Friday, March 25, 2011

Bab 2 ~ Cinta Si Hati

2
           



Perkahwinan Hanim bakal berlangsung lagi seminggu, dan suasana kenduri sudah mula dirasai. Di satu sudut rumah milik ibu bapa Hanim, Hamidah dan Ramlie, Iris dan Hanim sedang berbual sambil ligat mengerat daun pandan yang bertimbun. Semerbak bau daun hijau itu menyelubungi segenap ruang.
            “Is, kau rasa aku dah ready ke?” Hanim menyoal, riak wajahnya meminta seribu mengertian dari sahabat baiknya itu.
            Iris berhenti menghiris daun pandan dan menalakan pandangan kepada Hanim di hadapannya. Daun pandan atas papan pemotong bakal pengantin perempuan itu langsung tak berluak. Gadis genit itu memang tak boleh fokus dua perkara dalam satu masa. Inilah jadinya. Semuanya tidak menjadi. “Maksud kau ready untuk tukar status?” Iris membalas dengan pertanyaan. Hanim mengangguk laju.
            Iris tersenyum sebelum menyambung bicara, “mana la aku tau, bukan aku yang nak kahwin, nama kat dalam kat kahwin tu kan nama kau, so, lu pikir la sendiri.” Matanya sudah kembali ke papan pomotong. Iris menyudahkan ayatnya dengan gelak kecil. Lebih pada gelak yang mengejek sebenarnya. Wajah Hanim sudah berkerut. Nasihat yang diinginkan, lawak bodoh pulak yang diterima dari satu-satunya sahabat baiknya itu.
            “Is, aku cakap betul-betul ni, kau nak main-main pulak! Aku jentik dahi tu kang baru tau!” gurau Hanim.
            Iris terus ketawa sambil menggelengkan kepala, nampaknya rakannya ini masih tak berubah, masih gila-gila. “Hanim sayang, walaupun aku tengok perangai kau masih tak berubah sejak dulu, tapi aku yakin yang kau boleh jadi seorang isteri yang baik untuk Syamzil, mat poyo tu pun aku tengok memang sayangkan kau dan aku tau yang dia akan jaga kau dengan baik, after all, you guys are belongs to each other!” Iris mengenyitkan mata ke arah Hanim.
            Hanim tersenyum, itulah jawapan yang dia inginkan, satu kata semangat dari seorang sahabat sejati. Walaupun Iris gemar bergurau dan kata-katanya yang agak kasar dalam menyatakan mengenai sesuatu hal, dia tahu hati gadis itu tulus.
“Hei, tak baik panggil dia mat poyo lah! Dari dulu kau panggil dia macam tu, sian abang Syamzil aku..” Hanim mencebik, berpura-pura terasa dengan kata-kata Iris. Bibirnya menguntum senyuman bila melihat isyarat nak-termuntah-aku–dengar–ayat–poyo–kau–tu dari Iris. Hanim berhenti memotong daun pandan lalu mencapai tangan Iris yang duduk bersila di hadapannya. Iris mendongak. Hanim tersenyum.
“Terima kasih, Is. Aku tau kau memang kawan yang baik dan aku beruntung dapat kenal kau. Janji dengan aku yang kita akan jadi kawan sampai bila-bila okey?” jari kelingkingnya diangkat ke udara. Matanya sudah basah.
            Iris yang mendengar kata-kata itu turut tersentuh. Dia tersenyum. “Kau ni macam budak-budak lah! Mana ada orang buat janji pakai jari zaman moden nih? Kalau betul nak buat ikrar, jom gi pejabat lawyer lah!“ gurau Iris, matanya juga sudah merah, menahan sebak
            “Eh, makcik nih! Sempat lagi bergurau time orang tengah feeling nih? Aku tak kira, cepat sambut jari aku nih!” tegas Hanim dalam sendu.
            Iris mengekek ketawa. Walaupun kebudak-budakan, namun dia tetap menyambut huluran jari Hanim. Bila Hanim menarik tubuhnya ke dalam pelukan, airmata yang tertahan sejak tadi sudah tidak mampu ditanggung. Dia tumpang gembira melihat sahabatnya yang bakal menjalani kehidupan baru, namun dalam masa yang sama, dia tidak mahu melepaskan Hanim kerana gadis itu sudah menjadi satu bahagian yang besar dalam hidupnya. Dari kecil, mereka membesar bersama, menempuh kehidupan sebagai mahasiswi di universiti yang sama, dan juga menyambut kejayaan bersama. Walau Iris tahu persahabatan mereka tak mungkin akan putus, namun keadaan selepas ini takkan sama seperti dulu. Hanim akan ada satu tanggungjawab baru yang wajib dilaksanakan. Dia bakal membina keluarga baru, dan Iris menyedari hakikat itu.
“Janji dengan aku yang kau akan jadi isteri yang baik, jangan selalu sangat merajuk, nanti cik abang bosan, baru tau!” Mereka ketawa. “Dan yang paling penting, kau kena ingat yang aku selalu ada untuk kau, ingat tu!” Iris mengeratkan pelukan. Hanim hanya mampu mengangguk, dia terlalu sedih.
            Hamidah yang baru masuk ke dalam rumah menegur kerja mengerat daun pandan yang masih belum selesai. Dua anak dara itu hanya tergelak. Mereka mengesat mata setelah pelukan dilepaskan. Hanim sempat mengerling ke arah mamanya yang turut mengesat matanya yang merah. Hanim sebak!

