Thursday, April 21, 2011

Bab 3 ~ Sememangnya Terindah

3

          “Boleh tak kau duduk diam-diam sikit? Nanti comot inai kat jari ni, aku tak tau,” ugut Iris.
            Hanim hanya tersengih. Dia tahu Iris bengang. Tapi dia rimas, masa macam inilah hidungnya terasa gatal, kakinya yang digigit nyamuk, pinta digaru. Dan sekarang, tekaknya pula terasa kering. Mustahil untuk dia bangun dan pergi ke dapur kerana kakinya sudah selesai diinai penuh. Pandangan penuh harapan dilontar buat sahabat baiknya yang sedang tekun menilik jari manis miliknya.
            “Is…” meleret nada suara Hanim. Dia tersenyum manis bila Iris mengangkat kepala memandangnya. “Kau nak minum air tak?”  
            Iris dapat menangkap maksud pertanyaan Hanim. Bibirnya mencebik manja. “Iyela, aku pergi ambil air untuk kau. Nasib baik la kau dapat member yang baik macam aku ni tau!” Iris sudah bangun sambil mengesat tangannya yang comot dengan tisu.
            Hanim tergelak. “Aku tau. Lagipun ni la last day aku dapat manja-manja dengan kau. Thanks, sayang!” Dia mengusik sambil memerhati tubuh Iris berlalu keluar.

            Iris melangkah ke dapur kosong dan sunyi itu. Terdengar gelak suara pakcik Ramlie, ayah Hanim di tepi rumah. Suasana diluar ternyata meriah. Kanak-kanak bermain, dan yang dewasa sedang menjamu selera sambil berbual mesra. Iris tersenyum mengenangkan ukhuwah erat yang terjalin antara penduduk kampung. Dia mendoakan pertalian erat ini akan terus terjalin sampai bila-bila. Dia meneruskan langkah ke peti sejuk. Tiada satu pun bekas air di dalam perut peti. ‘Mesti Cik Midah dah bawak keluar nih,” bisik hatinya. Dia kemudiannya terpandang tin Milo di atas rak sebelah peti. Iris menjenguk ke dalam cerek air diatas dapur, masih ada air panas.
“Milo pun Milo lah!” omelnya sendiri. Pantas tangannya mencapai satu jag kecil untuk membuat air Milo, sambil menyanyi perlahan. Dia teruskan kerja mengacau bekas air yang kini sudah penuh dengan air Milo. Dia menuang sedikit air ke dalam cawan yang sudah disediakan untuk merasa air buatannya.   
            “Nak rasa sikit, boleh?” Hampir tersedak Iris mendengar suara itu. Dia kenal benar dengan pemilik suara itu. Suara itu pernah buat hatinya berlagu riang. Suara itu pernah berjanji untuk mencipta bahagia bersamanya. Dia berpaling.
            Izmil berdiri di satu sudut di dapur rumah, sambil bahu kanannya bersandar ke dinding. Dia tersenyum nipis. Matanya tepat memandang Iris. Lelaki itu tampak segak dengan baju melayu cekak musang rona ungu lembut.   
            “Apa awak cakap?” Suaranya terketar. Tangannya pantas menutup mulut. Asal suara aku dah tukar jadi chipmunk nih? Adoii!! Relaks Is!
            Iris dapat mendengar ketawa kecil milik lelaki itu. Izmil berjalan perlahan menghampirinya, dan Iris hanya berdiri kaku disitu.
“Orang kata, kalau anak dara menyanyi kat dapur, nanti dapat suami tua.”
Iris memusingkan kepala kembali ke arah jag air di tangan. ‘Aishh, mamat ni, tak ada tempat lain dah ke nak pergi?’ Dia malas mahu melayan jejaka itu. Tumpuannya kini fokus pada jag air yang ternyata lebih menarik untuk ditatap dari wajah lelaki itu.
Iris berlagak selamba bila dia melihat langkah Izmil makin hampir ke arahnya. Padahal di dalam hati, dia sangat mengharapkan jejaka itu berlalu pergi.
            “Sanggup ke?” Soalan Izmil dibalas dengan reaksi kosong dari Iris. Dia menyambung, “Kahwin dengan orang tua laa..” Saja dibuat nada meleret sebagai tanda mengusik.
Iris hanya kerut dahi. Riak wajahnya kosong, sekosong hatinya.
             “Saya nak rasa air yang awak buat ni, nak tau awak buat sedap ke tak, boleh?” Izmil mula menukar topik setelah melihat reaksi Iris yang kelihatan tidak berminat langsung untuk berbual dengannya. Matanya beralih ke arah jag biru sebelah gadis itu. “Tak salah kalau saya nak rasa kan ?” dia tersenyum lagi.
            Iris berdehem. Berlagak biasa. “Ambik la, saya buat banyak. Lagipun tak habis saya nak minum berdua dengan Hanim tuh,” dia masih cuba berlagak selamba, tapi ternyata kaku. Namun tangannya sudah menghulurkan gelas yang berisi air Milo ke arah Izmil.  
            Jiwa Izmil terkesima. Dia tak dapat mengalihkan pandangan dari terus memerhati ciptaan Ilahi yang satu ini.
Bila huluran gelas tidak diterima, Iris berasa pelik. ‘Pasal apa pulak mamat ni duk tenung-tenung aku nih?’ Iris melambaikan tangan dihadapan Izmil.
Izmil tersedar, lalu menyambut huluran gelas air Milo dari tangan Iris. Jari mereka bersentuhan, lantas segera Iris melarikan tangannya.
            “Maafkan saya,” ucap Izmil ikhlas, dia memang tak sengaja menyentuh Iris.
            “It’s okay, saya masuk bilik dulu ye.” Iris mahu segera lari dari situasi yang ternyata tidak selesa itu.
            Dia berlalu, meninggalkan Izmil sendirian di dapur.
            Izmil menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk itu. Matanya memandang air Milo yang terhidang di hadapannya. Sejak dulu, dia sudah jenuh merasa air Milo, tapi entah kenapa air Milo di depannya ini nampak sangat menyelerakan. Dengan lafaz bismillah, dia menghirup perlahan. Matanya dipejam, cuba menikmati keenakan air Milo buatan Iris. Sedap. Ternyata enak!
Dia tersenyum sendiri lagi. Sejak semalam, dia kerap tersenyum sendiri. Teringatkan wajah nan satu itu, terkenang senyum yang indah itu. Hatinya sangat ingin mengambil hati sang pujaan jiwa, tapi dia takut, kalau-kalau hasrat murninya ditolak mentah. ‘Ah! Belum cuba belum tau, Mil. Maybe she’s the one for you after all. Kalau tak, takkan Allah temukan kau orang kat sini, setelah bertahun-tahun terputus hubungan. Keluhan resah terluah dari bibir si jejaka gundah itu. Izmil menghirup lagi air Milo itu. Dia tersenyum lagi buat sekian kali.
           
