri dengan kata-kata tajam yang dilontar sebentar tadi. Dahinya berkerut melihat senior itu tersengih macam kerang busuk. “Kenapa senior senyum?” Aku tak rasa aku ada buat lawak tadi, getusnya dalam hati.

“Saya tak suka laa dengar awak panggil saya macam tuh. Panggil saya Fikri jek. Rasa macam tua sangat pulak kena panggil senior camtuh” Fikri masih dalam cubaan memancing minat gadis di depannya.

Damya buat muka pelik dengan kening tinggi sebelah. ‘Apa kes mamat nih suruh aku panggil nama dia nih?’ “Kenapa?” Itu saja yang mampu terluah.

“Saja.” Sama pendek jawapan yang diterima.

“Tak apelah senior, saya rasa lebih elok kalau saya panggil senior je. Nanti apa pulak orang lain cakap kann.” Damya cuba berdiplomasi.

Fikri sekadar menggeleng. “Pedulikan saja orang nak cakap apa. Ini hal kita, bukan dia orang. Kenapa nak kisah pulak?”

“Saya kisah. Saya tak mahu orang mula bercakap tentang saya dengan senior. Saya tak suka.” Walau nadanya perlahan, namun tegas itu ada!

“Kalau bende baik, apa salahnya kan..” Fikri angkat kening.

“Saya tak nak.” Muktamad! Damya terus menyambung kerja yang tergendela sebentar tadi. Pen biru di tangan ditekan kuat ke muka kertas. Satu persatu ayat ditulis kasar sehingga meninggalkan kesan di mukasurat sebelah. Tiba-tiba, pen di tangan dirampas kasar dari genggaman.

Damya yang terkejut terus memandang tajam ke hadapan. Fikri buat muka tak bersalah sambil tersenyum nakal ke arah gadis comel di hadapannya. Jari kanannya mula bermain dengan batang pen biru milik Damya. Damya yang merenungnya dengan mata yang bulat itu kelihatan sangat cantik dimatanya. Hatinya tiba-tiba bergetar hebat. Belum pernah dia merasakan perasaan aneh begini. Kenapa gadis ini dirasakan terlalu berbeza dimatanya berbanding gadis lain? Apa istimewanya Iris Damya?

“Senior, bagi balik!” suaranya terpaksa ditahan kerana pelajar di sekeliling sudah mula menjeling ke arah mereka sejak tadi.

Fikri teruskan dengan aksi tadi. Pandangannya terus lekat pada seraut wajah itu sambil jarinya masih menari dengan pen biru Damya. Senyum yang dilontar seolah mencabar Damya.

“Senior…!” suaranya masih lagi ditekan. “..saya nak pen saya balik!” Aishh mamat nihh!

Fikri masih mencabar Damya dengan pandangan mata. Dia mahu melihat sejauh mana ego gadis itu. Damya masih kerut dahi sambil menyeru dengan panggilan ‘senior’. Akhirnya dia mula berdiri, mahu beredar pergi dengan pen yang masih lekat di tangan. Dia tersenyum menang bila melihat Damya sudah melopong melihatnya berjalan pergi.

Damya terkejut dengan tindakan lelaki itu. Berani dia nak lari dengan pen aku tuh! Tindakan refleksnya memaksa dia untuk terus bangun dari kerusi dan berjalan laju untuk mengejar seniornya yang sewel tuh!

Sebaik sahaja dia sampai di muka pintu perpustakaan, Fikri sedang tertunduk menyarung kasut. Dengan langkah laju, Damya menghampiri Fikri.

“Senior, saya minta senior pulangkan pen saya. Tolong jangan ganggu saya. Saya ada banyak kerja nih!” Damya masih cuba beri hormat. Namun, bila kata-katanya tidak langsung diendah, dia mula geram. “Senior!” Tanpa sedar, suaranya mula naik beberapa oktaf.

Serentak itu, Fikri bangun dan berdiri betul-betul depan Damya. Nasib baik ketika itu, tiada pelajar yang berada di ruang legar depan perpustakaan. Dalam diam, Fikri memerhati wajah Damya yang merah kerana menahan geram. Comelnya..!

“Apa yang awak nak dari saya, senior?” Suara Damya sudah mula kendur. Dia berasa terlalu geram hingga mahu menangis. Tapi, semestinya bukan dihadapan lelaki ini. Takkan.

“Awak tahu apa yang saya nak, Damya..” Sakit hatinya melihat senyum sumbing di hujung bibir lelaki itu.

“SENIOR, untuk kali ke dua ratus lima puluh ribu, saya nak bagitau kat SENIOR, yang saya tak nak panggil SENIOR selain dari panggilan SENIOR.” Saja ditekan perkataan SENIOR itu. Padan muka mamat sewel nih!

Fikri berdengus kecil sebelum berpaling untuk pergi. Dibiarkan Damya terus menjerit dengan panggilan SENIORnya. Bunyi tapak kaki Damya kedengaran semakin dekat sebelum gadis itu bertindak menghalang jalannya dengan mendepakan tangan.

Fikri terhenti langkah. Kini, merah padam muka Damya dek kerana tindakannya yang agak gila itu.

Damya termengah-mengah, cuba mencari nafasnya yang hampir putus kerana ‘larian marathon’ sebentar tadi. Dia berharap agar penyakit asmanya tidak datang menyerang ketika saat genting seperti ini.

“Apa masalah awak hah?!” Sudah terbang rasa hormatnya pada lelaki itu. Dia betul-betul geram dengan tindakan jejaka itu. Memang tak beradab langsung!

“Saya rasa awak tahu apa yang saya nak..” Fikri masih bersuara lembut, namun penuh sinis. Beberapa ketika setelah tiada sebarang respon dari Damya, Fikri mula mengorak langkah. Bahunya menolak perlahan bahu Damya sambil dia berlalu pergi.

“Fikri..” seruan itu mematikan langkah. Perlahan, namun terasa begitu jelas di pendengarannya. Fikri berpaling sambil memandang belakang si gadis. Dia mula bergerak menghampiri Damya yang kaku.

Fikri berdiri tegak, begitu hampir dengan Damya yang masih tertunduk. Tanpa sedar, tangan kirinya menyentuh dagu gadis itu sebelum mengangkatnya perlahan hingga mata mereka kini bertaut.

“Apa awak cakap tadi?” lembut Fikri bertanya.

“Fikri..” tajam matanya menikam pandangan lembut Fikri.

Jejaka itu tersenyum gembira. Pen di tangan sudah bertukar tangan. Namun, Damya masih dengan pandangan menikamnya. “Kenapa awak buat semua nih?” Dia perlukan penjelasan untuk semua tindakan gila ini.

Fikri berdehem sebelum memulakan bicara. “Saya cuma nak awak tahu sesuatu yang saya tak pernah bagitau kat sesiapa pun sebelum nih. Untuk kali pertama saya nak awak tahu yang saya.. saya rasa saya dah..” aishh, susah pulak nak cakap nih kenapa??! “..saya.. untuk pertama kali.. saya rasa saya..” cakap jela, Izmil Fikri! “..saya suka awak.. dan saya akan terus suka awak untuk dua ratus lima puluh ribu hari yang akan datang…”

Sunyi.

Saat itu, Damya sudah tidak mampu untuk menunjukkan sebarang riak. Dia terlalu terkejut dengan kenyataan lelaki itu. Sungguh dia tak sangka!

“Lepas habis dua ratus lima puluh ribu hari tuh, saya akan terus sayang awak.. untuk dua ratus lima puluh ribu tahun yang mendatang..”    

 Dan untuk tiga saat, nafas Damya seakan terhenti.