            Petang itu, setelah selesai minum petang, Hanim mengajak Iris ke rumah maklangnya yang baru saja sampai dari Kuala Lumpur pagi tadi.
            “Nak buat apa?” soal Iris. Tubuhnya terasa malas mahu bergerak, lenguh mengerat  daun pandan tadi pun masih belum hilang. Dia memicit-micit bahunya yang terasa sengal dengan harapan Hanim akan jatuh kasihan. Namun anggapannya meleset pabila Hanim terus menyeretnya keluar dari dapur menghala ke luar rumah.
            ‘Alaa, mari la ikut aku, mama suruh aku hantarkan lauk ni untuk maklang. Tadi maklang aku tak dapat datang sebab letih katanya. Jom la teman aku!”

            Selang lima minit kemudian, mereka sampai ke satu rumah yang tak jauh dari rumah Hanim.
            “Eh, rumah ni bukan ke tak ada orang tinggal?” Nada suara Iris sudah bertukar cemas. Dahinya dihiasi kedutan apabila mendengar gelak tawa Hanim di corong telinganya. “Apasal kau gelak pulak nih?”
            “Apa la kau nih! Dari dulu memang penakut. Belum apa-apa dah cuak, rileks arr. Rumah ni memang dah lama kosong sebab maklang aku jarang balik sini. Nak sewa kat orang, sayang katanya. Jadi sebab tu rumah ni terbiar. Tapi tiap-tiap bulan maklang aku akan masuk duit, mintak tolong ayah aku upah orang untuk bersihkan laman rumah ni.” Terang Hanim panjang lebar. Iris yang sejak tadi hanya mendengar menganggukkan kepala. ‘Patutlah pagar rumah ni selalu berkunci, dah la besar, tak ada pulak orang duduk rumah besar ni, memang menyeramkan.’ Bisik hatinya.
            Hanim menarik tangan Iris masuk ke perkarangan rumah besar itu, Lamannya luas dan bersih. Tak seperti rumah yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan pun. Rumah itu kelihatan terlalu asing buat Iris kerana jalan yang selalu digunakan tidak melalui kawasan ini, malah Hanim pun tidak pernah bercerita mengenai maklangnya itu, padahal hampir semua ahli keluarga Hanim dikenali. Teka-teki itu terkubur begitu saja disaat pintu utama rumah itu terbuka.
            Hanim memberi salam sambil tersenyum. Wanita yang membuka pintu itu turut tersenyum menjawab salam. Hanim segera menuju ke arah wanita itu, dicium tangan wanita separuh umur itu lalu dipeluk erat. 
“Maklang sihat?” Ayat itu melenyapkan persoalan Iris mengenai wanita itu. Inilah maklang Hanim. Adik kepada Cik Midah, mama Hanim. Wajah tua itu nampak lembut dan mesra.
            Husna, merangkap maklang Hanim menjemput mereka berdua masuk ke dalam rumah. Setelah bersalaman, Iris dijemput duduk  manakala dua beranak itu menuju ke dapur. Iris sekadar mengangguk. Matanya memerhati ke segenap ruang rumah itu. Sunyi. Matanya kemudian terpandang ke arah potret keluarga yang tergantung di satu sudut dinding ruang tamu yang luas itu. Iris melangkah perlahan menuju ke arah gambar itu. Imej maklang Husna yang tersenyum bahagia terpamer indah sambil diapit oleh dua orang lelaki, seorang lelaki yang berdiri di belakang sambil memegang bahunya mungkin suaminya kerana raut wajah yang kelihatan lebih tua dari wanita itu, manakala seorang lagi lelaki yang duduk sambil meletakkan satu lengan di peha maklang Husna kelihatan jauh lebih muda. Iris tersentak. Wajah itu. Senyum itu. Redup mata itu. Tiba-tiba dadanya berdebar. Matanya sudah merah.