            Sedang seronok berborak, ketawa Iris dan Hanim terhenti serentak saat pintu bilik dikuak dari luar. Terjengul kepala maklang Husna. Bibirnya menguntum senyuman buat kedua dara didalam bilik pengantin yang sudah dihias cantik.
            “Dah siap berinai?” mereka berdua sekadar mengangguk sebagai balasan buat soalan maklang. Wanita separuh umur itu masuk, mengambil tempat di sisi Iris.
“Iris tak nak inai jari tu sekali? Pengapit pun kena melaram jugak, kan Hanim?” Maklang angkat kening, Hanim mengiakan dalam gelaknya.
“Eh, tak payah la maklang, Is okey je. Nanti kalah pengantin tu,” Iris pulang paku buah keras kepada Hanim. Gadis itu mencebik.
Ketika Iris sedang menutur kata, maklang terlebih dahulu mencapai mangkuk yang berisi baki inai merah di tepi Iris. Tangan gadis itu diraih.
“Tak apa la, biar maklang letak inai kat jari kamu.”
Iris pamer riak serba tak kena, Hanim sekadar angkat bahu, tanda tidak dapat membantu rakannya itu. Namun, tiada apa yang dapat dilakukan, ibu jari kanannya sudah pun ditepek daun inai yang ditumbuk lumat itu.
“Hanim dah nak kahwin, Iris? Bila lagi nak tukar status?” Maklang angkat kening, senyum merekah di hujung bibir tua itu.
Iris sudah garu kepala. Hanim menahan tawa dalam hati. ‘Alamak, apa pasal aku boleh kena soalan maut nih? Dari maklang pulak tuh, adoii.’
“Is tak fikir lagi pasal ni la, maklang. Is nak kumpul duit dulu tolong ibu. Kerja pun tak dapat lagi.” Asal suara tukar jadi chipmunk balik ni? Adoii!
“Tapi, takkan tak ada langsung yang berkenan kat Is masa tengah study dulu?” Maklang ligat bertanya, selincah jarinya yang sedang menempel inai dijari si gadis.
“Kalau nak dikira, memang ramai maklang, tapi si Is ni jual mahal, putih mata semua student lelaki kat USM tu.” Hanim yang sejak tadi hanya menjadi pendengar, kini bersuara. Jeritannya kedengaran disegenap bilik saat jari runcing Iris singgah di pinggangnya. ‘Ambik kau, mengada sangat bukak hikayat hidup aku, siapa suruh?!’
Hanim mencebik. Maklang terus dengan senyumnya. Iris tersengih sumbing.
“Eh, tak ade la, maklang. Jangan percaya sangat Hanim nih.” Iris menafi kenyataan yang dilempar Hanim. Saat matanya bertembung dengan Hanim, satu jeliran manja dilempar. Hanim turut membalas cara sama.
Tindakan mereka yang kebudak-budakkan itu mampu terbitkan tawa maklang Husna. Kepala digeleng. Tugasnya sudah selesai. Sepuluh jari tangan Iris sudah penuh dgn inai. Dia bangun. “Maklang nak balik dulu la ye. Kamu berdua sambung la berbual. Esok kita jumpa.” Iris dan Hanim mengangguk, hampir serentak.

