Monday, August 8, 2011

Bab 9 ~ Rindu


9


            Izmil terus berbaring di atas katilnya. Segala tugasan pejabat yang sedang dibuat sebentar tadi, kini sudah terbiar di atas meja kerjanya. Apa yang didengar sebentar tadi benar-benar buat dia jadi tak keruan. Jika diteruskan kerja, mesti benda lain yang akan terlakar di atas kertas, nama yang sudah lama terukir dalam hatinya. Mia. Mia. Mia.
Senyum manis miliknya singgah lagi di pinggir bibir. Berbunga hatinya mendengar luahan dari hati Iris. Tadi, tanpa sengaja, dia terdengar bicara Iris bersama mamanya di dalam bilik gadis itu. Niatnya untuk turun ke dapur untuk menghilangkan dahaga terus lenyap bila dia mendengar sendiri isi hati Iris yang terdalam terhadapnya. Bukan salah aku, pintu bilik yang tak ditutup rapat. Aku pun terdengarlah! Getus hatinya.
              Jadi betullah perasaan aku selama ni. Dia masih simpan sayangnya untuk aku. Dia masih peluk kemas rindu dulu. Sekarang aku tahu keputusan ini tepat. Mia.. Saya janji akan beri bahagia pada awak. Saya akan curah sepenuh sayang dan kasih saya hanya untuk awak. Ingat tak? Fikri buat Mia.. Dan sekarang, ternyata Mia juga buat Fikri..

            Permintaan maklang untuk merasa nasi lemak dari air tangan Iris malam tadi akhirnya berjaya dipenuhi. Iris tersenyum sambil menyenduk nasi lemak ke dalam mangkuk nasi. Bau semerbak yang memenuhi ruang dapur dari tadi mendapat pujian maklang. Kalaulah maklang tahu semalam hampir satu jam dia bergayut dengan ibu, menanyakan cara-cara yang betul untuk menyediakan nasi lemak. Dia tersengih nakal. Husna yang sedang membancuh air teh di atas meja dapur tidak menyedari tingkahnya. Bukan dia tak tahu menyediakan makanan yang sudah sinonim dengan rakyat Malaysia itu, cuma dia tidak mempunyai keyakinan yang cukup untuk menyediakannya di hadapan bakal ibu mentuanya. Gugup!

            “Nanti boleh gemuk Mil kalau tiap-tiap hari Is masak macam ni, kan bang?” Husna mencuit lengan suaminya. Ketika itu, mereka sedang menikmati hidangan nasi lemak di meja makan utama banglo itu. Senyum manis sejak tadi masih melekat di bibir wanita itu. Ternyata dia tak mampu menyembunyikan kegembiraan yang jelas terpancar di wajah. Kenyataan malam tadi benar-benar buat hati tuanya berlagu riang.
            Muzammil sekadar mengangguk. Bibirnya mengukir senyum penuh makna. Pandangan tuanya dilari kepada anak terunanya yang tersenyum di sebelah kanan meja. Izmil kelihatan lain pada matanya pagi ini. Pakaian kasual yang tersarung di tubuh tegap anaknya itu menampakkan Izmil kelihatan lebih santai. Berbeza dengan dirinya yang berpakaian formal. Tapi bukan penampilan yang membuat anaknya kelihatan lain, it’s something else.. Pandangan mata, senyum bahagia. Sah! Anaknya sedang hanyut dalam arus cinta yang deras. Pemerhatian mata tuanya tidak mungkin silap.
            ‘Mil.. Macam mana? Sedap tak masakan Is ni?” Muzammil menyoal. Mata dua beranak itu bertembung. Izmil sekadar mengangguk sebelum meneruskan suapan.
            “Amboi, sampai speechless makan nasi lemak tu.” Ketawa wanita itu kedengaran.
            “Mana tak speechless, tunang Mil ni memang pandai masak, ma. Kan Mia?” Mata nakal Izmil melirik pula ke arah Iris di depan. Iris sekadar membalas dengan senyuman nipis, sekadar mahu mengambil hati seisi keluarga itu. Kalau diikutkan hatinya, dipandang pun tak mahu jejaka perasan bagus tu. Sengal!

