Thursday, April 21, 2011

Bab 5 ~ Kenyataan Itu Pahit

5

       
                   Walau sudah hampir satu jam berlalu, namun Iris masih tidak mampu menelan kenyataan yang sedang berlaku di depan matanya. Mata itu memerhatikan pemandangan di luar tingkap kereta. Tiada apa yang menarik, atau mungkin hatinya yang sudah tidak mampu melihat indah ciptaan Ilahi. Entahlah. Papan-papan tanda biru itu dipandang kosong. Dia mengeluh. Tiba-tiba pandangannya bertembung dengan mata Izmil di hadapan menerusi cermin pandang belakang kereta Honda CRV itu.
            Hanya seketika dapat ditatap indah mata hitam milik si gadis. Izmil bingung kerana sepi itu meresahkan. Lagu-lagu yang diputar di corong radio tidak mampu meembunuh kesunyian yang terbit sejak mereka bertolak dari Kuantan pagi tadi. Dikerling ke kiri, mamanya sedang nyenyak tidur. Penat kenduri semalam masih belum hilang katanya.
Izmil diam. Iris membisu. Sekali lagi pandangan dialih dari jalanraya di depan mata, lalu singgah pada raut wajah Iris yang masih diam termenung di tempat duduk belakang. Dia membersihkan tekak yang tiba-tiba terasa kering.
            “Tak mengatuk ke? Tidur la dulu. Lambat lagi nak sampai rumah ni.” Akhirnya Izmil bersuara. Sunyi itu pecah.
            Iris kesan getar dalam suara lelaki itu. Atau lebih tepat lagi tunangnya. Kepala laju digeleng. Tiada jawapan yang keluar dari mulut. Bukan tidak mampu membalas dengan kata-kata, cuma dia tidak mahu cipta perbualaan dengan jejaka itu. At least not now. Tapi sampai bila? Dia sendiri tidak ada jawapan untuk itu.
            Izmil diam, mengerti. Iris terus melayan perasaan dalam sunyi.
            Izmil mencucuk pendrive miliknya ke dalam USB port, lagu Hero nyanyian Enrique Iglesias memenuhi ruang.

Would you cry, if you saw me crying?
Would you laugh, oh please tell me this

            Ingatannya singgah pada kejadian yang merubah hidupnya. Walau pahit, terpaksa juga ditelan, hanya kerana airmata milik insan tersayang. Tangisan yang memaksa dia menerima pinangan keluarga Izmil.

Hilang senyum di bibir , wajah ceria berubah keruh. “Apa dia, bu?” Telinganya seakan putus fius, kerana maklumat yang dihantar tak boleh diterima langsung dek akal. Tak logik!
            Normah mengulang kembali kenyataan sebentar tadi. Iris terdiam. Pisau yang digunakan untuk memotong kentang diletak di atas meja. Diam. Rumah batu setingkat itu sunyi.
            Tiba-tiba tawa Iris pecah. “Ibu, kalau ye pun nak buat lawak, janganlah gurau bab-bab macam ni, boleh gugur jantung Is dibuatnya,” dia ketawa. Tangannya terus menyambung tugas yang hampir siap itu.
            “Tapi ibu tak bergurau, Is. Sejak mula-mula tengok Is, dia orang memang dah berkenan. Masa kenduri Hanim kelmarin, Cik Midah kamu bagitau ibu tentang..” Ayat Normah tergantung kerana Iris pantas memotong.
            “Dah siap pun kentang ni. Ikan bilis tadi ibu dah goreng kan, bu? Is goreng kentang ni kejap,” tanpa menunggu jawapan dari ibu, Iris terus berjalan ke arah dapur. Lincah tangannya menuang minyak. Sambil menunggu minyak panas, dia menapak ke singki, untuk membasuh kentang-kentang yang dipotong panjang. Entah kenapa tekaknya mahu menjamu hidangan yang ringkas saja hari itu. Sambal ikan bilis yang digaul bersama kentang. Dia sedar setiap pergerakannya diperhati, tapi dia buat tak endah.
            “Is..” Lunak suara ibu menusup ke segenap sanubari. ‘Tolong jangan bersuara begitu, ibu. Ibu tahu Is lemah dengan nada tu.’ Matanya dipejam kejap. Cuba mencari kekuatan. Dia tidak betah dengan semua ini. Tidak! Sekarang bukan masanya! Nasib baik dia berdiri membelakangi ibunya, jadi Normah tidak mampu mengesan perubahan riak wajah anaknya itu..
            Sekali lagi Normah menyeru lembut nama anak gadisnya. Iris berpaling
“Tolong letak bawang besar tu kat tepi kuali, bu. Nanti senang Is nak tumis.” Pinta Iris sambil tersenyum kelat.
            Normah bangun membawa hirisan bawang besar di tepi dapur. Dia menghampiri Iris di singki. Dilihat tangan Iris yang dari tadi menggosok perlahan kentang yang jelas sudah bersih. Hatinya sayu. Tapi dia tahu ini yang terbaik untuk anak tunggalnya itu.
            Bahu Iris diraih lembut. Tubuh tinggi itu dipusing mengadap ke arahnya. Iris sekadar menunduk. Tidak mampu memandang redup pandangan milik ibunya, kerana dia tahu dia lemah bila berhadapan dengan mata itu. Buat seketika, dua beranak itu sekadar diam.
            “Apa jawapan ibu?” Suaranya bergetar.
            “Ibu memang setuju sangat bila mereka suarakan hajat tu.”
            Automatik kepala Iris terangkat, memandang tepat ke anak mata tua itu, mencari kepastian, menginginkan kebenaran, meminta pengertian.
            “Tapi ibu awal-awal lagi dah bagitahu yang ibu akan tanya persetujuan Is dulu. Mereka pun setuju. Sekarang dia orang hanya tunggu kata putus dari Is. Kalau Is setuju, hujung minggu ni dia orang datang hantar wakil.” Sambung Normah.
            Iris kembali ke posisi tadi, terus menunduk kaku. Nafasnya tak teratur. Normah meneruskan bicara. “Jadi, apa keputusan Is? Ibu harap sangat yang Is..”
            “Is tak setuju. Is tak terima pinangan ni, bu.” Ayat itu meluncur laju keluar dari mulut Iris. Nadanya lembut tapi tegas. Iris berlalu melepasi ibunya, menuju ke arah kuali bersama kentang di tangan. Dia menyambung tugas yang tergendala. Bunyi percikan minyak ketika bertemu bawang besar di dalam kuali memenuhi ruang dapur. Matanya tertumpu ke situ. Dia cuba untuk tidak memikir riak wajah ibunya ketika diluah keputusan muktamad sebentar tadi. Bukan niat mahu menderhaka, jauh sekali ingin melawan kehendak ibunya, tapi ini melibatkan masa depannya. Ini sesuatu yang dia sendiri perlu putuskan, bukan ditentukan oleh orang lain.
            Iris berpaling. “Ibu..” Pandangannya kosong. Tubuh ibunya sudah tiada. Dia mengeluh. ‘Ya Allah, kuatkan hatiku untuk hadapi duagaan ini. Teguhkan imanku, ya Rabbi..’
           

