Tuesday, March 6, 2012

Bab 15 ~ Terima Kasih Cinta

15

            “Sedap betul percik ni. Berselera saya makan, makcik.” Izmil memuji masakan bakal mak mentuanya. Bukanlah sekadar mahu mengambil hati wanita tua itu, kerana dia benar-benar menikmati lauk ayam percik yang dihidang bersama sayur campur dan sambal belacan itu. Air sirap sebagai penghilang dahaga menambahkan lagi nikmat hidangan tengahari mereka.
            “Ibu masak biasa-biasa aje, Mil. Ibu minta maaf la tak sempat nak masak lauk-lauk yang lagi istimewa untuk kamu. Ini jela yang sempat ibu sediakan. Itupun, minta tolong Mil pergi pasar dengan Is.” Normah tersenyum sebelum kembali menyua nasi ke mulut. Kembang hatinya bila masakannya yang tak seberapa itu dipuji.
            “Apa pulak tak istimewanya, makcik. Ini pun saya dah bersyukur. Sepatutnya saya dengan mama yang patut minta maaf sebab datang tak beritahu awal-awal, sampai menyusahkan makcik dengan Mia.” Izmil sempat menjeling ke arah Iris yang duduk bertentang dengan dirinya. Gadis itu dari tadi hanya jadi pendengar setia pada setiap perbualan yang berlaku di meja makan. Husna yang duduk bertentangan dengan Normah sekadar mengangguk, mempersetujui kata-kata anak bujangnya itu.
            “Iye laa, kak. Ini pun dah seribu nikmat buat kami.” Husna mencelah.
            Normah hanya tersengih. “Mil, tak payah la panggil ibu ni makcik. Ibu bukannya orang lain dengan kamu. Panggil je ibu, ye.”
            Iris memandang reaksi muka Izmil yang kelihatan tersipu-sipu. Mata aku ke atau pipi lelaki itu sudah mula memerah? Comelnya.. Iris cuba menahan senyum. Eh?! Kenapa  pulak aku puji mamat tu? Iris menggeleng perlahan. Tangan kanannya mencapai gelas yang penuh berisi air sirap sejuk.
            “Mia..” Iris berpaling memandang Normah yang menyeru namanya. Pandangan dua beranak itu bertembung. Normah menghadiahkan senyum mesra buat anak gadisnya itu sebelum menyambung. “Dah lama ibu tak dengar orang lain panggil Is dengan nama tu, kecuali ayah dia.”
            Izmil memandang Iris tanpa kelip. Kenapa dia tak pernah diberitahu tentang kenyataan yang satu itu? Adakah gadis itu selalu mengenangkan ayahnya setiap kali dia menyeru nama gadis itu? Tapi, kalau gadis itu tidak selesa dengan panggilan Mia, kenapa Izmil tidak pernah pula ditegah  untuk berhenti dari memanggil nama panggilan itu?
            “Mil minta maaf, bu. Mil tak tahu yang nama tu..” Ayat Izmil segera dipotong Iris.
            “Tak, takpe. Awak tak salah apa-apa. Lagipun, saya suka dengar awak panggil saya Mia. Cara awak panggil itu buatkan saya terasa dekat dengan arwah ayah.” Iris tersenyum ikhlas. Izmil pula lambat-lambat tersengih kembali. Dua wanita itu pula saling berpandangan dengan jelingan yang penuh bermakna. Mereka dapat merasakan sesuatu yang berlainan dari pandangan pasangan dua sejoli itu. Sudah berbaikkah mereka? Jika benar, syukurlah pada ALLAH S.W.T.

            “Tidurlah kat sini. Esok baru balik. Kesian akak tengok Izmil tu, tak cukup rehat.” Normah masih belum berhenti memujuk. Dia jatuh kasihan melihat anak muda itu yang kelihatan lesu.
