Friday, March 25, 2011

Bab 1 ~ Permulaan Sebuah Ceritera

1


Suara itu terus-terusan memanggilnya, namun dia tetap tidak berpaling. Dia masih terus berlari meninggalkan pantai itu.  Keadaan ketika itu memang agak sunyi disebabkan cuti hujung minggu. Biasanya kawasan persisir pantai memang lengang pada dinihari sebegitu. “Tunggu dulu, jangan lari! Awak!!” Suara asing pada pendengaran gadis itu kedengaran buat ke sekian kali. Dia buntu. ‘Habislah aku, tiba-tiba pulak kena kejar dengan orang gila ni,’ ngomelnya seorang diri. Kakinya sudah mula penat namun mindanya terus mengerah urat-uratnya untuk terus bekerja. Dia bingung, kerana selama ini, tidak pernah pula dia diganggu walaupun hampir setiap hari dia menjadi tetamu pantai itu. Suara tadi sudah semakin sayup, tetapi dia teragak-agak untuk berpaling. Namun begitu, refleksnya mendahului. Pandangannya kosong. Tiada apa-apa pada pandangan matanya saat itu selain laut dan panorama pagi yang indah. ‘Mana pulak orang tak betul tu pergi?’ Hatinya tertanya sendiri. ‘Buat penat aku je berlari pagi-pagi buta macam ni.’ Jantungnya yang berdegup laju sebentar tadi kini sudah reda. Dia mengurut dadanya yang terasa sempit, berdoa agar penyakit lelahnya tidak menyerang saat itu. Nasib baik jarak antara pantai dengan rumahnya berhampiran. Dia terus berjalan pulang, namun dia masih berpaling ke arah tadi, tanpa sebab yang pasti.

Iris tiba di rumah setelah lima minit berjalan kaki. Dalam kekalutan itu, dia baru sedar yang dia sebenarnya berjalan pulang tanpa selipar. Namun dibiarkan saja. Hatinya masih lagi berdebar akibat kejadian sebentar tadi. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke pintu dapur rumah batu setingkat yang dihuni bersama ibunya itu, kesunyian menyelubungi. Iris mengerling ke arah jam di dinding dapur, dia tersenyum sendiri.
‘Mesti ibu ada kat belakang rumah.’ Sejak bersara sebagai guru pakar bidang dua tahun lalu, Normah lebih gemar menghabiskan masanya dengan bercucuk tanam. ‘Tidak salah kita berbudi pada tanah.’ Itu yang selalu diungkap bilamana Iris menyuruhnya berehat saja di rumah. Kepalanya berpusing ke arah pintu dapur serentak dengan bunyi pintu dikuak dari luar. Terpacul wajah Normah di muka pintu, melangkah masuk bersama senyuman mesra dibibir tua miliknya. Iris segera membantu ibunya menyimpan alatan yang digunakan untuk bercucuk tanam bersebelahan dengan kabinet di satu sudut dapur itu. Langkah terus diatur ke arah peti sejuk, membawa keluar air sirap yang dingin menuju ke meja kecil. Normah tersenyum sebagai tanda terima kasih. Air sejuk yang mengalir ke tekaknya yang kering ternyata mampu menyegarkan dirinya.
“Awal Is balik hari ni? Ibu ingat Is masih lagi kat pantai, sebab ibu tak nampak pulak selipar Is kat luar tu. Selalunya lepas pukul 8 baru nampak batang hidung,” ujar Normah  sambil berjalan menuju ke arah singki lantas meletakkan gelas yang berada di tangannya. Iris sekadar tersenyum. Fikirannya kembali memutar babak yang berlaku di tepi pantai sebentar tadi. Dia menggeleng, menghalau jauh memori itu.
“Ibu, lepas ni Is nak pergi ambil baju yang kita dah tempah kat Kak Yam hari tu, ibu nak ikut?” soal Iris, sekaligus mematikan topik perbualan mereka sebentar tadi.
Normah sekadar menggeleng. Riak penat jelas terukir di wajah itu. “Is aje la yang pergi ye, ibu nak rehat je la kat rumah hari ni.” Iris akur.