            “Tak apalah, maklang. Biar Is yang gosokkan baju-baju tu. Maklang pergilah rehat.” Iris terus mendesak supaya diserahkan tugas menggosok baju-baju untuk kenduri Hanim yang akan berlangsung esok. Seterika sudah pun berada di tangannya. Sebenarnya, dia kasihan melihat maklang yang jelas kelihatan tidak berdaya. Dia tahu wanita tua itu penat, sudah tidak kuat untuk melakukan tugas-tugas rumah.
            “Eh, tak payahlah,Is. Maklang boleh gosok baju-baju ni. Lagipun ada baju paklang kamu sekali ni. Kasihan pulak Is kena gosok semuanya.” Riak bersalah jelas terpancar di wajah maklang. Dia sememangnya tak mahu menyusahkan Iris. Lagipun, gadis itu adalah tetamu di rumahnya.
            Setelah puas dipujuk, akhirnya maklang akur dengan kehendak Iris. Dilihat tangkas tangan gadis itu menggosok baju kurung sutera batik berona ungu miliknya.
Di atas kerusi, tersidai kemeja batik corak yang sama milik suaminya. Ketiadaan Chik Ah benar-benar terasa tanpa ketiadaan Iris. Semua tugas rumah dibantu oleh Iris. Tubuh tuanya tidak larat mahu mengemas seluruh rumah. Lututnya pun sudah tidak sekuat dulu.
            Bilik kecil berhampiran dapur itu terus sunyi. Bilik kecil itu memang disedia khas untuk tujuan menggosok dan menyidai pakaian. Iris melirik ke arah sepasang baju maklang dan juga paklang yang sudah selesai digosok. Maklang sejak tadi sudah meminta diri untuk ke bilik, ingin berehat katanya. Dia tiba-tiba terkenangkan wajah maklang Husna dan paklang Muzammil. Mereka memang sepadan. Sedondon seperti baju batik sutera itu. Sebuah senyuman manis terbit di bibir manisnya. Alangkah indahnya kalau dia juga akan bertemu dengan pasangan seperti itu. Sentiasa bercinta walau usia menjengah tua. Selalu bergurau senda dan penuh hilai tawa. Makin lama bersama, makin bertambah sayang. Seronok!
            “Awak dah siap gosok?” Suara dari arah pintu di belakangnya menyentak tangkai hati. Segera dia berpaling. Imej Izmil yang sedang berdiri sambil tangannya memegang sehelai baju kemeja kotak ungu muncul di ruangan matanya.
            Tiba-tiba hati Iris berdebar. Ah, rasa itu datang lagi. Dia bencikan perasaan itu. Benci kerana perasaan itu tidak dapat disingkir pergi dari relung hatinya sejak dulu, walau sudah letih dia berusaha menghalau pergi. 
            “Err.. kejap lagi siap la ni.”
            Izmil memerhati tudung bawal berona ungu lembut yang sedang tersidai di papan penggosok. Dia tersenyum. “Tak apalah, nanti bila awak dah siap, tolong panggil saya ye.” Izmil meletakkan bajunya di atas kerusi di tepi pintu sebelum melangkah pergi.