Husna juga menjadi serba salah. Sudahlah datang tidak diberitahu, kini mahu menumpang bermalam pula. Dia jadi segan dengan bakal besannya itu. Dia sebenarnya tak mahu menyusahkan Normah dan Iris. Namun, desakan Normah sudah tak mampu ditolak. Akhirnya, Husna mengangguk dalam diam. Izmil pula hanya mengikut keputusan mamanya.
Malam itu mereka berempat memilih untuk makan malam di Restoran Santai. Izmil memilih untuk duduk di salah satu pondok yang disediakan khas untuk para pengunjung restoran itu. Sambil menunggu pesanan mereka tiba, Husna dan Normah yang duduk menghadap mula berbual kosong sementara dua hati itu mula dipagut resah. Iris hanya memandang sekeliling restoran yang dihias cantik itu dengan kagum. Walau sudah lama tahu tentang restoran ini, namun belum pernah dia datang bertandang ke mari. Suasana malam dengan lampu neon menghiasi hampir segenap ruang bahagian luar restoran itu benar-benar menakjubkan. Dia merasakan seolah-olah berada di kawasan persendirian, terutama sekali bila berada di dalam pondok yang tertutup begini.   
 “Una memang dah lama tak datang makan kat sini. Una tau tempat ni pun sebab Mil yang bawak. Makanan kat sini pun sedap jugak rasanya, kak.” Suara Husna memecahkan keheningan malam. Normah sekadar tersengih. Selang beberapa minit kemudian, pelayan menghampiri dengan dulang penuh dengan pesanan mereka.
Iris menyisip jus epal perlahan sebelum mengalihkan perhatian kepada nasi goreng special restoran  itu. Memang sedap, kena dengan seleranya yang kuat pedas. Sedang dia enak menyuap nasi ke dalam mulut, matanya bertembung dengan sepasang mata milik jejaka yang duduk di hadapannya. Kunyahan yang penuh semangat tadi, kini mula perlahan. Senyuman manis Izmil dibalas lambat.
“Sedap ke nasi goreng tu, Mia?” Izmil bertanya perlahan, seolah berbisik. Dia tak mahu menganggu perbualan mamanya bersama ibu.
Iris kaku seketika. Dia akhirnya mengangguk laju sambil mengangkat ibu jari kanannya. Izmil senang melihat tingkah manja gadis itu, walaupun hakikatnya hampir setiap masa gadis itu agak keras kepala. Dia sungguh berharap agar gadis kesayangannya itu dapat menerima dirinya kembali. Sungguh, dia menyesal kerana membiarkan gadis itu terlepas dari tangannya begitu sahaja dulu. Kini, dia kembali menaruh sepenuh harapan pada pemilik lesung pipit manis itu, mahu didakap rindu dulu, mahu dicipta kembali momen indah itu.
“Nak rasa..” Izmil sudah mula bertindak nakal. Mulutnya sudah ternganga, disua ke arah Iris. Berkerut seribu dahi gadis itu mendengar permintaan gila tunangnya itu. Iris beri geleng, sambil matanya memandang ke arah ibu dan mama di sebelah. Nasib baik dua wanita itu terus hanyut dalam perbualan mereka tanpa menyedari tingkah anak teruna di depannya itu.    
“Cepat laa, nak rasa.. lambat-lambat nanti, ibu dengan mama perasan baru tau..” Izmil mula beri ugut dalam bisik. Mahu tak mahu, disua juga sesudu penuh nasi goreng ke mulut jejaka itu. Dalam hati Iris, perkataan ‘gila’ berulang kali bergema. Tindakan ini memang gila. Dia tahu jejaka itu sengaja mahu mengusik dirinya dan situasi sekarang memberi sepenuh kelebihan kepada Izmil.
Izmil tersenyum penuh makna sebelum mengenyit mata ke arah Iris. “Thanks, sayang.” Tumpuannya kini fokus kembali kepada pinggannya. Iris juga bertindak sama. Dia sebenarnya malu dengan tingkah Izmil sebentar tadi. Mana pernah dia menyuap nasi kepada mana-mana lelaki sebelum ini. Tangannya bergetar-getar bila teringat kembali peristiwa tadi. Macam mana kalau ibu dengan mama ternampak kejadian tadi? Jarak antara mereka bukanlah terlalu jauh hingga wanita-wanita itu tidak perasan akan apa yang berlaku. Hanya bersebelahan.
