Tuesday, March 6, 2012

Bab 14 ~ Katakan Cinta

14

            Entah kenapa, Izmil merasakan segala apa yang dilakukan saat ini serba tidak kena. Sudah hampir sejam dia duduk di meja kerjanya, namun tiada apa pun yang jadi. Di hadapannya, kertas kerja berselerak, memenuhi segenap ruang meja yang sederhana besar itu. Dia sedar, fikirannya sedang kusut ketika ini. Masakan tidak! Sudah hampir dua minggu, tiada sebarang khabar berita pun didengar tentang gadis itu. Sudahlah mereka berjauhan, takkan satu berita pun tak mahu dititip buat dirinya yang sudah rimas menanggung rindu. Kalau diikutkan hati, dia sudah malas mahu kembali ke pejabat setelah selesai solat jumaat tengahari tadi. Tapi, apa pula kata bosnya kalau melihat sikapnya itu. Apatah lagi apabila Che Rashid itu adalah teman rapat papa. Dia tak mahu menjatuhkan air muka papa dengan sikapnya yang kelihatan tak matang dalam menghadapi masalah. Nak tak nak, dengan langkah berat, terpaksa juga dia menunjukkan muka ke pejabat.
            Selesai menunaikan solat Asar di pejabat sebentar tadi, Izmil terus mengemas meja kerjanya, dan menapak keluar dari pejabat. Selang 15 minit kemudian, Mini Cooper S kelabu itu sudah meluncur laju di jalan raya. Izmil menguatkan radio, apabila dia mendengar lagu yang baru diputar di corong radio.
Aku rindu setengah mati kepadamu
Sungguh ku ingin kau tahu
Aku rindu, setengah mati..
Rindu setengah mati? Macam kena pula dengan situasinya ketika ini yang sedang teringatkan gadis kesayangannya. Dia tersengih. Mia, Mia.. apa yang awak dah buat kat saya ni? Sampai semua kerja saya kucar-kacir, teringatkan awak aje..
Sedang dia menikmati lunak suara penyanyi di radio, tiba-tiba akalnya menjana satu idea. Bijak! Kenapalah tidak difikir tentang perihal ini sejak minggu lepas? Kereta compact itu meluncur makin laju. Dia mahu segera pulang. Dia mahu segera meluahkan hajatnya pada mama. Dia yakin, mama mesti akan setuju dengan tindakannya itu. Bibirnya pula tidak berhenti dari terus merekah. Ya, dia gembira!