Usai solat Isyak, Iris duduk bertelengku di atas sejadah. Panjang doanya sebentar tadi. Terasa ringan sikit setelah mengadu pada Maha Pencipta. Kini, fikirannya ligat memikir tentang dia. ‘Kenapa dia sanggup buat macam ni kat aku? Tak cukup lagi ke apa yang dah jadi dulu? Parah macam nih! Dia ingat senang aku nak lupa semua yang pernah jadi dulu? Tak mungkin Encik Izmil Fikri.’    
           
Pandangannya jatuh pada susuk tubuh ibunya yang sedang melipat pakaian ketika menapak keluar dari bilik. Mata tua itu leka mengadap tv sambil tangan tangkas melipat sehelai kain batik. Walau pandangannya lekat di tv, tapi tumpuannya tidak di situ. Iris tahu.
            Perlahan Iris mengambil tempat sebelah ibunya. Ditarik satu t-shirt miliknya dan mula melipat. Rasa kekok dengan setiap pergerakan, seakan robot yang diprogram semula. Adoii.
            Normah berdehem perlahan sebelum bersuara, memecah sunyi yang kian menyempit. “Tadi, Cik Midah kamu telefon, bertanyakan keputusan Is,” matanya memandang redup wajah anak gadisnya itu.
            Iris diam, sebagai tanda meminta ibunya meneruskan bicara.
            “Cik Midah cakap dia hanya mewakilkan saja. Tapi Is jangan risau, ibu dah jelaskan keputusan Is pada dia orang.” Bibir tua itu merekah dengan senyuman.
Biarlah putus satu hubungan yang belum pasti daripada putus bicara dengan anak sendiri.
            Dalam hati, Iris bersyukur. Terasa beban dibahu diangkat perlahan, dilempar jauh dari hidupnya. Dia merapati Normah yang terus menyambung tugas melipat. Tangan tua itu digapai, lalu dikucup penuh kasih.
            “Ibu, bukan niat Is nak bantah keputusan ibu, hajat dia orang. Tapi Is tak boleh terima lamaran tu, bu. Is minta maaf, kalau keputusan Is ni buat ibu sedih. Ampunkan Is, bu.” Pandangan mata itu mohon pengertian.
            Normah sekali lagi menghadiahkan sekuntum senyuman buat Iris. Diusap lembut ubun-ubun anaknya itu. Dia kemudiannya bangun, mahu ke dapur, haus katanya.
‘Ibu menangis.. Jangan nak tipu Is, bu..’ hatinya turut resah. Ah, perasaan salah itu kembali hadir, beban yang disangka sudah dicampak jauh, kini kembali hadir di depan mata.
           
Dua hari kemudian, masih sama. Keadaan ibu masih serupa, tidak beransur pulih langsung. Tiap kali Iris menyatakan hasrat mahu membawanya ke klinik, jawapan sama turut diberi. “Ibu okey. Lepas makan ubat, baiklah sakit ni.” Batuk masih belum tunjuk petanda mahu pergi. Penyakit asma ibu makin teruk. Inhaler yang disedut hampir setiap tiga jam sekali itu langsung tidak menunjuk kesan positif. Sudah dua malam Iris berjaga, menjaga ibu yang payah tidur dengan dada yang sesak.
            Jam tepat pukul 3. Iris yang tidur di birai katil terjaga mendengar nafas ibu yang tak teratur. Pantas dia bangun, menarik bantal untuk diletak dibelakang batang tubuh ibunya. Badan tua itu diduduk tegak. Inhaler yang sentiasa berada di tepi katil dicapai, lalu disua ke mulut ibu. Dua semburan diperlukan untuk Normah kembali bernafas seperti biasa, walau masih tercungap. Iris menyapu sedikit Vicks di belakang dan dada ibunya. Normah batuk. Huluran air oleh Iris dicapai lalu diteguk perlahan. Barulah terasa ringan sedikit beban di dadanya. Dah lama dia tidak kena serangan asma yang teruk sebegini, seingatnya kali terakhir adalah ketika pemergian suaminya. Hal itu sudah lapan tahun berlalu.
            “Ibu baring ye, sambung tidur,” ujar Iris, lembut.
            “Is, ibu rasa ibu nak pergi jumpa ayah lah, nak..” Jawapan tiba-tiba Normah buat Iris bulat mata.
            “Apa ibu cakap ni? Sudah, ibu tidur ye, jangan fikir yang bukan-bukan. Is ada kat sini, sebelah ibu. Ibu jangan risau, okey.” Satu kucupan singgah di dahi Normah.
            Iris mengesan airmata ibunya mengalir. “Kenapa ni, ibu? Kenapa ibu menangis?”
            “Ibu takut hajat ibu nak tengok anak ibu kahwin tak kesampaian kalau ibu pergi sekarang..” Suara itu kedengaran sayu. Iris terdiam.
            “Ibu, tolong jangan cakap macam tu. InsyaAllah ibu takkan apa-apa. Esok kita pergi hospital, okey? Esok kita pergi jumpa doktor. Lepas makan ubat, ibu akan sihat. Ibu jangan risau, okey. Ibu takkan apa-apa. It’s going to be okay. Everything is going to be fine.” Airmata gadis itu sudah mengalir deras. Dia tak sanggup kehilangan lagi seorang insan kesayangannya.
            Normah mendengar tiap kata anaknya penuh sayu. Naluri ibunya tersentuh. “Tapi, ibu tak rasa ibu sempat nak tengok cucu ibu nanti..” Batuk Normah kedengaran makin teruk.
            Iris pantas geleng. “Tak, ibu mesti sempat tengok, ibu mesti dapat tengok bakal cucu ibu. Ibu jangan risau.. Bukan setakat sorang, Is bagi tiga sekali nanti. Ibu kena tunggu sampai detik tu. You can cuddle them, shower them with your endless love, buying them stuff, they will be pampered by their granny, they will.. ” rengek Iris makin menjadi. Tangannya dari tadi menenyeh-nenyeh airmata yang mengalir deras di pipinya.  Bicaranya sudah merapu-rapu. Bahunya sudah terhinjut-hinjut, tahan sebak yang kian menghimpit
            “Tapi, Is kan tak nak kahwin lagi. Macam mana ibu nak timang cucu cepat-cepat? Pinangan maklang Husna tu pun kamu tolak..” Dia batuk.
            “Macam mana Is nak kahwin,bu? Boyfriend pun Is tak ada, bu..” Tangannya dari tadi menenyeh pipi, mengesat airmata yang tidak berhenti turun. Esaknya makin kuat. Is tak mahu hilang ibu. Is tak nak!
            Normah memerhati. Gelagat Iris yang persis kanak-kanak yang tidak dapat lollipop menyiat hatinya.
“Izmil kan ada..” Nama anak muda itu meniti dibibir Normah. Dia memerhati riak terperanjat Iris melalui ekor mata. Batuk lagi.
            Iris angkat kepala. Nama itu lagi! Dibiar airmata di pipi, wajah ibunya ditatap tajam.
“Ibu memang nak dia jadi menantu ibu ke?” Iris bertanya acuh tak acuh. Mulutnya dimuncung ke depan. Sendunya masih berbaki. Nama jejaka itu pun tak mahu disebut, buat bazir air liur je.  
            Normah mengangguk perlahan. Tangannya memegang dada yang sesak. Dia batuk lagi, kini makin kuat.
“Ibu cuma nak tengok anak ibu bahagia. Dan ibu tahu dia boleh bahagiakan Is. Tolong jangan hampakan ibu, Is…”