            Rancangan di tv tidak mampu menghilangkan sunyi malam itu. Kebosanan menyelubungi segenap ruang tamu utama rumah itu. Mama dan papa sudah lama naik ke bilik. Dikelih ke arah jam dinding, baru pukul 9.00 malam. Ibu jari kanannya dari tadi menekan-nekan butang pada alat kawalan jauh Astro. Keluhan kecil terluah tanpa sedar.
            “Awak..” Telinganya menangkap sayup suara itu. Tapi, dia tak mahu mengalih pandang dari kaca televisyen. Tiba-tiba dia mahu menguji hati pemilik lesung pipit manis itu.
            Iris garu leher yang setia menyorok di balik tudung hitamnya. Perlahan sangat ke aku panggil dia? Adoii..
            “Awak..” Diseru sekali lagi jejaka yang duduk tak jauh dari tempat batang tubuhnya berdiri. Kali ini nada lebih kuat dilontar.
            Kedaaan masih sama. Lelaki itu terus menatap kotak tv penuh minat. Dah ting tong ke apa dia ni? Kakinya melangkah menghampiri. Dia sebenarnya malas mahu menegur, tetapi keadaan memaksa. Dia terpaksa.
            “Fikri..” Akhirnya, mata mereka bertemu dalam cahaya suram itu. Iris terdiam, tak mampu teruskan bicara yang sebentar tadi sudah meniti di hujung bibir. Izmil pula tak mampu mengalihkan pandangan. Ya Allah, indahnya ciptaanMu. Wajah yang terbias di bawah cahaya malap itu buat naluri lelakinya menyinga. Segera dia beristigfar, lalu menundukkan pandangan ke lantai. Dia tahu dia akan kalah kalau terus-terusan memerhati indah gadis itu.
            Ada apa, Mia?”
            Gadis itu seolah-olah sedang berperang dengan perasaan sendiri. Dia bangun, menghadap Iris yang jelas sedang dalam kegusaran.
            “Kenapa ni?” Lembut suaranya menyoal. Rasa bersalah pula mengendahkan panggilan Iris sebentar tadi. Jari Iris dilihat ketika itu sedang bermain dengan hujung tudung.
            “Saya nak minta tolong sikit ni.” Kening Izmil yang terangkat beri tanda buat Iris untuk menyambung bicara. “Saya nak call ibu, nak tanya pasal esok. Pukul berapa nak bertolak dari kampung, pukul berapa sampai sini.. Tapi masa saya nak call tadi, saya baru sedar yang kredit saya dah habis…”
            “Mia nak pinjam phone ke? Nanti kejap saya pergi ambil dalam bilik.” Izmil sudah berkira-kira mahu mendaki tangga ke tingkat atas. Untuk Mia, gunung pun dia sanggup panjat!
            Tapi suara Iris yang menegah mematikan langkahnya. Dia berpaling. Riak kenapa-ni-saya-tak-faham-la diberi.
            “Sebenarnya saya nak minta tolong awak bawa saya pergi 7E,” perlahan suara itu. Sepatah-sepatah perkataan itu disebut. Biar jelas, bagi faham.
            Izmil mengangguk lantas terus mencapai kunci kereta berhampiran dengan pintu besar banglo itu. “Jom.”

            Plastik yang berada kemas di tangan Iris diperhati bila gadis itu masuk kembali ke dalam kereta. Takkan beli topup pun kena pakai plastik? Ada sesuatu dalam kandungan plastik itu. Warna ungu yang jelas kelihatan di balik plastik berwarna putih itu ditenung. Izmil tersentak seketika sebelum bibirnya mengukir senyum.
            “Besar kotak topup awak.” Lelaki itu cuba menahan tawa.
            Pipi Iris sudah merah. Lelaki itu sudah tahu! Sudah cuba disorok kandungan plastik itu, tapi nampaknya mata lelaki itu lebih cepat menangkap imej bungkusan tuala wanita itu.
            “Lain kali tak payah la nak bagi alasan nak beli topup, terus terang je. Saya boleh tolong belikan untuk awak.” Ujar Izmil. Dia mengekek ketawa, geli hati dengan tindakan Iris yang berbohong semata-mata mahu menutup malu membeli tuala wanita.
            “Mana ada la! Saya memang nak beli topup pun, alang-alang tu, beli la ni sekali. Takkan itu pun tak boleh.” Berkerut dahi Iris menahan geram. Kalau maklang masih belum tidur, tentu saja dia tak perlu menebalkan muka meminta pertolongan dari Izmil. Keadaan telah memaksanya untuk melakukan semua ini. Namun, lelaki itu tiada hak mahu mentertawakannya. Dia rasa tercabar.
            “Tapi tak perlulah nak sorok-sorok. Itukan tandanya awak normal, subur, sayang..” Izmil sempat mengenyitkan mata.
            Pandangan tajam Iris langsung tak beri kesan pada Izmil. Lagi geram adalah!
            Jam di dashboard kereta menunjukkan pukul 9.25 malam. Dia teringatkan sesuatu.
            “Jom saya bawa awak tengok laut nak?”
            Kerut tadi terbit semula di dahi Iris. Laut? Kat KL ni ada ke laut?
            Izmil hanya tersengih.
            “Eh, cup, cup. Saya kena balik..”
            “Kenapa pulak? Awak letih ke? Jom la teman saya tengok laut dulu.” Lelaki itu separuh merayu.
            “Bukan, bukan macam tu. Saya kena balik.. Nak tukar..”Ayatnya mati disitu.
            Pandangan Izmil jatuh pada bungkusan plastik. Oohh..
            Ada toilet kat sana. Jangan risau, Mia sayang.” Izmil tersengih nakal.

