Thursday, April 21, 2011

Bab 4 ~ Bila Debar Itu Hadir

4


            “Today’s the big day!” Hanim tersengih mendengar kata-kata Iris. Hanim ketika itu sedang duduk tenang di hadapan cermin sambil tangan Kak Syarifah lincah membetulkan selendang rona putih permata di kepala sang ratu sehari.
            Iris sudah siap dengan baju kebaya moden rona coklat gelap duduk memerhati di bucu katil.
            “Cantik member aku sorang nih! Maklumlah, seri pengantin la katakan, kan akak?” Mak andam itu mengangguk laju. Tawa Iris pecah saat matanya menangkap riak Hanim yang sudah tersipu malu. Geli hati melihat sahabatnya yang selama ini sentiasa bersikap selamba, berubah menjadi lady-like. Hanim, Hanim.
            “Kau ni, saja je nak buat aku blushing tau!” Mereka tertawa. Kak Syarifah sekadar tersenyum. Sambil mereka menunggu untuk bergerak ke masjid, Kak Syarifah memberi sedikit tips ketika berada di atas pelamin, tingkah sesuai di meja makan supaya Hanim tidak kelihatan kekok apabila diri menjadi tumpuan ramai. Dia tidak dapat tunggu untuk majlis persandingan kerana masih ada satu lagi pelanggan yang memerlukan khidmatnya.
           
Tepat jam 8.00 pagi, rombongan pengantin bergerak ke masjid yang bakal menjadi saksi penyatuan dua jiwa itu. Sepanjang perjalanan, Hanim tidak melepaskan genggaman tangan dari Iris. Sejuk! Dia berdoa segala akan berjalan lancar. Iris membalas genggaman temannya itu, cuba menyalurkan semangat. Cik Hamidah yang turut berada di belakang kereta bersama mereka turut memegang erat jemari Hanim, bagai tak mahu dilepas. Hanim berpaling ke arah ibunya. Senyuman di wajah mamanya sudah cukup untuk buat mata Hanim merah, sebak!
            Hanim melangkah tenang ke dalam masjid, ditemani Iris sebagai pengapit serta ahli keluarga yang lain. Dari jauh, kelihatan pengantin lelaki segak berbaju Melayu dikepit dengan ahli keluarga pihak lelaki. Hamin duduk bersimpuh setelah puas bersalaman dengan sanak saudara bakal suaminya. Iris mengambil tempat di sisi Hanim.
            Semua diam saat Encik Sulaiman, yang bertindak selaku tok kadi menerangkan tentang pernikahan yang bakal berlangsung sebentar lagi. Iris tersenyum ke arah maklang Husna yang baru tiba. Dia mengambil tempat bersebelahan dengan Normah. Bahu Iris dicuit.
            “Maaf maklang lambat sikit, Izmil tu, siap lama sangat, macam dia pulak yang nak nikah.” Mereka tertawa.
            Izmil.. matanya kini tertancap pada susuk tubuh tinggi yang baru duduk mengambil tempat di sebelah Pakcik Ramlie, diekori ayahnya, Encik Muzammil. Menurut maklang, suaminya itu baru tiba pulang dari Johor, baru balik dari urusan bisnes. Ini kali pertama Iris berjumpa dengan kedua ibu bapa jejaka itu. Dan, dia sungguh tidak menjangka lelaki itu adalah sepupu sahabat baiknya. Bibirnya menguntum senyum kecil, tanpa sedar, bila dia melihat tiga lelaki itu berbual perlahan. Wajah arwah ayah datang menerjah kotak memori. Tiba-tiba hadir rasa rindu. Hampir 8 tahun ayah pergi. Tapi segala momen indah masih jelas di ingatannya. Pandangan terus dilari ke arah tok kadi setelah menyedari sejak dari tadi, mata mereka bertembung, berbicara bahasa sunyi.
             “Cantik Hanim kan..” Puan Husna memerhati Hanim yang ternyata sedang menahan debar yang hebat. Iris mencuit bahu Hanim, sekadar mahu mengusik.
            “Iris pun apa kurangnya. Manis je maklang tengok.” Hampir nak tergolek rasanya mendengar pujian itu. ‘Aku, manis?’ Hatinya tergelak besar. Namun, dia bijak mengawal riak wajah dan tersenyum sambil berterima kasih. Pipinya merah. Kini, giliran Hanim pula mencuit. Siap dengan gelak tawa mengusik. Buntang mata Iris sebelum mengalihkan pandangan ke arah lain, tanda dia merajuk dengan usikan Hanim.
           