            Airmata ibu itulah yang telah mengikat dirinya dengan jejaka bernama Izmil Fikri. Seorang jurutera muda yang bekerja di syarikat milik bumiputera di tengah bandar Kuala Lumpur. Hanya itu yang sempat ibu cerita sebelum Iris menukar topik. Iris berdengus dalam diam.
            Bunyi hand break yang ditarik menyentak Iris dari taman memorinya. Dia memerhati sekeliling. RnR Temerloh.   
            “Saya nak pergi tandas kejap. Awak nak pergi?” Pertanyaan Izmil dibalas dengan gelengan.
            Izmil mengangguk. Dia terus berlalu pergi. Iris sekadar memerhati susuk tubuh tunangnya itu hilang dibalik orang ramai di kawasan rehat itu.
            Maklang Husna masih dalam alam mimpi. Penat sungguh dia. Maklumlah, kenduri pertunangan anaknya semalam benar-benar meletihkan. Walau tak ramai jemputan kerana dibuat dengan tergesa-gesa, tapi tubuh tua itu sudah tak larat untuk membuat kerja berat.   
            Pandangannya jatuh ke jari manis kirinya. Cincin emas putih itu ditatap lama.
Dia mengeluh lagi.
           
“Tapi kenapa Is kena ikut dia orang balik rumah pulak, bu?” Dia baru sudah membersihkan mekap di wajah. Kenduri pertunangannya baru sahaja selesai. Bertunang? Cincin di jari jadi bukti. Ya, dia sudah menjadi tunangan orang. Hujung minggu itu, rombongan dari keluarga maklang datang ke rumah. Majlis kecil yang pada mulanya disangka cuma untuk tujuan merisik, ditukar menjadi majlis pertunangan dia bersama lelaki bertubuh tegap itu. Terkial-kial dia mencari baju yang sesuai untuk dipakai sempena majlis pertunangannya sendiri. Semua itu memang kejutan yang langsung tidak diduga. Kini, ibu tiba dengan kejutan yang lain pula.
            “Maklang kamu yang minta kamu pergi. Lagipun hujung minggu ini kan kenduri menyambut menantu kat rumah Syamzil. Is boleh pergi dengan dia orang. Gombak dengan Shah Alam kan tak jauh banding dengan Kuantan nih.” Iris teringat Hanim. Dia terlupa terus kenduri sahabatnya itu. Kenduri menyambut menantu yang sepatutnya diadakan minggu ini terpaksa ditunda kerana nenek Syamzil yang terpaksa dimasukkan ke hospital akibat sakit tua. ‘Satu minggu duduk kat rumah maklang? Opps, bakal mak mentua aku?! Please tell me this is a nightmare!!’  

Bab 4 ~ Bila Debar Itu Hadir

4


            “Today’s the big day!” Hanim tersengih mendengar kata-kata Iris. Hanim ketika itu sedang duduk tenang di hadapan cermin sambil tangan Kak Syarifah lincah membetulkan selendang rona putih permata di kepala sang ratu sehari.
            Iris sudah siap dengan baju kebaya moden rona coklat gelap duduk memerhati di bucu katil.
            “Cantik member aku sorang nih! Maklumlah, seri pengantin la katakan, kan akak?” Mak andam itu mengangguk laju. Tawa Iris pecah saat matanya menangkap riak Hanim yang sudah tersipu malu. Geli hati melihat sahabatnya yang selama ini sentiasa bersikap selamba, berubah menjadi lady-like. Hanim, Hanim.
            “Kau ni, saja je nak buat aku blushing tau!” Mereka tertawa. Kak Syarifah sekadar tersenyum. Sambil mereka menunggu untuk bergerak ke masjid, Kak Syarifah memberi sedikit tips ketika berada di atas pelamin, tingkah sesuai di meja makan supaya Hanim tidak kelihatan kekok apabila diri menjadi tumpuan ramai. Dia tidak dapat tunggu untuk majlis persandingan kerana masih ada satu lagi pelanggan yang memerlukan khidmatnya.
           