‘Ya Allah, kuatkan hatiku. Airmata, tolong jangan mengalir keluar. Sekurangnya bukan sekarang.’ Senyuman yang terukir diwajah mereka menggambarkan kehidupan mereka yang bahagia. Gambar yang besar itu dikelilingi foto-foto yang lebih kecil saiznya, ada gambar lama, ada juga gambar ketika mereka sekeluarga bercuti di luar negara. Dalam timbunan foto yang menghiasi dinding, ada satu gambar yang menarik minatnya. Imej lelaki muda itu yang mengabadikan kenangan bersama Menara Eiffel yang menaikkan nama Paris. Malah ada juga gambar ketika mereka di pulau Jeju, kawasan popular dikalangan pelancong yang melawati Korea Selatan. Niat untuk memegang bingkai itu untuk melihat dengan lebih dekat terhalang oleh satu suara dibelakangnya.
            “Tengok la lama mana pun, gambar tu takkan bergerak sambil bila-bila,” sindiran itu terasa amat hampir di telinganya. Suara itu seolah berbisik. Nafas Iris sudah tidak teratur. Kalau ikut hatinya, mahu terus berlari keluar dari rumah yang kini buatnya sesak.
            Iris segera berpaling. Tindakan refleksnya mengarah kepalanya untuk berundur ke belakang. Ternyata ada seorang jejaka yang berdiri begitu hampir dengannya, hingga Iris boleh mendengar desah nafas si teruna. Pang! Memori dulu kian menggamit jiwanya. Benarlah apa yang disangka. Imej dalam gambar itu. Senyum manis itu. Awak..
            Mata mereka bertentang. Wajah lelaki itu ditatap berani. Dia kaget.
            Izmil terus merenung gadis di hadapannya itu. Sungguh, dia terpesona, lirik mata gadis itu sejak dulu, masih mampu menggoncang ketenangan dalam jiwanya. Walaupun hatinya resah, namun dia masih enggan mengalihkan pandangan. Sungguh, dia rindu. Dia dapat melihat riak wajah gadis itu yang kurang selesa dengan keadaan mereka. Idea nakal terus memainkan simfoni yang beralun senada dengan senyuman di bibirnya.
            “Macam mana?” Izmil bersuara.
            “Macam mana apa?”
            Izmil tersenyum. Suara si gadis juga kedengaran sungguh merdu di telinganya. Fikirannya terfikirkan sesuatu yang nakal. Dia tersenyum. “Kacak tak anak Encik Muzammil dan Puan Husna dalam gambar tu?”
            Iris terdiam. ‘Apasal la mamat ni tiba-tiba tanya aku soalan macam tu?!’ Hatinya mula jelak dengan situasi itu.
            Belum sempat Iris mahu membuka mulut, suara maklang Husna bergema dalam rumah banglo satu tingkat itu. Lelaki itu terus berganjak ke belakang, menjarakkan diri dari si gadis. Kedua pandangan mereka tertumpu pada arah dapur, selang beberapa saat, maklang muncul dengan Hanim bersama cucur udang dan dulang air di tangan kedua wanita itu. “Hah, Mil, kamu baru bangun? Marilah minum petang sekali dengan Hanim ni, kau orang pun dah lama tak jumpa. Iris, mari la jemput sekali. Jangan malu-malu dengan maklang ni.” Bibir wanita itu yang tak pernah lekang dengan senyuman buat Iris berasa tenang. Dia berlalu ke meja makan, melintasi jejaka itu. ‘Sumpah aku takkan jejak kaki kat rumah ni lagi!’ 

No comments:

Post a Comment