            Setengah jam kemudian mereka sampai ke tempat yang disebut Izmil sebentar tadi. Mana lautnya di tengah-tengah bandar ni? Getus hati Iris.
            Come, dear.” Izmil tunjuk jalan, manakala Iris setia mengekori dari belakang.
            Ceh! Ini bukan laut, ni Akuaria la, pakcik Izmil Fikri oii..

            Izmil mengangkat tangan ke arah seorang lelaki yang memakai kemeja T Akuaria. Dia meminta Iris untuk menunggu sebentar di luar. Dari jauh, dapat dilihat dua jejaka itu sedang berbual tentang sesuatu. Beberapa minit kemudian, Izmil kembali dengan senyuman buat Iris. Keadaan sekeliling kelihatan sunyi. Iris terpandangkan waktu melawat yang tertera di luar pintu masuk ke Akuaria. 8.00 malam? Sekarang sudah hampir jam 10.30 malam. Macam mana nak masuk? Berkerut dahinya memandang langkah Izmil yang kian jauh.
            Izmil berpaling. Pandangan resah Iris dapat dibaca oleh Izmil. Dia tersenyum lagi. Comelnya awak, Mia, getus hatinya. Isyarat tangan diberi mengarah Iris untuk menyertainya. Iris hanya akur.
             
            “Boleh ke kita masuk ni?” Suara Iris benar-benar kedengaran resah.
            “Jangan risau, saya dah bagitahu dengan pekerja tempat ni tadi. Pemilik Akuaria ni, member saya. Tak ada hal punya lah! Jangan risau ye, sayang.” Jelingan Iris buat hati Izmil bertambah geram melihat tingkah gadis itu. Fikiran nakal itu singgah lagi. Dia tahu gadis itu tak suka dipanggil dengan panggilan semanja itu, tetapi sungguh, dia memang sayang dan kasihkan Iris. Dia tak nampak salahnya untuk memanggil bakal isterinya dengan panggilan ‘sayang.’   
            “Cantik tak?” Soalan Izmil dibalas dengan jelingan. Mia, tolonglah jangan seksa jiwa saya dengan pandangan indah itu. Mata kecil itu melemahkan saya.
            Iris asyik memerhati hidupan laut luas yang sedang berenang sekitar tangki yang mampu memuatkan ikan-ikan yang pelbagai saiz dan rupa itu. Dia tersenyum melihat ikan-ikan yang kecil seolah menegurnya di balik kaca tebal yang memisahkan mereka. Dia tergelak kecil. Tapi tawanya lekas mati bila dia menyedari mata redup Izmil ralit memerhati tingkahnya. Dia jadi malu.
            “So, macam mana? Best tak datang laut?” Izmil masih belum jemu mahu menyoal Iris. Dia ingin tahu perasaan sebenar gadis itu. Dia tahu yang Iris sukakan laut. 
“Ini bukan laut.” Balas Iris, pendek.
            “Eh, laut la ni, Mia. Siap boleh tengok ikan-ikan lagi tau. Rasa macam kita berenang sekali dengan ikan-ikan ni.”
            But, the feeling is not the same, and, I don’t even know how to swim,”
            I know, honey. That’s why I brought you here. To have that feeling,” Izmil berjeda seketika. “..to swim in the ocean. Nikmati indah laut itu.” Ketawa kecil terbit dari mulut Izmil. “Alhamdulillah.. Akhirnya saya dapat tunaikan janji saya pada awak.” Dia terkenang momen dulu. Janji yang sudah lama diberi kepada Iris.
            Iris tersentak. Nikmati indah laut? Janji kita dulu. Sampai macam tu sekali? Fikri..
           