Tepat jam 8.00 pagi, rombongan pengantin bergerak ke masjid yang bakal menjadi saksi penyatuan dua jiwa itu. Sepanjang perjalanan, Hanim tidak melepaskan genggaman tangan dari Iris. Sejuk! Dia berdoa segala akan berjalan lancar. Iris membalas genggaman temannya itu, cuba menyalurkan semangat. Cik Hamidah yang turut berada di belakang kereta bersama mereka turut memegang erat jemari Hanim, bagai tak mahu dilepas. Hanim berpaling ke arah ibunya. Senyuman di wajah mamanya sudah cukup untuk buat mata Hanim merah, sebak!
            Hanim melangkah tenang ke dalam masjid, ditemani Iris sebagai pengapit serta ahli keluarga yang lain. Dari jauh, kelihatan pengantin lelaki segak berbaju Melayu dikepit dengan ahli keluarga pihak lelaki. Hamin duduk bersimpuh setelah puas bersalaman dengan sanak saudara bakal suaminya. Iris mengambil tempat di sisi Hanim.
            Semua diam saat Encik Sulaiman, yang bertindak selaku tok kadi menerangkan tentang pernikahan yang bakal berlangsung sebentar lagi. Iris tersenyum ke arah maklang Husna yang baru tiba. Dia mengambil tempat bersebelahan dengan Normah. Bahu Iris dicuit.
            “Maaf maklang lambat sikit, Izmil tu, siap lama sangat, macam dia pulak yang nak nikah.” Mereka tertawa.
            Izmil.. matanya kini tertancap pada susuk tubuh tinggi yang baru duduk mengambil tempat di sebelah Pakcik Ramlie, diekori ayahnya, Encik Muzammil. Menurut maklang, suaminya itu baru tiba pulang dari Johor, baru balik dari urusan bisnes. Ini kali pertama Iris berjumpa dengan kedua ibu bapa jejaka itu. Dan, dia sungguh tidak menjangka lelaki itu adalah sepupu sahabat baiknya. Bibirnya menguntum senyum kecil, tanpa sedar, bila dia melihat tiga lelaki itu berbual perlahan. Wajah arwah ayah datang menerjah kotak memori. Tiba-tiba hadir rasa rindu. Hampir 8 tahun ayah pergi. Tapi segala momen indah masih jelas di ingatannya. Pandangan terus dilari ke arah tok kadi setelah menyedari sejak dari tadi, mata mereka bertembung, berbicara bahasa sunyi.
             “Cantik Hanim kan..” Puan Husna memerhati Hanim yang ternyata sedang menahan debar yang hebat. Iris mencuit bahu Hanim, sekadar mahu mengusik.
            “Iris pun apa kurangnya. Manis je maklang tengok.” Hampir nak tergolek rasanya mendengar pujian itu. ‘Aku, manis?’ Hatinya tergelak besar. Namun, dia bijak mengawal riak wajah dan tersenyum sambil berterima kasih. Pipinya merah. Kini, giliran Hanim pula mencuit. Siap dengan gelak tawa mengusik. Buntang mata Iris sebelum mengalihkan pandangan ke arah lain, tanda dia merajuk dengan usikan Hanim.
           
            Izmil menjadi pemerhati setia sejak tadi. Bukan penjelasan tok kadi yang difokus, tapi adegan sebabak lain yang jadi tumpuan matanya. Dia memuji dalam diam. ‘Cantik!’ Dia tersenyum. ‘Macam berjanji pula,’ Dia mengerling lagi baju kebaya rona coklat gelap itu dengan kemeja kotak yang tersarung di batang tubuhnya. Sedondon! Tak sia-sia dia menghabiskan hampir 15 minit hanya untuk memilih pakaian yang sesuai untuk kenduri itu. Ternyata usahanya berbaloi. Sedang dia asyik merenung indah gadis itu di kalangan para wanita, tanpa sedar pandangan mereka bertemu.
Hilang terus senyum Iris. Dia masih dapat mendengar dengan jelas setiap patah bicara maklang yang sedang berbual dengan ibunya tapi matanya masih belum mahu beralih. Walau akal cuba menafikan, tapi hatinya tetap memuji penampilan jejaka yang tak punya emosi itu. Tampak kemas dengan kemeja kotak yang dipadan dengan jeans.
            Gema suara Syamzil yang membetulkan tekak di pangkal mikrofon menyentakkan dua pasang mata resah itu. Pandangan terus dialih ke arah tumpuan orang ramai, iaitu Syamzil.
            Dengan satu lafaz, Hanim sah menjadi milik mutlak Syamzil. Tanpa dipinta, Hanim menangis teresak-esak sambil menadah tangan mengaminkan doa. Selesai bacaan doa, Syamzil berlalu ke satu penjuru masjid untuk sujud syukur. Iris mengesat perlahan pipi Hanim yang basah.
            Syamzil menyarungkan cincin sebagai tanda ikatan dan nama baru bagi hubungan mereka, suami dan isteri. Hanim tersenyum manis saat bibir Syamzil singgah di dahinya buat kali pertama. Ramai para hadirin yang hadir tak melepaskan peluang merakam detik indah itu. Izmil juga tidak lepas peluang. Momen itu dirakam dalam Canon DLSR miliknya.