Tengah Iris tertunduk memikirkan perihal tadi sambil menguis-nguis nasi dalam pinggan, kepalanya kembali terdongak saat mendengar suara Izmil kembali menerpa ke ruang pendengarannya. Bulat matanya saat melihat tangan lelaki itu disua ke arahnya. Kini giliran lelaki itu pula menyua garfu. Niatnya hanya untuk membalas suapan gadis itu. Izmil mengangkat kening, memberi isyarat supaya gadis itu membuka mulut untuk merasa mee goreng kepunyaannya.
“Nah, untuk awak.” Izmil bersuara perlahan. Melihat gelengan kepala gadis itu, Izmil membulatkan matanya sebelum bibirnya bergerak-gerak, seolah-olah mahu memanggil mama. Tindakan refleks Iris memaksa gadis itu menendang kaki Izmil di bawah meja. Izmil pejam mata kejap. Terasa berdenyut-denyut kakinya. Iris menekup mulutnya dengan kedua belah tangan. Alamak! Apa yang aku dah buat nih? Kenapa laa aku pergi tendang kaki mamat nih? Aishh..
Sorry, sorry..” hanya bibirnya yang bergerak, namun suaranya langsung tak terluah. Izmil masih berkeadaan seperti tadi. Tingkah peliknya mencuri perhatian Husna dan Normah yang sejak tadi leka dengan perbualan mereka.
“Kenapa ni, Mil?” Husna memegang bahu anak terunanya. Risau pula melihat keadaan Izmil yang kelihatan berada dalam kesakitan. Normah juga melontarkan pandangan resah, sambil menanyakan perihal Izmil kepada Iris. Iris hanya menggeleng, tanda dia tak tahu apa-apa.
“Tak ada apa-apa, ma. Mil okey. Sakit perut sikit je ni. Mama jangan risau ye.” Izmil cuba beri riak biasa walaupun pedih kakinya masih terasa. Tangannya melekat di perut walhal peritnya berada di kaki. Dia tak mahu mama dan ibu mengetahui apa yang terjadi antara dia dan Iris. Biarlah itu menjadi rahsia mereka berdua.
Izmil memandang Iris. Gadis itu ternyata gusar dengan tindakannya sebentar tadi. Entah kenapa, Izmil dapat merasakan ucapan maaf yang dihantar melalui anak mata hitam Iris. Raut wajah itu ikhlas memohon maaf dalam sunyi. Dia tersenyum.
Mereka terus sambung berbual bersama. Normah dan Iris seronok mendengar cerita Husna tentang percutiannya ke Korea lewat tahun lepas. Dua beranak itu memang hantu cerita Korea. Iris sudah lama berangan mahu jejakkan kaki ke negara itu. Mahu dilihat keindahan tempat orang. Bersinar-sinar mata Iris mendengar tiap patah kata mama sambil tangannya menyuap perlahan nasi goreng yang berbaki tadi. Dalam keseronokannya mendengar sambil membayangkan tempat yang dinyatakan oleh mama, matanya tertangkap sepasang mata hitam Izmil terus memerhatikannya. Matanya membalas dengan pertanyaan. Izmil hanya menggeleng sambil tersenyum kecil. Tangan kanannya yang diletak di atas meja dijadikan tongkat untuk memangku dagu sambil matanya terus menghantar bahasa sunyi buat Iris. Namun, jelingan yang diterima Izmil sebelum Iris kembali memberi fokus pada mamanya. 
“Jom kita jalan-jalan dulu, nak tak?” Izmil memberi usul dalam kereta. Mereka baru selesai makan, dan kini, kereta CRV hitam itu sudah meluncur di atas jalan raya. “Mama dengan ibu? Macam mana? Awal lagi ni.” Izmil masih memujuk.
