Tuesday, March 27, 2012

Bab 16 ~ Mencuba




16

     Normah dan Iris masih melambai, menghantar pergi kepulangan Husna dan Izmil. Perlahan, Honda CRV itu keluar dari laman rumah mereka.
            “Minggu depan tau. Jangan lupa pulak. Nanti Mil datang jemput akak dengan Is sekali ye.” Pesanan itu terus diulang sejak sarapan pagi tadi. Jelas terpancar keseronokan di wajah Husna bila membayangkan dapat menghabiskan waktu bersama dua beranak itu. Sekurangnya dapat juga menghilangkan sunyi di dalam rumah banglo besar miliknya.
            Normah dan Iris hanya mampu mengangguk setuju. Di Kuantan ini pun, bukanlah tak ada pilihan untuk barang-barang hantaran. Bersusun kedai pengantin dalam gedung membeli-belah yang menawarkan pelbagai khidmat nasihat serta barangan hantaran yang terhias cantik. Namun, desakan dari Husna untuk memilih barang hantaran bersama-sama ternyata tak mampu untuk ditolak. Sejak malam tadi, bersungguh wanita itu mengajak mereka berdua datang ke rumah di Gombak, lebih mudah katanya. 
            Keluhan kecil yang terluah dari bibir manis anaknya menarik minat Normah. “Kenapa mengeluh tiba-tiba ni? Is letih?” tangannya mengusap lembut belakang Iris. Kasihan dia melihat tubuh anaknya yang makin kurus. Makan hatikah dia dengan rancangan ini? Tidak redakah anaknya itu dengan permintaannya itu? Hanya satu yang dia mahu, kebahagiaan buat Iris. Dia yakin Izmil mampu memberikan itu kepada Iris, dia pasti!
            Iris tersenyum kecil sebelum menarik tangan ibunya yang mengusap belakangnya sebentar tadi, lalu digenggam erat.
            “Ibu.. macam mana kita nak belajar untuk sayang seseorang yang kita cuba lupakan?” matanya mengharapkan penjelasan.
            Berkerut dahi Normah mendengar persoalan dari Iris. Itu rupanya yang bermain di kepala anak gadisnya itu. Normah membalas genggaman tangan anaknya itu. “Kenapa anak ibu tiba-tiba tanya macam tu?” pelik pula bila soalan seperti itu yang terpacul dari bibir anaknya.
            Iris tersenyum. Kepalanya laju digeleng. Tiba-tiba ketawa kecil pecah dari mulut gadis itu, menyerlahkan lesung pipitnya. Lekas tangan kanannya menekup mulut, cuba menahan ketawa itu makin melarat.
            “Tak ada apa-apalah, bu. Is main-main je,” walau cuba disembunyi, namun Normah lebih mengenali anaknya itu. Mesti ada sesuatu yang tak kena. Mungkinkah ada sesuatu yang pernah terjadi antara Iris dan Izmil?

            “Dari keluar rumah ibu kau tadi, mama tengok Mil tak habis-habis tersenyum sorang-sorang, kenapa dengan anak mama ni?” Husna bersuara setelah melihat gelagat luar biasa dari Izmil. Pelik juga dia melihat tingkah anak teruna itu yang asyik tersenyum sendiri.  
            “Tak ada apa-apa la, mama. I just can’t wait ‘till next week. I’m so excited. ” Makin lebar senyumnya. Lima hari dirasakan agak lama buat dirinya untuk membendung rasa rindu buat gadis manis itu.
            Husna turut tersenyum melihat gelagat anaknya itu. Belum pernah dia melihat riak gembira dari raut wajah Izmil. Ternyata tindakannya menyatukan dua hati itu bukanlah hal yang sia-sia. Sejak pertama kali melihat Iris, Husna yakin gadis itu selayaknya menjadi menantunya. Apatah lagi setelah Izmil menyampaikan hasratnya untuk memperisterikan Iris, terus dia setuju. Hati tuanya hanya mahu melihat satu-satu anaknya peroleh bahagia yang didambakan selama ini. Dan gerak hatinya jelas menyatakan Iris Damya mampu memberikan bahagia itu buat Izmil Fikri. Dalam hangat tengahari itu, Husna terkenang saat dia mula merangka rancangan untuk merisik Iris dulu.
           