            Bila hari kian menganjak ke tengahari, makin ramai tetamu yang hadir. Hanim baru selesai menyalin pakaian, baju nikahnya sudah diganti dengan baju kebaya potongan moden rona coklat keemasan bersama manik-manik berkilauan yang terletak indah memenuhi baju pengantin di tubuhnya.
            Hanim yang duduk di hadapan cermin memandang Iris yang duduk tenang di katil melalui biasan cermin.
            “Aku nervous lah! Satu dugaan dah lepas, and now this..!’ Luah Hanim tiba-tiba. Iris memandang Hanim, nampak sangat yang sahabatnya itu sedang bertarung dengan gundah yang maha hebat.
            “Relakslah! Today’s your day, darling, just enjoy every moments of it.” Iris merebahkan diri ke atas katil. Badannya diserong ke kanan sambil tangan kanannya diguna sebagai tongkat kepala, mengadap Hanim.
            “Banyaklah kau punya relaks. Jantung aku ni dah macam baru sudah menang acara 500M lari berpagar tau!”
            Iris kerut dahi. “Apa kau cakap? Baru menang lumba lari? Berpagar pulak tu?” tawanya pecah. Ditekan perutnya yang terasa sakit kerana tawa yang tak mahu henti. Setahunya, Hanim pantang hendak diajak bersukan. Jogging keliling rumah pun belum tentu dia mahu, inikan pula menang acara lumba lari berpagar. Sangat tak logik.
            Hanim mencampak segenggam bunga rampai yang tersedia di dalam bakul sebagai hiasan meja solek ke arah Iris pantas elak sambil terus menyambung tawa. Tergolek-golek dia atas katil milik raja sehari.
            Ketukan di pintu mematikan ketawa Iris dan rengek Hanim. Mata mereka tertumpu ke arah pintu. Tombol dipulas, dan wajah Izmil muncul dibalik pintu. Hanim tersenyum sambil mengajak jejaka tinggi lampai itu masuk. Iris yang tadi berada di posisi berbaring kini duduk tegak sambil membetulkan kebaya ditubuhnya.
‘Harap-harap dia tak nampak pose maut aku tadi, kalau tak, naya aku!’
            “Can I get a snap from the lovely bride?” Izmil menayangkan kamera sambil tersengih. Dia tersenyum, cuba menahan gundah sebenarnya. Matanya sempat melihat gaya Iris yang berbaring santai di atas katil raja sehari itu. Bergelora naluri lelakinya melihat lentok manja gadis idaman hatinya itu. Hanim terus mengangguk. Jurugambar yang ditempah entah hilang ke mana. Dapat photographer tak rasmi merangkap sepupu sendiri pun kira okey la tu.
            Selepas beberapa shot, Hanim memanggil Iris untuk bergambar bersama. Gelengan Iris tidak dihirau, malah pantas tangan gadis itu diraih ke arahnya. Izmil sekadar tersenyum. Pelbagai gaya dapat dirakam oleh Izmil.
            “Mil, meh sini kamera tu, biar aku amek gambar kau orang pulak.” Izmil sekadar mengikut rentak. Kamera sudah bertukar tangan.
            “Dekat la sikit,” Hanim beri arahan.
            Izmil hampiri Iris hingga bahu mereka selisih. Iris cuba menjauh tapi suara Hanim yang meminta mereka kekal dengan posisi itu membantutkan pergerakannya.
            Wangian Boss for men menusuk hidung Iris. Tak pernah dia sebegini dekat dengan lelaki. Hatinya resah.
            Izmil pula kekal dengan riak tenangnya. Dalam diam, dia gembira dengan keadaan ini.
            Cik Hamidah masuk ke kamar pengantin bersama maklang Husna dan Cik Normah. Hanim terus menghulurkan kamera kepada Iris, pinta dirakam saat itu dalam kamera. Iris menyambut dengan senang. Sudah lama dia berhajat untuk dapatkan gajet mahal itu.
            Semua sudah sedia dengan gaya masing-masing bila Iris tiba-tiba buka mulut. “Macam mana nak snap?” riaknya jelas bingung. Tak berani dia menekan sebarangan, tak sanggup dia mengganti kamera yang bernilai ribuan ringgit itu.
            “Kau ni, belajar je tinggi, tapi nak ambik gambar pun tak tau.” Hanim mengejek manja.
            “Aku dulu belajar linguistic, bukan teknikal cik kak!”
            Izmil menghampiri. Dari belakang, dia mengangkat kamera sama aras dengan mata Iris. “Bila dah dapat imej yang kita nak, tekan sini,” jari telunjuknya menekan punat hitam berhampiran flash kamera. Kamera ditala ke arah Hanim.
Iris resah. Kalau ya pun nak buat tutorial, tak perlu la dekat sangat kat belakang aku nih.
“Pastu, kalau nak tengok balik gambar tadi, tolak skrin ni ke bawah.” Skrin yang melekat di belakang kamera itu ditolak lalu terpamer imej Hanim yang sedang menjelir lidah.
Iris tidak begitu menumpukan perhatian pada kata-kata Izmil kerana dia lebih fokus pada jarak yang hanya beberapa inci sebelum tubuh mereka bersentuhan. Terlalu rapat hingga tiap nafas lelaki itu dapat didengar dengan jelas.
“Sekarang  dah faham?” Iris hanya angguk, tak mampu bersuara. ‘Ah, apa pasal aku jadi gugup nih?’
Try buat sekali lagi.” Izmil berganjak sedikit ke belakang. Hanim dan yang lain sekali lagi bergaya di hadapan lensa.
Iris buat ikut arahan, atau lebih tepat lagi, lesson through whisper yang diberi Izmil sebentar tadi, dan hasilnya cantik!
“Tengok,” kamera sudah bertukar tangan. Ditelek gambar di skrin. Dia terangguk sambil tersenyum.
Not bad for a beginner. I’m impressed.” Pujinya ikhlas.
“Terang hati.” Jawapan ringkas si gadis buat Izmil terdiam seketika sebelum dapat menangkap maksud sebenar tutur kata itu. Mata hitam gadis itu hadirkan debar di jiwa lelakinya. ‘Terang hati?’ Hatinya tersenyum, bibirnya merekah dengan tawa kecil sambil memerhati lenggang Iris yang menapak ke arah Hanim.
Majlis perkahwinan berjalan lancar. Hanim kelihatan anggun walau agak kalut kerana terpaksa menyalin beberapa persalinan untuk setiap acara.