            “Kenapa tak join member yang lain snorkeling?” Fikri menegur seorang gadis yang sedang duduk santai di tepi pantai. Angin petang itu meniup lembut tudung merah jambu milik si cantik manis. Entah kenapa, kakinya bagai ditarik-tarik untuk menegur gadis yang kelihatan sunyi duduk berseorangan itu, padahal dia langsung tidak mengenali pemilik wajah mulus itu. Ah! Aku cuma mahu menegur junior aku, takkan tak boleh? Bentak hatinya.
            Anak mata hitam si gadis yang mula tadi singgah di wajah Fikri, kini beralih memerhati sekumpulan remaja yang sedang berseronok memerhati pelbagai spesies ikan laut yang berwarna-warni di laut dalam. Kalau ditanya, tentu saja dia mahu menyertai kegembiraan rakan-rakannya, namun, dia tak berdaya.
            Eh, cup,cup! Senior tu tegur aku? Izmil Fikri tegur aku?! Hatinya terasa mahu menjerit sekuatnya, mahu dikhabarkan satu Pulau Kapas tentang bahagia jiwanya ketika itu. Siapa yang tak kenal dengan Izmil Fikri Muzammil, senior yang terkenal di MRSM Kuala Berang, Terengganu. Senior yang menjadi kegilaan hampir semua pelajar perempuan di sekolah. Dengan tubuh tegap dan senyuman menawan, tiap langkah si jejaka pasti menjadi tumpuan para gadis.
            Damya terus diam. Senyapnya mengundang gundah dihati Fikri. Alamak, pasal apa pulak tak ada respon ni? Dari tadi dia melihat si gadis terus termenung Dia cuba berdehem, mengajak gadis itu kembali ke alam nyata.
            Damya kelihatan resah. “Ermm, saya bukan tak nak, tapi tak boleh.”
            “Tak boleh? Kenapa pulak?” Fikri mengambil tempat duduk di sebelah gadis itu.
            “Saya tak pandai berenang.” Ayat itu singgah lembut di pendengaran Fikri. Tiba-tiba bibir jejaka itu diukir dengan senyuman. Di hatinya, hadir satu perasaan asing. Perasaan itu pelik, tapi indah.
            “Oh, sayangnya..” Fikri berjeda seketika. “Laut itu indah, rugi kita tak nikmati indahnya.”
            “Saya tau. Tapi, saya takut dengan kedalaman laut, saya takut saya lemas dalam indah itu. Jadi, saya hanya mampu menikmati indah lautan dari jauh, senior.” Damya membalas puitis si jejaka.
              Ketawa Fikri pecah. Tak sangka gadis di sebelahnya itu bijak membalas ungkap puitisnya. Dan yang lebih penting, gadis itu juniornya?! Kita memang ada jodoh, si manis.
            Damya memandang pelik. Apa hal pulak la mamat ni tiba-tiba gelak? Aku salah cakap ke tadi? Eh, apa yang aku cakap tadi? Ayat jiwang gila! Biar betul?! Tak pernah-pernah aku jadi romantik depan orang yang aku tak kenal, apatah lagi seseorang seperti senior Fikri. Mukanya memerah.
Tiba-tiba, Damya ikut ketawa. Kelakar jugak ayat aku tadi. Jiwang, poyo!
“Jangan risau, nanti saya bawa awak pergi berenang ye. Saya tunjukkan indah laut tu.” Fikri masih menghadiahkan senyum buat si gadis. Tanpa sedar, mereka telah memeterai satu janji.
           