            Izmil menjadi pemerhati setia sejak tadi. Bukan penjelasan tok kadi yang difokus, tapi adegan sebabak lain yang jadi tumpuan matanya. Dia memuji dalam diam. ‘Cantik!’ Dia tersenyum. ‘Macam berjanji pula,’ Dia mengerling lagi baju kebaya rona coklat gelap itu dengan kemeja kotak yang tersarung di batang tubuhnya. Sedondon! Tak sia-sia dia menghabiskan hampir 15 minit hanya untuk memilih pakaian yang sesuai untuk kenduri itu. Ternyata usahanya berbaloi. Sedang dia asyik merenung indah gadis itu di kalangan para wanita, tanpa sedar pandangan mereka bertemu.
Hilang terus senyum Iris. Dia masih dapat mendengar dengan jelas setiap patah bicara maklang yang sedang berbual dengan ibunya tapi matanya masih belum mahu beralih. Walau akal cuba menafikan, tapi hatinya tetap memuji penampilan jejaka yang tak punya emosi itu. Tampak kemas dengan kemeja kotak yang dipadan dengan jeans.
            Gema suara Syamzil yang membetulkan tekak di pangkal mikrofon menyentakkan dua pasang mata resah itu. Pandangan terus dialih ke arah tumpuan orang ramai, iaitu Syamzil.
            Dengan satu lafaz, Hanim sah menjadi milik mutlak Syamzil. Tanpa dipinta, Hanim menangis teresak-esak sambil menadah tangan mengaminkan doa. Selesai bacaan doa, Syamzil berlalu ke satu penjuru masjid untuk sujud syukur. Iris mengesat perlahan pipi Hanim yang basah.
            Syamzil menyarungkan cincin sebagai tanda ikatan dan nama baru bagi hubungan mereka, suami dan isteri. Hanim tersenyum manis saat bibir Syamzil singgah di dahinya buat kali pertama. Ramai para hadirin yang hadir tak melepaskan peluang merakam detik indah itu. Izmil juga tidak lepas peluang. Momen itu dirakam dalam Canon DLSR miliknya.