Lagu Bubbly berkumandang dalam segenap ruang bilik. Iris segera mendapatkan telefon yang tersidai di atas meja solek. Tanpa melihat ID pemanggil, dia sudah tahu siapa yang menelefonnya hanya menerusi ringtone yang telah diset khas buat pemanggil itu.
“Assalamualaikum, makcik tua..” Iris terus menebak sambil tertawa mengekek-ngekek.
“Kurang asam kau! Suka-suki je panggil aku makcik tua. Dush, dush! Waalaikummusalam.” Suara Hanim pula bergema dengan hilai tawa.
“Betul la, kau tu, sejak dah tukar status ni, tak ada pun nak hantar khabar berita kat aku kan..  kecik hati tau!” Suara Iris jelas sedang berjauh hati.
“Alaa, jangan laa marah, sayang. Bukan aku sengaja tak call kau, tapi aku busy kat sini. Sekarang ni, aku baru masuk rumah baru. Banyak benda kena kemas, barang-barang dalam rumah ni pun banyak yang tak cukup lagi. Sorry..” Hanim menerang dengan panjang lebar. Dia tak mahu sahabatnya itu salah faham pula dengan tingkahnya yang sepi sejak dua minggu lalu. Selepas pulang dari berbulan madu di Bali selama seminggu, dia langsung sibuk menguruskan kehidupan barunya bersama Syamzil. Tugas baru sebagai isteri betul-betul mencabar kredibilitinya sebagai seorang wanita. Dia perlu lebih cekap menguruskan rumah tangganya.
“Aku acah jela. Aku faham, kau sibuk. Kau kat mana ni? Berkepit dengan cik abang kau ke?” Iris sudah bersuara seperti biasa. Terasa kelakar pula bila mendengar suara Hanim yang lelah menerangkan situasi dirinya. Sebenarnya, dia rindu mahu mengusik temannya itu.
“Aku kat rumah laa. Tak lah, Syamzil baru pergi masuk kerja.” Hanim menjawab selamba. Iris hanya mengangguk dalam diam.
“Cik abang kau pula?” giliran Hanim untuk memulangkan paku buah keras pada Iris. Sejak berita mengejut yang diketahui pada majlis menyambut di Gombak dulu, Hanim masih belum berkesempatan untuk menanya dengan lebih lanjut apa yang sebenarnya terjadi. Yang dia tahu, Iris kini sah menjadi tunangan sepupunya, Izmil Fikri Muzammil.
Iris terdiam. Cik abang aku? Entah apa khabarnya di sana, aku langsung tak ambil tahu. Sihatkah dia? Rindukah dia pada aku? Ah!
“Siapa, kau nih? Aku mana ada cik abang. Lain laa macam kau.” Iris tertawa, cuba memecah sunyi. Lebih kepada untuk memecahkan gundah yang kian bersarang di relung hati, sebenarnya.
“Eleh.. aku dah lama kenal kau, Is. Tak payah la nak buat propaganda palsu pada aku. Izmil, sihat? Dah lama gak aku tak dengar khabar dia.”
            “Entah, sihat laa kot? Bukan aku yang jaga dia, mana laa aku tau.” Iris membalas dengan selamba. Lagak orang yang tidak punya perasaan.
            “Apa cerita kau orang ni, sebenarnya? Tak pernah-pernah aku nampak kau orang berbual masa kenduri aku dulu, tup-tup, mak aku bagitau yang kau orang dah bertunang.”
            “Entah laa, beb. Aku sendiri pun macam tak percaya yang aku dah bertunang dengan dia. Semuanya berlaku terlalu cepat. Aku..” suara Iris kini sudah tersekat-sekat.
            “Tapi, aku pelik laa. Macam mana Cik Normah, mak aku, dengan maklang boleh tiba-tiba berpakat nak jodohkan kau orang berdua eek? Kau orang bukannya pernah jumpa, jauh sekali nak bercinta.” Hanim menggaru kepalanya yang tak gatal.
            Kalaulah kau tahu, Hanim.. kalaulah kau tahu, yang aku dah kenal lelaki itu sejak zaman persekolahan lagi. Kalaulah kau tahu yang lelaki itu adalah cinta pertama aku. Kalaulah kau tahu..
            “Is..? Is..? Hello?”
            “Eh, sorry, sorry. Apa yang kau cakap tadi?” Iris rasa bersalah pula mengelamun sendirian.
            “Kau okey tak ni?” Perlahan Hanim menyoal. Entah kenapa, dia dapat merasakan kegusaran temannya itu.
            “Aku okey jek.” Iris ketawa. Cuba menghantar isyarat kepada Hanim yang dia tak apa-apa.
            “Beb, meh lepak rumah aku. Kau stay laa kat sini dua, tiga hari. Boleh kita berborak panjang. Aku pun  boring ni, sebab Syamzil tu dah mula kerja shift malam minggu nih. At least, ada jugak teman aku kat sini. Meh laa..” Hanim cuba memujuk.
            “Errmm, aku tak janji laa, beb. Tengok laa dulu ye. Kalau ibu aku izinkan, aku datang la sana jumpa kau. Tapi, kau kena laa jadi driver aku masa kat sana. Aku nak shopping!” Mereka tertawa bersama.
            “Itu tak ada hal lah! Beres! Nanti kau bagitau aku cepat-cepat tau. Tak sabar aku nak jumpa kau, nak korek rahsia!” Hanim mengekek.

            Sebaik saja balik dari pantai, Iris langsung ke dapur. Baru sebentar tadi, ibu memintanya untuk menyediakan sarapan buat mereka berdua.
            “Bahan-bahan ibu dah sediakan. Is tolong tumiskan aje nasi goreng tu. Ibu nak rehat sekejap, rasa lenguh pula badan ni.” Normah bersuara di depan pintu biliknya. Dia baru selesai mandi selepas berpeluh-peluh berkebun di belakang rumah.  
           