            “Iris?” Hamidah bertanya sekali lagi, hanya untuk mendapatkan kepastian dengan apa yang baru sahaja didengarinya.
            Husna mengangguk. “Iyela, Iris. Kakak kan dah kenal dia dari kecik lagi. Una dah berkenan dekat dia sejak dia mula-mula datang ke rumah dengan Hanim dulu.”
            “Dia memang baik. Sejak ayahnya meninggal sebab serangan jantung 8 tahun dulu, Is terus pindah ke sekolah ibunya. Akak ingat lagi, Hanim laa orang yang paling gembira bila dapat tahu Is pindah ke sekolah yang sama.” Hamidah tersenyum mengenangkan kisah lama itu. Masih segar di ingatannya, hampir seminggu Hanim tidur di rumah Iris, menemani mereka berdua beranak. Kematian Othman yang tiba-tiba benar-benar memberi impak yang besar kepada keluarga kecil itu, terutama Iris yang begitu rapat dengan ayahnya.
            “Tapi, kenapa Una tiba-tiba tanya akak pasal Is nih?” Hamidah memandang adiknya bersama kerutan di dahi. Bertambah pelik dia bila melihat Husna tersenyum lebar.
            “Kalau Una nak minta tolong akak buat sesuatu untuk Una, boleh tak?” Matanya penuh dengan harapan. Hamidah beri kerut seribu, tanda tidak memahami maksud kata-kata Husna.

            “Hah?!” Itu yang terpacul dari mulut Normah bila telinganya menangkap setiap patah ayat dari bibir Hamidah. Benarkah apa yang didengarinya ketika ini? Mereka berdua ketika itu sedang duduk berdua di atas pangkin rumah Hamidah. Bukan ini yang disangka bila Hamidah mengajaknya ke rumah pada petang yang damai ini.
            “Iye Mah. Aku cuma sampaikan hajat orang. Adik aku dah berkenan dengan Iris tuh. Jadi semalam, sebelum dia balik ke K.L. dia minta aku merisik, bertanya tentang Iris.” Hamidah tersenyum menyampaikan berita gembira itu. Sambil itu. Tangannya lincah menuang teh tarik ke dalam cawan buat tetamunya itu. Penat kerana kenduri kelmarin masih terasa namun hal ini harus disegerakan.
            Normah terdiam seketika. Tiba-tiba hatinya menjadi sayu. Anak gadisnya itu kini sudah dirisik orang. Iris bakal bergelar isteri orang jika lamaran ini diterima. Jiwanya diselubungi bahagia.
            “Mah!” tepukan di peha buat Normah tersentak. Hamidah mengangkat kening, mengulangi soalan tadi dengan isyarat mata.
            Normah tersenyum. Jawapan sunyi itu sudah cukup untuk membuat Hamidah menjerit keseronokan. Dua sahabat itu berpelukan. “Aku yakin Iris akan bahagia dengan Izmil, Mah. Percayalah.” Normah hanya mengangguk.
           