Tepat jam 12 tengah malam. Iris baru sudah mencuci tangannya, baru beberapa jam memakai inai yang ditepek oleh maklang sebentar tadi, tapi jarinya kini sudah merah berseri. Dia duduk di satu sudut bilik tidurnya itu. Keadaan sekeliling yang sunyi buat hatinya dipagut pilu. Tiba-tiba matanya basah. Dia menangis! Tak, hatinya yang menangis. Dah lama dia tak menangis. Tidak sejak pemergian ayahnya yang diserang sakit jantung lapan tahun dulu. Juga sejak hatinya terluka.. Diluka oleh insan yang dia pernah sayang. Wajah lelaki itu muncul di ruang kotak memori. Kenangan silam itu mula bermain di fikiran bagai tayangan perdana. Bibirnya dengan lemah ucap nama itu. Fikri..

I tak nak you dengar dari mulut orang lain. I memang dah lama jadi girlfriend dia. Satu sekolah dah tau, you je yang terhengeh-hengehkan dia.” Jeslina menjeling. Bibirnya terus menyedut minuman yang dibeli tadi. Dia saja atur pertemuan mereka berdua di kantin, biar satu sekolah tahu, biar gadis di depannya itu dapat malu.
Damya terus kaku. Riaknya kosong. Dari tadi, dia hanya mendengar tiap patah yang ditutur oleh Jeslina, tanpa sedikit pun mahu mencelah. Bukan sudah hilang kata-kata, tapi dia tak berdaya mahu mengeluarkan suara. Matanya terus lekat pada gadis tinggi lampai di depannya. Jeslina Dato’ Ghafar atau lebih dikenali sebagai Jessy. Siapa yang tak kenal dengan ayahnya, sudah banyak jasa serta sumbangan yang disumbang buat sekolahnya itu. Terlalu banyak hingga anak gadisnya itu berlagak seolah dia yang memiliki sekolah itu. Mengarah pelajar lain untuk mengikut setiap kehendaknya, padahal dia masih boleh dianggap junior kerana umur yang baru mencecah 14 tahun.
“So, I harap you tak payah laa mengharap lagi pada boyfriend I  tu ye. Tapi you jangan risau sebab tak ada siapa pun yang tahu yang you ada hati kat boyfriend orang. Rahsia you selamat dengan I.” Saja ditekan ayat ‘boyfriend’ itu. Sakit hatinya melihat wajah bersih itu. Dia sudah lama menaruh hati pada senior yang sememangnya menjadi pujaan ramai pelajar perempuan. Izmil Fikri. Nama sehebat orangnya. Nama itu sentiasa meniti dibibir Jeslina. Pelbagai cara sudah diguna untuk menarik hati sang teruna, tapi tiada yang berhasil. Dia tak mahu segala usahanya sia-sia dengan kehadiran Iris Damya, pelajar baru kelasnya. Hatinya lebih sakit bila mengetahui yang Damya turut punya perasaan buat Fikri. Dia bukannya buta hingga tidak mampu melihat reaksi Damya yang malu-malu tiap kali terserempak dengan senior mereka itu. Entah kenapa, dia rasa tercabar dengan kehadiran pemilik senyuman menawan itu. Tidak, dia tidak akan mudah menyerah kalah! Izmil Fikri miliknya! Dia akan guna apa cara sekalipun untuk pastikan hal itu berlaku, by hook or by crook!