            “Assalamualaikum..” Ada suara dari luar rumah. Iris baru selesai menyapu ruang tamu rumah. Dia sudah melangkah ke dapur, mahu mandi kerana badannya sudah melekit-lekit dengan peluh. Normah yang duduk santai menonton tv bangun untuk melihat siapa gerangan yang memberi salam.
            Barulah terasa segar bila sudah membersihkan diri. Iris melangkah keluar dari bilik air. Bulat matanya melihat wajah yang sudah lama tidak ditatap itu. Dia berdiri kaku. Dua pasang mata itu terus berbicara dalam sunyi. Otaknya ligat berputar, menanya pelbagai soalan. Macam mana mamat ni boleh ada kat dapur rumah aku? Bila dia sampai? Macam mana dia masuk? Dia makin kurus? Kenapa muka dia nampak cengkung? Tak makan ke?
            Izmil turut terdiam. Niatnya untuk membasuh tangan terus hilang bila melihat seraut wajah bersih itu. Tapi, yang buat dia menjadi lebih berdebar apabila melihat tubuh gadis itu yang hanya dibalut dengan kain batik bersama tuala di kepala. Kaki putih gebu yang terdedah itu menghantar isyarat yang bukan-bukan pada otaknya. Dia cuba mengalihkan pandangan, namun, matanya tak mampu teralih dari merenung sepasang anak mata hitam itu. Lama mereka berkeadaan begitu. Izmil berdiri di satu penjuru dapur, manakala Iris terus kaku di depan pintu bilik air.
            “Mia..” Izmil menyeru nama gadis itu. Kakinya melangkah perlahan, mendekati.
            Iris yang seolah baru tersedar dari mimpi, terus tersentak bila menyedari keadaan dirinya yang mengaibkan. Ya Allah, macam mana aku boleh khayal sampai macam ni? Iris beristighfar banyak-banyak sambil terus berlari ke dalam bilik. Langsung tidak dipandang raut wajah Izmil yang berperanjat itu.
           
            “Una minta maaf kalau ganggu akak dengan Iris pagi-pagi macam ni. Izmil ni, dari petang semalam beria-ia mengajak ke Kuantan. Mahu bertanya khabar akak sekeluarga katanya.” Husna mengerling pada anak lelakinya yang sedang menonton rancangan di tv. “Akak sihat? Mana Is?”
            “Isshh, mana ada menyusahkan. Akak suka kamu datang sini. Sekurangnya tak adalah sunyi sangat rumah ni. Is ada dalam bilik, kejap lagi keluar la tu. Jemput la minum, Una, Mil.” Normah menghulurkan cawan air teh kepada dua beranak itu.