“Amboi besarnya hadiah orang Kuala Lumpur!” teriak Pak Kassim, jiran tuan rumah, sekadar ingin bergurau. Seisi rumah ketawa. Malam itu adalah sesi buat pengantin membuka hadiah, sekadar untuk meraikan raja sehari.
Hanim membuka bungkusan dengan berhati-hati. ‘Berat juga hadiah ni.’ Set pinggan mangkuk arcopal menjadi pilihan maklang sebagai hadiah buat pasangan sejoli itu.
Sampai giliran Izmil. Jejaka itu sudah tersengih. Setelah balutan hadiah habis dibuka, Hanim ketawa. Dia menunjukkan bingkai gambar itu pada semua orang. Gambar seorang bayi yang sedang tidur nyenyak sambil menghisap ibu jari itu turut mengundang gelak ahli keluarga yang lain.
“Jangan gelak jek. Ada makna gambar baby tuh.” Usik Izmil sambil mengangkat kening. Syamzil mengangkat ibu jari, tanda setuju. Hanim yang malu melemparkan saki-baki wrapper ke arah Izmil yang masih tak mahu berhenti ketawa. Tepat mengena sasaran, tapi langsung tak terkesan pada lelaki itu kerana Izmil terus menyambung gelak.        

Bab 3 ~ Sememangnya Terindah

3

          “Boleh tak kau duduk diam-diam sikit? Nanti comot inai kat jari ni, aku tak tau,” ugut Iris.
            Hanim hanya tersengih. Dia tahu Iris bengang. Tapi dia rimas, masa macam inilah hidungnya terasa gatal, kakinya yang digigit nyamuk, pinta digaru. Dan sekarang, tekaknya pula terasa kering. Mustahil untuk dia bangun dan pergi ke dapur kerana kakinya sudah selesai diinai penuh. Pandangan penuh harapan dilontar buat sahabat baiknya yang sedang tekun menilik jari manis miliknya.
            “Is…” meleret nada suara Hanim. Dia tersenyum manis bila Iris mengangkat kepala memandangnya. “Kau nak minum air tak?”  
            Iris dapat menangkap maksud pertanyaan Hanim. Bibirnya mencebik manja. “Iyela, aku pergi ambil air untuk kau. Nasib baik la kau dapat member yang baik macam aku ni tau!” Iris sudah bangun sambil mengesat tangannya yang comot dengan tisu.
            Hanim tergelak. “Aku tau. Lagipun ni la last day aku dapat manja-manja dengan kau. Thanks, sayang!” Dia mengusik sambil memerhati tubuh Iris berlalu keluar.

            Iris melangkah ke dapur kosong dan sunyi itu. Terdengar gelak suara pakcik Ramlie, ayah Hanim di tepi rumah. Suasana diluar ternyata meriah. Kanak-kanak bermain, dan yang dewasa sedang menjamu selera sambil berbual mesra. Iris tersenyum mengenangkan ukhuwah erat yang terjalin antara penduduk kampung. Dia mendoakan pertalian erat ini akan terus terjalin sampai bila-bila. Dia meneruskan langkah ke peti sejuk. Tiada satu pun bekas air di dalam perut peti. ‘Mesti Cik Midah dah bawak keluar nih,” bisik hatinya. Dia kemudiannya terpandang tin Milo di atas rak sebelah peti. Iris menjenguk ke dalam cerek air diatas dapur, masih ada air panas.
“Milo pun Milo lah!” omelnya sendiri. Pantas tangannya mencapai satu jag kecil untuk membuat air Milo, sambil menyanyi perlahan. Dia teruskan kerja mengacau bekas air yang kini sudah penuh dengan air Milo. Dia menuang sedikit air ke dalam cawan yang sudah disediakan untuk merasa air buatannya.   
            “Nak rasa sikit, boleh?” Hampir tersedak Iris mendengar suara itu. Dia kenal benar dengan pemilik suara itu. Suara itu pernah buat hatinya berlagu riang. Suara itu pernah berjanji untuk mencipta bahagia bersamanya. Dia berpaling.
            Izmil berdiri di satu sudut di dapur rumah, sambil bahu kanannya bersandar ke dinding. Dia tersenyum nipis. Matanya tepat memandang Iris. Lelaki itu tampak segak dengan baju melayu cekak musang rona ungu lembut.   
            “Apa awak cakap?” Suaranya terketar. Tangannya pantas menutup mulut. Asal suara aku dah tukar jadi chipmunk nih? Adoii!! Relaks Is!
            Iris dapat mendengar ketawa kecil milik lelaki itu. Izmil berjalan perlahan menghampirinya, dan Iris hanya berdiri kaku disitu.
“Orang kata, kalau anak dara menyanyi kat dapur, nanti dapat suami tua.”
Iris memusingkan kepala kembali ke arah jag air di tangan. ‘Aishh, mamat ni, tak ada tempat lain dah ke nak pergi?’ Dia malas mahu melayan jejaka itu. Tumpuannya kini fokus pada jag air yang ternyata lebih menarik untuk ditatap dari wajah lelaki itu.
Iris berlagak selamba bila dia melihat langkah Izmil makin hampir ke arahnya. Padahal di dalam hati, dia sangat mengharapkan jejaka itu berlalu pergi.
            “Sanggup ke?” Soalan Izmil dibalas dengan reaksi kosong dari Iris. Dia menyambung, “Kahwin dengan orang tua laa..” Saja dibuat nada meleret sebagai tanda mengusik.
Iris hanya kerut dahi. Riak wajahnya kosong, sekosong hatinya.
             “Saya nak rasa air yang awak buat ni, nak tau awak buat sedap ke tak, boleh?” Izmil mula menukar topik setelah melihat reaksi Iris yang kelihatan tidak berminat langsung untuk berbual dengannya. Matanya beralih ke arah jag biru sebelah gadis itu. “Tak salah kalau saya nak rasa kan ?” dia tersenyum lagi.
            Iris berdehem. Berlagak biasa. “Ambik la, saya buat banyak. Lagipun tak habis saya nak minum berdua dengan Hanim tuh,” dia masih cuba berlagak selamba, tapi ternyata kaku. Namun tangannya sudah menghulurkan gelas yang berisi air Milo ke arah Izmil.  
            Jiwa Izmil terkesima. Dia tak dapat mengalihkan pandangan dari terus memerhati ciptaan Ilahi yang satu ini.
Bila huluran gelas tidak diterima, Iris berasa pelik. ‘Pasal apa pulak mamat ni duk tenung-tenung aku nih?’ Iris melambaikan tangan dihadapan Izmil.
Izmil tersedar, lalu menyambut huluran gelas air Milo dari tangan Iris. Jari mereka bersentuhan, lantas segera Iris melarikan tangannya.
            “Maafkan saya,” ucap Izmil ikhlas, dia memang tak sengaja menyentuh Iris.
            “It’s okay, saya masuk bilik dulu ye.” Iris mahu segera lari dari situasi yang ternyata tidak selesa itu.
            Dia berlalu, meninggalkan Izmil sendirian di dapur.
            Izmil menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk itu. Matanya memandang air Milo yang terhidang di hadapannya. Sejak dulu, dia sudah jenuh merasa air Milo, tapi entah kenapa air Milo di depannya ini nampak sangat menyelerakan. Dengan lafaz bismillah, dia menghirup perlahan. Matanya dipejam, cuba menikmati keenakan air Milo buatan Iris. Sedap. Ternyata enak!
Dia tersenyum sendiri lagi. Sejak semalam, dia kerap tersenyum sendiri. Teringatkan wajah nan satu itu, terkenang senyum yang indah itu. Hatinya sangat ingin mengambil hati sang pujaan jiwa, tapi dia takut, kalau-kalau hasrat murninya ditolak mentah. ‘Ah! Belum cuba belum tau, Mil. Maybe she’s the one for you after all. Kalau tak, takkan Allah temukan kau orang kat sini, setelah bertahun-tahun terputus hubungan. Keluhan resah terluah dari bibir si jejaka gundah itu. Izmil menghirup lagi air Milo itu. Dia tersenyum lagi buat sekian kali.
           