“Dia tak setuju?” Husna mengulangi ayat yang baru disampai oleh kakaknya melalui panggilan telefon itu. Suaranya seolah terjerit kerana terkejut dengan kenyataan itu. Nasib baik dia masuk ke dalam bilik ketika menjawab panggilan dari Kuantan itu, jika tidak, mungkin seisi rumah bakal mendengar hakikat pahit itu.
            Suara Hamidah di hujung talian juga kedengaran kecewa. Dia sendiri terkejut dengan jawapan Normah pagi tadi. Wajah wanita itu jelas kelihatan kecewa. Katanya, Iris berkeras menolak lamaran keluarga adiknya. Walau betapa Normah mengharapkan Iris dan Izmil bersatu dalam ikatan perkahwinan, namun hati keibuannya tetap tak mahu memaksa anaknya mempertaruhkan kebahagian sendiri.
            “Tapi kenapa, kak? Dia dah ada pilihan sendiri ke?” Husna masih tidak berpuas hati dengan penjelasan kakaknya.
            “Tak. Normah bagitau akak, Is memang belum ada sesiapa. Kami pun tak tahu kenapa dia berkeras tak mahu terima Izmil.” Keluhan terluah dari bibir Husna.
Biarlah, mungkin dua jiwa itu tidak ditakdirkan untuk bersama. Mungkin benar Iris tidak menyimpan sebarang perasaan untuk Izmil. Namun nalurinya sebagai ibu, tidak pernah silap. Dia tahu anak terunanya itu terlalu menyayangi gadis bernama Iris Damya sejak sekolah lagi. Dia pernah terjumpa satu diari kecil di bilik Izmil yang dipenuhi cerita serta puisi buat seorang gadis bernama Mia. Dalam diari itu juga, ada sekeping gambar seorang gadis tersenyum manis. Husna tidak pernah bertanyakan tentang perihal itu kepada Izmil, kenyataan itu dirahsiakan hinggalah dia pulang ke rumahnya di Kuantan untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya. Dia benar-benar terkejut bila melihat Hanim datang ke rumahnya petang itu bersama seorang gadis yang benar-benar mirip dengan gambar dalam diari anaknya itu. Hatinya bertambah yakin itulah gadis yang memenuhi tiap ruang dalam diari Izmil bila mengetahui nama penuh gadis itu. Ditambah pula dengan tingkah Izmil dan Iris yang kelihatan agak kekok bila bertentang mata. Dia kenal akan lirikan mata sebegitu. Dia memahami debar hati itu. Kerana itulah, dia mula merangka rancangan untuk menyatukan dua jiwa itu. Pelbagai soalan yang ditanya kepada Iris ketika malam berinai di rumah kakaknya. Bila dia benar-benar yakin, barulah hasrat hatinya disuarakan kepada Hamidah. Sangkanya, Iris akan menerima pinangan keluarnya dengan hati yang terbuka. Namun, jawapan negatif pula yang diberi.
Husna mengetahui betapa Izmil mengharapkan persetujuan dari pihak Iris, lalu kerana itu dia bertindak untuk mendiamkan tentang kenyataan yang satu itu. Dia tak mahu melihat riak kecewa di wajah anak kesayangannya itu. Namun berita gembira yang disampaikan oleh kakaknya beberapa hari kemudian benar-benar memeranjatkan.
“Iris dah setuju !” Hamidah benar-benar gembira ketika menelefon adiknya petang itu. Rancangan rahsia yang dirangka bersama Normah menjadi. Serangan asma yang olok-olok itu telah berjaya membuat Iris mengangguk setuju dengan lamaran keluarga Izmil.