Suasana dalam kereta masih sunyi. Seorang memandang ke arah jalan raya, seorang lagi melarikan pandangan ke luar tingkap. Satu-satunya suara yang memecah hening dalam kereta adalah dj radio yang sibuk menghiburkan pendengar.
Iris tak selesa berkeadaan begini. Permintaan ibunya yang mahu memasak lauk ayam percik untuk hidangan tengahari bersama tetamu yang datang mengejut itu memaksa dirinya berada dalam keadaan sekarang. Jalan raya yang agak sesak itu melambatkan perjalannan mereka untuk ke pasar. Iris hanya duduk diam sambil memeluk tubuh.
Izmil berdehem. Terlalu banyak soalan yang mahu ditanya hingga dia tidak tahu dari mana perlu dimulakan perbualan. Yang penting, dia sangat merindui suara gadis itu.
“Mia sihat?” dalam banyak soalan yang berlegar dalam kepalanya, itu yang dirasakan perlu ditanya terlebih dahulu.
“Saya sihat.” Pendek saja jawapan dari Iris. Ah! Suara itu menyesakkan dada aku. Tolong jangan bersuara sebegitu, Fikri.
“Kenapa awak dah lama tak contact saya? Awak busy?” Izmil cuba mengawal suaranya. Sedikit sebanyak, dia agak berkecil hati dengan sikap Iris yang acuh tak acuh.
Iris diam. Dia sedar itu silapnya. Dia tak patut berdiam diri, tak menjawab tiap panggilan, menghindari setiap mesej dari Izmil, tapi dia tak mahu beri harapan palsu. Pada Izmil dan juga dirinya sendiri. Dia sudah serik mahu bermain dengan api. Dia sudah tak betah untuk menjemput kembali rasa rindu dulu kerana dia takut rasa kecewa itu juga turut pulang ke dalam hatinya.
“Saya minta maaf kalau awak rasa kurang selesa dengan tindakan saya yang selalu mengganggu awak. Saya cuma mintak awak faham hati saya. Saya rindukan tunang saya. Saya nak tahu yang tunang saya ni sihat sejahtera kat Kuantan, walaupun saya tengah lara kat KL.” Izmil cuba berseloroh, namun, Iris cuma tersengih kecil.
“Tak.. awak tak salah. Saya yang tak patut buat awak macam ni. Saya tahu yang awak cuma nak bertanya khabar.” Suara Iris tersekat-sekat. Seolah dia kini sedang berperang dengan hatinya sendiri. Rasa bersalahkah dia kerana membuat tunangnya berkecil hati dengan sikap dinginnya? Dia sendiri tak mampu untuk menjelaskan tingkahnya itu.
“Saya rindu awak..” tiba-tiba terluah ayat itu dari bibir Izmil. “Saya sangat-sangat rindu awak. Dua minggu ni, saya rasa macam orang sasau sebab rindukan awak.”
Iris tersentak mendengar luahan ikhlas dari Izmil. Begitu sekali kau rindukan aku? Rasa bersalah makin menghimpit diri. Dia tak berniat untuk membuat lelaki itu menjadi sasau hingga begitu sekali. Iris berpaling memandang jejaka tampan itu. Izmil mengerling seketika sebelum kembali menumpukan perhatian pada jalan raya. Akhirnya kereta kelabu itu berhenti di trafik yang sesak. Mata mereka kembali bertembung.
“Saya takut.” Perlahan Iris berbicara. Izmil sudah memperlahankan radio, ingin memberi ruang pada Iris untuk meneruskan bicara. Pandangannya kini tunduk. “Saya takut nak buka hati saya ini sekali lagi untuk sesiapa pun. Sebab sakit dulu masih ada. Saya belum bersedia untuk terluka, Fikri.. Saya tak mahu awak salah faham dengan saya, sebab tu saya tak balas mesej, dan tak jawab panggilan awak. Semua ini terlalu awal, terlalu cepat sampai saya sendiri rasa takut kalau-kalau secepat ini juga cinta awak boleh berubah pada saya.”
“Mia.. serendah itu ke awak anggap cinta saya? Semudah itu ke awak anggap perasaan sayang ini boleh berubah? Kita dah kenal sejak sekolah menengah lagi. Tak cukup lagi ke untuk awak rasa yakin pada diri saya?” Izmil masih memandang tepat pada seraut wajah bersih itu. Cuba mencari kebenaran dalam diam gadis itu. Ketahuilah sayang, hanya Mia di hati ini, sejak dulu dan selamanya.
“Awak tak faham. Awak tak tahu hati saya, Fikri..” Iris sudah mula sebak. Dia tak mahu kenang kenangan dulu. Dia belum bersedia untuk hadapai kenyataan lampau.
“Jadi, fahamkan saya, Mia. Bagitau saya rasa dalam hati awak. Biar saya rawat sakit tu. Izinkan saya ketuk kembali hati awak yang dah tertutup tu. Beri saya peluang. Please, sayang..” Tanpa sedar, tangan Izmil pantas menarik tangan Iris lalu diletakkan ke dadanya. Biar gadis itu tahu setiap degup jantungnya kini hanya untuk Iris Damya.               
            Iris menarik kembali tangannya. Izmil mengerti. Iris masih setia memandang ke bawah. Entah kenapa, hatinya tak mahu memandang ke dalam anak mata hitam lelaki itu. Dia tak berani. Kalaulah kau tahu, punca sakit dalam hati aku ini juga disebabkan oleh kau, Fikri!
            “Soo..? I’m waiting for an answer, honey.” Izmil tersenyum memandang Iris. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia mencubit pipi gadis itu, tapi dia tahu yang tindakan itu adalah tak wajar.         
            “Tolong bagi saya masa. Saya akan cuba.” Jawapan pendek dari Iris itu membuatkan hati Izmil berbunga-bunga. Dah lama dia mahu mendengar kata-kata itu. Dia sudah lama mengharapkan Iris menerima dirinya. Tak sia-sia dia memandu hampir 3 jam sejak subuh tadi. Segala usahanya sudah mula membuahkan hasil. Dia bersyukur.
            “Thanks, sayang.” Hanya itu yang mampu Izmil katakan buat masa ini.

No comments:

Post a Comment