Langkah Iris santai. Dia berjalan perlahan di bawah pohon-pohon yang merimbun, melitupi sebahagian jalan raya kawasan kampung itu. Angin yang meniup menampar lembut wajahnya. Iris tersenyum saat matanya melihat tubuh kecil Kak Yam di beranda rumah. Langkah yang tadinya santai, dilajukan.
Salam Iris disambut mesra oleh Kak Yam yang sedari tadi sedang tekun menyiapkan jahitan tulang belut di leher baju tempahan gadis itu. Iris terus mengambil tempat di sebelah Kak Yam di atas beranda rumah kayu yang terhias cantik itu.  
“Mintak maaf la Is, tinggal sikit lagi tulang belut ni,” Maryam memulakan bicara. Terasa bersalah pula apabila baju tempahan pelanggan masih belum disiapkan mengikut tarikh yang dipersetujui dahulu. Kain baju milik cikgu Normah yang berona kuning cair dari tadi melekat di jemari wanita berusia awal 40-an itu.  
Mendengar nada suara Kak Yam yang ternyata resah itu, bibir Iris menguntumkan senyuman. Sekadar untuk menyedapkan hati wanita yang berusia awal 40-an itu.
“Alah Kak Yam, tak payah la kelam-kabut, saya tak kisah la, lagipun memang dah nak siap pun kan.” Terserlah riak gembira di wajah wanita itu.
Puan Maryam tergelak kecil sebelum menyambung bicara. “Baju ni la yang kamu nak pakai untuk kenduri Hanim nanti ye?” Maryam menyambung setelah melihat Iris mengangguk perlahan. “Hai, Hanim yang selalu main pasir kat tepi pantai masa kecik-kecik dulu sekarang dah nak jadi bini orang. Cepatnya masa berlalu,” ibu beranak satu itu tersengih mengenangkan kembali peristiwa Hanim dikejar angsa-angsa peliharaannya yang terlepas dari kandang. Semuanya angkara Hanim sendiri.
Iris turut tersenyum. Sahabatnya yang seorang itu memang terkenal dengan sikap nakal sejak kecil. Macam-macam kejadian berlaku namun sehingga kini, dia masih belum serik.  Dan kini gadis nakal itu bakal disunting oleh Syamzil, kenalan mereka ketika di universiti yang kini sudah bergelar doktor.
Setelah membuat bayaran, Iris terus berjalan pulang. Dia mengikut jalan laut untuk pulang ke rumah, kerana lebih dekat berbanding jalan kampung yang semestinya sibuk memandangkan hari itu adalah hari terakhir persekolahan dan jalan itu adalah satu-satunya alternatif yang ada untuk kegunaan penduduk. Sedang dia melangkah menyusuri pantai, perasaan yang dirasai pagi tadi kembali, namun getarnya berkurangan. Iris berpaling. Sekali lagi pandangannya kosong. Namun nalurinya kuat menyatakan yang ada seseorang yang sedang mengekorinya. Setelah beberapa kali meneliti, Iris kembali lega setelah pasti tiada sesiapa yang mengekorinya. Kembali ke pantai, dia kembali teringat tujuan dia ke pantai pagi tadi.
Seperti kelazimannya, tiap-tiap pagi, selepas subuh, Iris akan ke pantai bersama cengkerang pemberian arwah ayahnya. Dia akan duduk santai di salah satu batu besar di pantai sambil mendengar bunyi ombak. Tiap kali itu juga, dia akan teringat ayah.
“Cengkerang ni magic tau. Cengkerang  ni akan bisikkan nama orang yang kita rindu. Kalau Is rindukan seseorang, letak cengkerang ni kat telinga, dan dengar betul-betul. It will whisper softly, that person’s name..” tangannya mengusap lembut permukaan cengkerang yang kasar. Cengkerang itu dibeli oleh ayahnya ketika mereka sekeluarga pergi melancong ke Bali, hadiah buat Iris yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR.
Cengkerang itu diletak hampir ke telinga. Matanya dipejam. Dia ingin mendengar bisik suara ayah di antara deruan ombak itu. Tapi, nama lain yang singgah di pendengarannya. Fikri..
Bulat matanya. Timbul kerut di dahi gadis itu. Pantas kepala digeleng, mahu disingkir terus nama itu dari kotak memori. Bila dia terlihat ada satu susuk tubuh lelaki yang berjalan menghampirinya, dia kaget. Lelaki itu tampak mencurigakan dari kejauhan. Lebih-lebih lagi bila lelaki asing itu sudah berlari-lari anak menuju ke arahnya. Langkah terus diatur laju. Hingga seliparnya lupa disambar akibat kekalutan itu. Tapi yang paling penting, cengkerang miliknya turut terjatuh. Sudah puas dia mencari di sekitar, dah penat cari di celahan batu, tapi dia masih tidak menjumpai cengkerang itu. Dia menyumpah dalam hati. ‘Memang dasar orang gila, sampai hilang seashell aku tu! Crazy maniac!!’ Dalam marah, airmatanya mengalir laju. Dia sedih. Cengkerang itu adalah memori dia bersama ayah. Cengkerang itu buat dia dekat dengan ayah. Tapi kini, kenangan itu sudah hilang. Memori itu sudah pergi. ‘Ayah…’ hatinya menyeru sayu.

No comments:

Post a Comment