            Bila hari kian menganjak ke tengahari, makin ramai tetamu yang hadir. Hanim baru selesai menyalin pakaian, baju nikahnya sudah diganti dengan baju kebaya potongan moden rona coklat keemasan bersama manik-manik berkilauan yang terletak indah memenuhi baju pengantin di tubuhnya.
            Hanim yang duduk di hadapan cermin memandang Iris yang duduk tenang di katil melalui biasan cermin.
            “Aku nervous lah! Satu dugaan dah lepas, and now this..!’ Luah Hanim tiba-tiba. Iris memandang Hanim, nampak sangat yang sahabatnya itu sedang bertarung dengan gundah yang maha hebat.
            “Relakslah! Today’s your day, darling, just enjoy every moments of it.” Iris merebahkan diri ke atas katil. Badannya diserong ke kanan sambil tangan kanannya diguna sebagai tongkat kepala, mengadap Hanim.
            “Banyaklah kau punya relaks. Jantung aku ni dah macam baru sudah menang acara 500M lari berpagar tau!”
            Iris kerut dahi. “Apa kau cakap? Baru menang lumba lari? Berpagar pulak tu?” tawanya pecah. Ditekan perutnya yang terasa sakit kerana tawa yang tak mahu henti. Setahunya, Hanim pantang hendak diajak bersukan. Jogging keliling rumah pun belum tentu dia mahu, inikan pula menang acara lumba lari berpagar. Sangat tak logik.
            Hanim mencampak segenggam bunga rampai yang tersedia di dalam bakul sebagai hiasan meja solek ke arah Iris pantas elak sambil terus menyambung tawa. Tergolek-golek dia atas katil milik raja sehari.
            Ketukan di pintu mematikan ketawa Iris dan rengek Hanim. Mata mereka tertumpu ke arah pintu. Tombol dipulas, dan wajah Izmil muncul dibalik pintu. Hanim tersenyum sambil mengajak jejaka tinggi lampai itu masuk. Iris yang tadi berada di posisi berbaring kini duduk tegak sambil membetulkan kebaya ditubuhnya.
‘Harap-harap dia tak nampak pose maut aku tadi, kalau tak, naya aku!’
            “Can I get a snap from the lovely bride?” Izmil menayangkan kamera sambil tersengih. Dia tersenyum, cuba menahan gundah sebenarnya. Matanya sempat melihat gaya Iris yang berbaring santai di atas katil raja sehari itu. Bergelora naluri lelakinya melihat lentok manja gadis idaman hatinya itu. Hanim terus mengangguk. Jurugambar yang ditempah entah hilang ke mana. Dapat photographer tak rasmi merangkap sepupu sendiri pun kira okey la tu.
            Selepas beberapa shot, Hanim memanggil Iris untuk bergambar bersama. Gelengan Iris tidak dihirau, malah pantas tangan gadis itu diraih ke arahnya. Izmil sekadar tersenyum. Pelbagai gaya dapat dirakam oleh Izmil.
            “Mil, meh sini kamera tu, biar aku amek gambar kau orang pulak.” Izmil sekadar mengikut rentak. Kamera sudah bertukar tangan.
            “Dekat la sikit,” Hanim beri arahan.
            Izmil hampiri Iris hingga bahu mereka selisih. Iris cuba menjauh tapi suara Hanim yang meminta mereka kekal dengan posisi itu membantutkan pergerakannya.
            Wangian Boss for men menusuk hidung Iris. Tak pernah dia sebegini dekat dengan lelaki. Hatinya resah.
            Izmil pula kekal dengan riak tenangnya. Dalam diam, dia gembira dengan keadaan ini.
            Cik Hamidah masuk ke kamar pengantin bersama maklang Husna dan Cik Normah. Hanim terus menghulurkan kamera kepada Iris, pinta dirakam saat itu dalam kamera. Iris menyambut dengan senang. Sudah lama dia berhajat untuk dapatkan gajet mahal itu.
            Semua sudah sedia dengan gaya masing-masing bila Iris tiba-tiba buka mulut. “Macam mana nak snap?” riaknya jelas bingung. Tak berani dia menekan sebarangan, tak sanggup dia mengganti kamera yang bernilai ribuan ringgit itu.
            “Kau ni, belajar je tinggi, tapi nak ambik gambar pun tak tau.” Hanim mengejek manja.
            “Aku dulu belajar linguistic, bukan teknikal cik kak!”
            Izmil menghampiri. Dari belakang, dia mengangkat kamera sama aras dengan mata Iris. “Bila dah dapat imej yang kita nak, tekan sini,” jari telunjuknya menekan punat hitam berhampiran flash kamera. Kamera ditala ke arah Hanim.
Iris resah. Kalau ya pun nak buat tutorial, tak perlu la dekat sangat kat belakang aku nih.
“Pastu, kalau nak tengok balik gambar tadi, tolak skrin ni ke bawah.” Skrin yang melekat di belakang kamera itu ditolak lalu terpamer imej Hanim yang sedang menjelir lidah.
Iris tidak begitu menumpukan perhatian pada kata-kata Izmil kerana dia lebih fokus pada jarak yang hanya beberapa inci sebelum tubuh mereka bersentuhan. Terlalu rapat hingga tiap nafas lelaki itu dapat didengar dengan jelas.
“Sekarang  dah faham?” Iris hanya angguk, tak mampu bersuara. ‘Ah, apa pasal aku jadi gugup nih?’
Try buat sekali lagi.” Izmil berganjak sedikit ke belakang. Hanim dan yang lain sekali lagi bergaya di hadapan lensa.
Iris buat ikut arahan, atau lebih tepat lagi, lesson through whisper yang diberi Izmil sebentar tadi, dan hasilnya cantik!
“Tengok,” kamera sudah bertukar tangan. Ditelek gambar di skrin. Dia terangguk sambil tersenyum.
Not bad for a beginner. I’m impressed.” Pujinya ikhlas.
“Terang hati.” Jawapan ringkas si gadis buat Izmil terdiam seketika sebelum dapat menangkap maksud sebenar tutur kata itu. Mata hitam gadis itu hadirkan debar di jiwa lelakinya. ‘Terang hati?’ Hatinya tersenyum, bibirnya merekah dengan tawa kecil sambil memerhati lenggang Iris yang menapak ke arah Hanim.
Majlis perkahwinan berjalan lancar. Hanim kelihatan anggun walau agak kalut kerana terpaksa menyalin beberapa persalinan untuk setiap acara.

“Amboi besarnya hadiah orang Kuala Lumpur!” teriak Pak Kassim, jiran tuan rumah, sekadar ingin bergurau. Seisi rumah ketawa. Malam itu adalah sesi buat pengantin membuka hadiah, sekadar untuk meraikan raja sehari.
Hanim membuka bungkusan dengan berhati-hati. ‘Berat juga hadiah ni.’ Set pinggan mangkuk arcopal menjadi pilihan maklang sebagai hadiah buat pasangan sejoli itu.
Sampai giliran Izmil. Jejaka itu sudah tersengih. Setelah balutan hadiah habis dibuka, Hanim ketawa. Dia menunjukkan bingkai gambar itu pada semua orang. Gambar seorang bayi yang sedang tidur nyenyak sambil menghisap ibu jari itu turut mengundang gelak ahli keluarga yang lain.
“Jangan gelak jek. Ada makna gambar baby tuh.” Usik Izmil sambil mengangkat kening. Syamzil mengangkat ibu jari, tanda setuju. Hanim yang malu melemparkan saki-baki wrapper ke arah Izmil yang masih tak mahu berhenti ketawa. Tepat mengena sasaran, tapi langsung tak terkesan pada lelaki itu kerana Izmil terus menyambung gelak.        

No comments:

Post a Comment