            Sedang seronok berborak, ketawa Iris dan Hanim terhenti serentak saat pintu bilik dikuak dari luar. Terjengul kepala maklang Husna. Bibirnya menguntum senyuman buat kedua dara didalam bilik pengantin yang sudah dihias cantik.
            “Dah siap berinai?” mereka berdua sekadar mengangguk sebagai balasan buat soalan maklang. Wanita separuh umur itu masuk, mengambil tempat di sisi Iris.
“Iris tak nak inai jari tu sekali? Pengapit pun kena melaram jugak, kan Hanim?” Maklang angkat kening, Hanim mengiakan dalam gelaknya.
“Eh, tak payah la maklang, Is okey je. Nanti kalah pengantin tu,” Iris pulang paku buah keras kepada Hanim. Gadis itu mencebik.
Ketika Iris sedang menutur kata, maklang terlebih dahulu mencapai mangkuk yang berisi baki inai merah di tepi Iris. Tangan gadis itu diraih.
“Tak apa la, biar maklang letak inai kat jari kamu.”
Iris pamer riak serba tak kena, Hanim sekadar angkat bahu, tanda tidak dapat membantu rakannya itu. Namun, tiada apa yang dapat dilakukan, ibu jari kanannya sudah pun ditepek daun inai yang ditumbuk lumat itu.
“Hanim dah nak kahwin, Iris? Bila lagi nak tukar status?” Maklang angkat kening, senyum merekah di hujung bibir tua itu.
Iris sudah garu kepala. Hanim menahan tawa dalam hati. ‘Alamak, apa pasal aku boleh kena soalan maut nih? Dari maklang pulak tuh, adoii.’
“Is tak fikir lagi pasal ni la, maklang. Is nak kumpul duit dulu tolong ibu. Kerja pun tak dapat lagi.” Asal suara tukar jadi chipmunk balik ni? Adoii!
“Tapi, takkan tak ada langsung yang berkenan kat Is masa tengah study dulu?” Maklang ligat bertanya, selincah jarinya yang sedang menempel inai dijari si gadis.
“Kalau nak dikira, memang ramai maklang, tapi si Is ni jual mahal, putih mata semua student lelaki kat USM tu.” Hanim yang sejak tadi hanya menjadi pendengar, kini bersuara. Jeritannya kedengaran disegenap bilik saat jari runcing Iris singgah di pinggangnya. ‘Ambik kau, mengada sangat bukak hikayat hidup aku, siapa suruh?!’
Hanim mencebik. Maklang terus dengan senyumnya. Iris tersengih sumbing.
“Eh, tak ade la, maklang. Jangan percaya sangat Hanim nih.” Iris menafi kenyataan yang dilempar Hanim. Saat matanya bertembung dengan Hanim, satu jeliran manja dilempar. Hanim turut membalas cara sama.
Tindakan mereka yang kebudak-budakkan itu mampu terbitkan tawa maklang Husna. Kepala digeleng. Tugasnya sudah selesai. Sepuluh jari tangan Iris sudah penuh dgn inai. Dia bangun. “Maklang nak balik dulu la ye. Kamu berdua sambung la berbual. Esok kita jumpa.” Iris dan Hanim mengangguk, hampir serentak.

Tepat jam 12 tengah malam. Iris baru sudah mencuci tangannya, baru beberapa jam memakai inai yang ditepek oleh maklang sebentar tadi, tapi jarinya kini sudah merah berseri. Dia duduk di satu sudut bilik tidurnya itu. Keadaan sekeliling yang sunyi buat hatinya dipagut pilu. Tiba-tiba matanya basah. Dia menangis! Tak, hatinya yang menangis. Dah lama dia tak menangis. Tidak sejak pemergian ayahnya yang diserang sakit jantung lapan tahun dulu. Juga sejak hatinya terluka.. Diluka oleh insan yang dia pernah sayang. Wajah lelaki itu muncul di ruang kotak memori. Kenangan silam itu mula bermain di fikiran bagai tayangan perdana. Bibirnya dengan lemah ucap nama itu. Fikri..