            “Wei, dari tadi aku tengok kau bukan main galak berborak dengan minah tu. Siapa dia tu? Barang baru ke?” Ipin tersengih nakal. Dia mengaduh kesakitan bila tangan kasar Fikri singgah di belakang kepalanya.
            “Kau ni. Dia bukannya botol kicap kat kedai runcit lah! Tak baik cakap macam tu pada dia. Dia budak baik.” Fikri cuba mempertahankan gadis yang baru saja dikenali sebentar tadi. Lawatan sekolah ke Pulau Kapas itu telah menemukan mereka berdua. Pelik, sebelum ini, dia tidak pernah perasankan wajah manis gadis itu. Junior aku pulak tu.
            “Eleh, tak payah tunjuk baik la, wei! Kau pun lebih kurang degil macam aku jugak la, Fik.” Ipin ketawa sinis. Pelik dia dengan perubahan sikap rakannya itu. Tiba-tiba berubah laku disebabkan seorang junior. 
            “Ooii! Kat sini kau orang rupanya. Jenuh kita orang cari satu Resort ni tau.” Daim menjerit dari jauh. Susuk tubuh lelaki kurus kering itu ditemani Boboy dan Lepat. Sejak dari tingkatan satu, mereka berlima sudah berkawan baik. Siapa tak kenal dengan lima budak nakal sekolah itu? Sering saja menimbulkan kacau. Namun, kenakalan mereka tidaklah keterlaluan. Cuma sikap Ipin yang panas baran dan kurang ajar itu sering membuatkan kumpulan mereka menjadi tumpuan guru displin di sekolah.
            “Wei, kau orang nak tau tak? Mamat jiwa kita ni dah jumpa pengarang jantung dia yang terbaru, tau. Awek baru pulak tu.” Ipin mengekek ketawa, diikuti oleh Lepat dan Daim. Boboy yang berbadan agak gempal terduduk di atas pasir pantai yang bersih itu. Lenguh kakinya mencari dua sahabatnya itu dari tadi.
            “Siapa? Awek yang mana satu ni?” Lepat pula membuka bicara. Jejaka tinggi itu pun tidak kurang hebatnya. Dia terkenal dengan sikap kasanovanya di sekolah. Semua pelajar mahu ditackle.
            “Junior kita. Kalau tak silap aku, dia baru masuk tahun ni.” Ipin menjawab. Fikri dari tadi hanya menjadi pendengar.
            “Oohh, yang itu. kalau tak silap aku, nama dia Iris. Iris Damya. Aku ingat Jessy bagitahu aku hari tu. Cun jugak awek tu.” Lepat cuba mengingatkan wajah si gadis.
            “Hoi, dah, dah. Aku malas nak melayan kau orang ni. Buat serabut kepala aku je!” Fikri cuba matikan perbualan berkaitan dengan gadis itu.
            “Ipin, kau fikir tak apa yang aku fikir?” Lepat mengangkat kening ke arah Ipin. Lelaki itu tersenyum penuh makna.
            Fikri kerut dahi, tak faham dengan permainan sunyi rakan-rakannya itu. Tapi dia tahu yang mereka sedang memikirkan sesuatu yang tak baik, kalau tidak takkan senyuman nakal itu terukir di wajah mereka.
            “Apa kata kau cuba try awek tu?” hampir serentak Ipin dan Lepat memuntahkan ayat itu. Serentak itu, mereka berdua tergelak besar disertai oleh Boboy.
            “3 bulan? Macam mana? Kalau kau boleh dapat awek tu, kita orang akan basuh baju kau sampai hujung tahun! Amacam? Ada berani?” ujar Lepat.
            Semua mata masih melekat pada Fikri. Tiga jejaka itu memerhati, menunggu reaksi positif darinya. Selang beberapa minit, Fikri mengukir senyuman nakal. Dia merasakan ini adalah peluang terbaik untuk mengenali gadis manis itu dan juga duduk senang lenang dengan baju bersihnya. It’s like killing two birds with one stone!!    

No comments:

Post a Comment