Kertas cadangan di atas meja dipandang sepi. Entah kenapa Izmil berasa malas mahu membuat sebarang kerja pagi-pagi Jumaat itu. Mungkin kerana hari esok dia akan berjumpa dengan kekasih hatinya barangkali. Minggu lepas lagi, mereka sudah bersetuju untuk menunggu Izmil untuk menjemput Iris dan Normah di Kuantan. Mengikut perancangan dua beranak itu akan berada di rumahnya dalam 2 minggu untuk persiapan majlis perkahwinan mereka. Izmil tersenyum sendiri di dalam pejabatnya. Cuaca hari itu kelihatan cerah. Secerah hatinya. Sungguh dia rindukan senyum manis gadis itu. Tak sabar rasanya menunggu ketibaan hari esok. Entah kenapa hari ini dirasa lambat berlalu. Mungkin kerana penangan rindunya buat pemilik lesung pipit yang comel itu.
“Mia. Mia. Mia.” Serentak dengan kata-kata itu, tangan kirinya ligat mengukir nama indah itu dalam diari berwarna coklat. Buku tebal mini itu setia bersamanya sejak sekolah lagi. Paling tepat sejak Iris pergi dari hidupnya. Gambar Iris yang ditangkap secara senyap-senyap dulu disimpan kemas dalam diari itu, bertindak sebagai penghapus rindu yang menggunung dalam jiwanya. Masih segar dalam ingatannya saat dia menerima berita pemergian Iris 8 tahun dulu. Ketika itu dia berada dalam kelas Sejarah. Kebetulan cikgu Rosli terpaksa keluar lebih awal kerana ada hal berkaitan pengurusan maklumat keputusan peperiksaan pelajar yang perlu disiapkan. Jadi separuh masa terakhir itu dihabiskan dengan menyiapkan latihan yang telah diberi. Sedang dia khusyuk menatap helaian kertas soalan sejarah, jeritan suara lantang Boboy yang baru menapak masuk melalui pintu belakang kelas.
“Mil! Mil!” Izmil berpaling ke arah suara Boboy. Izmil tersengih bila melihat Boboy termengah-mengah berjalan ke arahnya. Badannya yang agak berisi itu menyukarkan Boboy untuk bernafas normal. Dia berdiri di sebelah Izmil sambil mencuba bernafas seperti biasa. Izmil mengangkat kening sebelum Boboy mula bersuara.
  Izmil termenung. Berita yang baru diterima tadi seolah tak boleh diterima akal langsung. Boboy yang berdiri di sebelahnya langsung tidak diendah. Keadaan dalam kelas ketika itu lenggang. Rakan mereka yang lain sudah mula beransur pulang. 
“Wei, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Tangannya dilambai dihadapan muka Izmil. Dia mati akal bila tidak ada respon dari sahabatnya itu. Dia mengambil tempat sebelah Izmil. Bahu jejaka itu ditepuk perlahan. Dia tahu hati lelaki itu. Hampir lima tahun dia mengenali Izmil, tidak pernah dia melihat rakannya itu separah ini. Ternyata Iris Damya punya kuasa untuk melemahkan ego Izmil Fikri Muzammil.
“Mana kau tahu pasal ni?” Izmil akhirnya bersuara. Tangan kanannya terus memutar pensel yang sejak dari terus setia di antara jari telunjuk dan jari tengahnya.
“Tadi, masa aku hantar homework addmath kelas kita kat meja Sir Farid, dia orang tengah cerita pasal Is, mula aku dah nak blah dah, tapi bila aku dengar yang ayah dia meninggal, aku terus tanya cikgu-cikgu kat situ. Dia orang cakap ayah dia baru meninggal kelmarin. Major heart attack. Sir Farid sendiri yang hantar dia balik rumah kat Kuantan. Iyela, mana ada bas tengah malam buta kat MRSM kita ni.”
Izmil mengangguk. Dia terbayang wajah gadis itu. Mia.. Nama itu terus diseru dalam hati. Mesti dia tengah sedih. Kalau ikutkan hatinya, dia mahu pergi ke Kuantan saat itu juga, ingin ditenang hati gadis kesayangannya itu.
And there is one more thing that I heard..” Pandangan Izmil yang penuh mengharap itu membuatkan lebih sukar untuk Boboy luah kenyataan itu.
“..aku dengar dia nak pindah sekolah. Dia nak sambung belajar kat sekolah mak dia, kat Kuantan.” Sebutir-sebutir ayat dilontar, biar jelas.
Pensil ditangan jatuh. Otaknya cuba mengolah perkataan yang baru keluar dari mulut Anuar. Pindah sekolah?
‘Mia..’ hatinya terus berbisik nama itu.

No comments:

Post a Comment