Kenyataan yang diketahui dari salah seorang rakan kelas senior Izmil itu benar-benar memeranjatkannya. Kenyataan itu pahit, tetapi amat berguna untuk dirinya. Jessy tersenyum. Berita itu bakal menjadi benteng pertahanan yang paling kukuh untuk menghalang hubungan Damya bersama Fikri.
Oh, there is one more thing that I think you should know, dear.” Sepatah-sepatah ayat itu keluar dari mulut comel Jessy. Dia tersenyum melihat mata Damya kini sudah tertumpu tepat ke arahnya. Dia berjaya mencuri perhatian gadis malang itu.
“Hubungan you dengan dia, was never real. I dapat tahu yang dia orang bertaruh yang senior Izmil tu akan dapat pikat you dalam masa 3 bulan.” Tiga jari runcing Jessy bermain-main di depan mata Iris. Dia ketawa kecil sambil bertepuk tangan. Gelaknya jelas sedang memperlekehkan Iris yang sedang duduk diam di depannya itu. “Wow, three months? I never thought you were that easy, girlfriend.
Damya memerhati lengguk langkah Jessy berlalu pergi dari kantin sekolah itu bersama dua orang rakannya. Kalau diikutkan hatinya, tentu saja dia mahu memaki hamun gadis kurang ajar itu. Tangannya terasa ringan mahu singgah di pipi mulus Jessy, mahu beri kesedaran yang dia juga punya hati dan perasaan. Tapi, entah kenapa, mulutnya terkunci, tubuhnya menggeletar setelah mengetahui kebenaran perit ini. Inilah kali pertama dia merasa perasaan cinta yang mengalir di tubuhnya, rasa bahagia menjadi perhatian seseorang, menjadi istimewa di mata seorang lelaki yang dia sukai. Namun, ternyata semua itu palsu. Semua itu dusta. Tak pernah wujud cinta dalam perhubungan mereka, hanya pembohongan semata. Kini, dia rasa dikhianati. Rasa sayang dulu, kini berubah menjadi benci. Senior Izmil Fikri, sanggup awak buat macam ni pada saya?
  
“Mia..” Suara itu kedengaran lagi. Tapi Damya buat tak endah. Dia terus melangkah keluar dari perpustakaan.
Beberapa pelajar yang berada dalam perpustakaan ketika itu mendongak. Konsentrasi mereka terganggu dengan suara Fikri. Tapi Fikri tidak ambil kisah langsung, terus dilaung nama gadis yang kini sudah hilang dari pandangannya.
Di muka pintu perpustakaan, matanya melihat Damya sedang menyarung kasut. Laju tangannya mengikat tali kasut yang tadi dibuka untuk masuk ke dalam perpustakaan sekolah. Izmil terus mengorak langkah. Dia perlu penjelasan. Dia bingung apabila sudah tiga hari gadis itu seolah cuba menjauh darinya.
“Mia,” gadis itu sudah bangun, bersedia untuk melangkah, tapi tangannya lebih pantas menarik lengan baju pengawas milik Damya atau dia lebih gemar memanggilnya Mia, lebih mesra dirasakan.  
“Tolong lepaskan tangan saya. Saya nak masuk kelas ni, dah lewat.” Damya akhirnya bersuara. Fikri dapat kesan getar dalam suara itu. Dia merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan perubahan sikap gadis itu.
“Kenapa saya rasa awak macam nak lari dari saya? Saya ada buat silap ke? Kalau saya ada buat awak terasa hati, saya minta maaf..” Fikri ikhlas pohon maaf, walau dia tidak tahu apa silapnya hingga gadis itu mudah berubah laku.
“Awak tak ada buat salah apa-apa pun. Saya yang silap. Saya minta maaf. I really have to go.” Genggaman yang tadi kejap, kini makin kendur. Damya terus berlalu. Dia tidak betah terus berada di situ, kerana dia takut dia akan lemah berhadapan dengan redup mata jejaka yang sudah punya tempat istimewa dalam hatinya itu. Silap saya, sebab saya dah jatuh sayang pada orang yang salah. Maafkan saya.. 

No comments:

Post a Comment