“Sakit perut kamu dah okey ke, Mil?” Normah bertanya.
Izmil tersengih. Matanya dikerling kepada Iris di sebelahnya. “Mil rasa dah okey dah sakit perut ni. Sebab tadi dah makan ubat..” ungkapan akhir itu diucap perlahan, dituju khas buat Iris, sebenarnya. Iris menoleh. Dia pelik, bila masa pula Izmil makan ubat? Kenyitan bersama senyuman nakal dari lelaki itu sedikit sebanyak menjelaskan segalanya. Nasi goreng tadi ke? Itu ke ubat yang dimaksudkan Izmil?
“Ermm, tak apelah. Kamu berdua jela yang pergi. Mil hantarkan mama dengan ibu balik rumah dulu, boleh?” Husna cuba memberi usul. Normah pula hanya mengiakan saja.
“Is, temankan Izmil pergi jalan-jalan ye..” Normah bersuara, mengharap balasan positif dari anaknya.
Iris mula menggaru kepala yang tak gatal. Sekali lagi, dia terhimpit dengan permintaan ibu itu. Bukan dia tak perasan senyum sinis jejaka di sebelahnya itu bila mendengarkan ayat yang keluar dari mulut ibu. Dalam tak sudi, dia menjawab perlahan, beri kata setuju.

Unchained melody nyanyian Gareth Gates memenuhi ruang dalam kereta. Izmil mengetuk perlahan stereng kereta mengikut rentak lagu itu. Jam di dahsboard menunjukkan pukul 10.15 malam.
“Awak nak pergi mana nih?” Iris membuka bicara. Jalan yang dituju Izmil bukan langsung ke pusat bandar. Dia jadi pelik. Ke mana sebenar arah tuju lelaki itu, membawanya keluar lewat-lewat malam begini? Dia buntu.
“Saya nak ajak awak pergi main buai. Nak?” Izmil sekadar tersengih sumbing. Dia suka melihat muka Iris yang merah padam setiap kali diusik. Comel!
Iris menjeling tajam. Aku tanya elok-elok, boleh pulak dia buat gurau. Jentik dahi kang baru tau. “Apa-apa lah.” Pendek jawapan gadis itu. Biar Izmil tahu yang dia tak suka berjenaka, sekurangnya tidak pada saat itu. Iris membuang pandang ke luar sambil berpeluk tubuh. Entah kenapa tiap kali dengan Izmil, hatinya mudah tersentuh, terlebih sensitif.
“Alaa, jangan laa merajuk. I’m just kidding, dear,” Izmil memandang Iris di sebelah dengan senyum. Dia menyambung setelah melihat tiada balasan dari Iris, “Manja sangat laa Mia nih. Susah laa saya nak pujuk nanti..” Izmil mengeluh perlahan. “Dah laa sakit kaki saya ni masih terasa lagi..” Izmil memandang reaksi Iris yang sudah berpaling ke arahnya melalui ekor mata. Dia tahu gadis itu mahu belum mengucapkan kata-kata maaf lagi atas tingkah drastiknya tadi.
“Err.. pasal tadi, saya nak minta maaf. Saya tak sengaja tendang kaki awak. Sorry.” Teragak-agak Iris menutur kata-kata itu. Mana pernah dia melakukan perkara sebegitu dalam hidupnya. Entah apa yang merasuk dirinya untuk melakukan perkara sebegitu.
Izmil beri muncung sambil mata terus lekat pada jalan raya yang agak sesak. “Bila dah buat salah, mesti terima hukuman.” Sepatah-sepatah ayat itu keluar. Sengaja mahu beri debar.
Iris memilih untuk terus diam. Tak mahu dia melayan ragam lelaki itu kerana dia tahu, nanti dia juga yang akan menanggung akibatnya. Dia memandang sekeliling tanpa bersuara.
Kereta hitam itu berhenti di tempat parking kereta. Izmil mematikan enjin sebelum tersenyum memandang Iris.