I tak nak you dengar dari mulut orang lain. I memang dah lama jadi girlfriend dia. Satu sekolah dah tau, you je yang terhengeh-hengehkan dia.” Jeslina menjeling. Bibirnya terus menyedut minuman yang dibeli tadi. Dia saja atur pertemuan mereka berdua di kantin, biar satu sekolah tahu, biar gadis di depannya itu dapat malu.
Damya terus kaku. Riaknya kosong. Dari tadi, dia hanya mendengar tiap patah yang ditutur oleh Jeslina, tanpa sedikit pun mahu mencelah. Bukan sudah hilang kata-kata, tapi dia tak berdaya mahu mengeluarkan suara. Matanya terus lekat pada gadis tinggi lampai di depannya. Jeslina Dato’ Ghafar atau lebih dikenali sebagai Jessy. Siapa yang tak kenal dengan ayahnya, sudah banyak jasa serta sumbangan yang disumbang buat sekolahnya itu. Terlalu banyak hingga anak gadisnya itu berlagak seolah dia yang memiliki sekolah itu. Mengarah pelajar lain untuk mengikut setiap kehendaknya, padahal dia masih boleh dianggap junior kerana umur yang baru mencecah 14 tahun.
“So, I harap you tak payah laa mengharap lagi pada boyfriend I  tu ye. Tapi you jangan risau sebab tak ada siapa pun yang tahu yang you ada hati kat boyfriend orang. Rahsia you selamat dengan I.” Saja ditekan ayat ‘boyfriend’ itu. Sakit hatinya melihat wajah bersih itu. Dia sudah lama menaruh hati pada senior yang sememangnya menjadi pujaan ramai pelajar perempuan. Izmil Fikri. Nama sehebat orangnya. Nama itu sentiasa meniti dibibir Jeslina. Pelbagai cara sudah diguna untuk menarik hati sang teruna, tapi tiada yang berhasil. Dia tak mahu segala usahanya sia-sia dengan kehadiran Iris Damya, pelajar baru kelasnya. Hatinya lebih sakit bila mengetahui yang Damya turut punya perasaan buat Fikri. Dia bukannya buta hingga tidak mampu melihat reaksi Damya yang malu-malu tiap kali terserempak dengan senior mereka itu. Entah kenapa, dia rasa tercabar dengan kehadiran pemilik senyuman menawan itu. Tidak, dia tidak akan mudah menyerah kalah! Izmil Fikri miliknya! Dia akan guna apa cara sekalipun untuk pastikan hal itu berlaku, by hook or by crook!

Kenyataan yang diketahui dari salah seorang rakan kelas senior Izmil itu benar-benar memeranjatkannya. Kenyataan itu pahit, tetapi amat berguna untuk dirinya. Jessy tersenyum. Berita itu bakal menjadi benteng pertahanan yang paling kukuh untuk menghalang hubungan Damya bersama Fikri.
Oh, there is one more thing that I think you should know, dear.” Sepatah-sepatah ayat itu keluar dari mulut comel Jessy. Dia tersenyum melihat mata Damya kini sudah tertumpu tepat ke arahnya. Dia berjaya mencuri perhatian gadis malang itu.
“Hubungan you dengan dia, was never real. I dapat tahu yang dia orang bertaruh yang senior Izmil tu akan dapat pikat you dalam masa 3 bulan.” Tiga jari runcing Jessy bermain-main di depan mata Iris. Dia ketawa kecil sambil bertepuk tangan. Gelaknya jelas sedang memperlekehkan Iris yang sedang duduk diam di depannya itu. “Wow, three months? I never thought you were that easy, girlfriend.
Damya memerhati lengguk langkah Jessy berlalu pergi dari kantin sekolah itu bersama dua orang rakannya. Kalau diikutkan hatinya, tentu saja dia mahu memaki hamun gadis kurang ajar itu. Tangannya terasa ringan mahu singgah di pipi mulus Jessy, mahu beri kesedaran yang dia juga punya hati dan perasaan. Tapi, entah kenapa, mulutnya terkunci, tubuhnya menggeletar setelah mengetahui kebenaran perit ini. Inilah kali pertama dia merasa perasaan cinta yang mengalir di tubuhnya, rasa bahagia menjadi perhatian seseorang, menjadi istimewa di mata seorang lelaki yang dia sukai. Namun, ternyata semua itu palsu. Semua itu dusta. Tak pernah wujud cinta dalam perhubungan mereka, hanya pembohongan semata. Kini, dia rasa dikhianati. Rasa sayang dulu, kini berubah menjadi benci. Senior Izmil Fikri, sanggup awak buat macam ni pada saya?
  
“Mia..” Suara itu kedengaran lagi. Tapi Damya buat tak endah. Dia terus melangkah keluar dari perpustakaan.
Beberapa pelajar yang berada dalam perpustakaan ketika itu mendongak. Konsentrasi mereka terganggu dengan suara Fikri. Tapi Fikri tidak ambil kisah langsung, terus dilaung nama gadis yang kini sudah hilang dari pandangannya.
Di muka pintu perpustakaan, matanya melihat Damya sedang menyarung kasut. Laju tangannya mengikat tali kasut yang tadi dibuka untuk masuk ke dalam perpustakaan sekolah. Izmil terus mengorak langkah. Dia perlu penjelasan. Dia bingung apabila sudah tiga hari gadis itu seolah cuba menjauh darinya.
“Mia,” gadis itu sudah bangun, bersedia untuk melangkah, tapi tangannya lebih pantas menarik lengan baju pengawas milik Damya atau dia lebih gemar memanggilnya Mia, lebih mesra dirasakan.  
“Tolong lepaskan tangan saya. Saya nak masuk kelas ni, dah lewat.” Damya akhirnya bersuara. Fikri dapat kesan getar dalam suara itu. Dia merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan perubahan sikap gadis itu.
“Kenapa saya rasa awak macam nak lari dari saya? Saya ada buat silap ke? Kalau saya ada buat awak terasa hati, saya minta maaf..” Fikri ikhlas pohon maaf, walau dia tidak tahu apa silapnya hingga gadis itu mudah berubah laku.
“Awak tak ada buat salah apa-apa pun. Saya yang silap. Saya minta maaf. I really have to go.” Genggaman yang tadi kejap, kini makin kendur. Damya terus berlalu. Dia tidak betah terus berada di situ, kerana dia takut dia akan lemah berhadapan dengan redup mata jejaka yang sudah punya tempat istimewa dalam hatinya itu. Silap saya, sebab saya dah jatuh sayang pada orang yang salah. Maafkan saya..