            “Jom!” Iris hanya mengikut langkah Izmil keluar dari CRV. Dah lama dia tak datang ke sini. Kebetulan pula kereta diparking berdekatan dengan taman permainan yang disediakan di situ. Dari belakang, Iris mengikut setiap langkah Izmil sambil matanya tidak lepas dari memandang pemandangan sungai Kuantan. Angin yang bertiup seolah menyambut baik kedatangannya ke benteng itu. Tenang rasanya berada di sini. Walau tempat itu agak ramai dengan pengunjung, namun tidaklah sesesak mana. Matanya terarah kepada sebuah kapal cruise yang memang disediakan untuk membawa para pengunjung menyusuri sungai Kuantan itu. Tiba-tiba dia teringatkan arwah ayah. Ayah selalu membawa dia bersama ibu menaiki cruise pada waktu malam. Katanya, pemandangan jauh lebih indah di waktu malam. Ah! Dia rindukan waktu-waktu yang dihabis bersama lelaki hebat miliknya itu. Ayah memang baik, terlalu baik. Dia ingat lagi dulu, bila ditanya siapa kekasih pertama, laju saja dia menjawab dengan menyabut nama penuh ayahnya. Iris tertawa kecil. ‘I miss you, my old man.’
            “Aduh!” Iris menggosok dahinya yang merah akibat terlanggar sesuatu di depannya.
            Izmil tertawa kecil. Dia berpaling. Sengaja dia berhenti, membatukan diri tadi, hingga tubuh gadis itu mencium belakangnya. Bukan dia tak tahu, bila Iris sudah mula berangan, memang payah nak tarik kembali gadis itu ke alam realiti.
            “Kenapa awak tiba-tiba berhenti tengah-tengah jalan nih?” Iris bertanya geram. Hidungnya turut merasa perit. Bukan perlahan dia berlaga dengan belakang lelaki itu tadi. Dah tak reti jalan ke apa?
            Izmil melihat hidung Iris yang merah. “Saya tunggu awak laa, berjalan lenggang je sambil pandang sungai. Khusyuk sangat sampai tak nampak saya berdiri kat sini. Berangan lagi laa tu kan? Ingatkan siapa nih, kekasih hati ke?” Izmil bertanya selamba.
            Iris berdengus sebelum berlalu melintasi jejaka itu. Malas dia nak bertekak. Langkah terus diatur ke hujung benteng. Dia kagum melihat sungai itu disimbahi dengan cahaya neon yang menghiasi sepanjang benteng. Cantik! Segar bila menghirup angin malam di sini.
            Izmil turut melakukan perkara yang sama. Menikmati indah malam di tebing sungai Kuantan itu. Dari jauh lagi sudah kelihatan perkataan KUANTAN yang dibina khas di hujung tebing , sebagai daya tarikan buat para pengunjung. Izmil berpaling. Tubuhnya yang lekat pada benteng sebentar tadi kini sudah bersandar di benteng, mengadap jalan raya sambil matanya tak lekang dari memerhatikan Iris.
            “Mia..”
            “Hmm.” Pendek balasan itu.
            “Mia..” panggilan kedua itu membuatkan kepala Iris berpaling ke arah jejaka tinggi lampai itu. Senyuman manis itu masih belum gagal untuk membuat hatinya berdebar hebat. Redup mata itu memberi seribu satu makna. Iris tak mahu terus kalah dalam permainan perasaan ini kerana dia tahu yang dia takkan menang.
            “Macam mana dengan persoalan siang tadi? Dah ada jawapan yang betul-betul kukuh?”
            Soalan tiba-tiba dari Izmil itu menghantar kerutan di dahi Iris.  
            “Jom pergi main buai!” Iris terus berjalan laju ke arah taman permainan yang terletak tak jauh dari tempat mereka berdiri. Izmil hanya memandang sebelum turut sama melangkah. Entah kenapa, dia tak mampu untuk meluahkan isi hati yang sudah lama tersimpan buat Iris. Kelu lidahnya saat menatap wajah bersih itu. Mungkin ini bukan masa yang sesuai.

No comments:

Post a Comment